Proton tunjuk teknologi kawalan kualiti di kilang Tanjung Malim; guna pelbagai mesin ketepatan tinggi

Proton tunjuk teknologi kawalan kualiti di kilang Tanjung Malim; guna pelbagai mesin ketepatan tinggi

Buat masa sekarang hanya Proton Saga masih dipasang di kilang lama Proton yang terletak di Hicom Shah Alam, sementara semua model-model terkini dengan teknologi jauh lebih canggih dipasang di kilangnya yang terletak di Tanjung Malim. Dan untuk memasang kereta-kereta lebih moden ini, fasiliti berkenaan juga haruslah jauh lebih moden.

Bagi kilang di Tanjung Malim ini, antara teknologi canggih yang digunakan adalah sistem kawalan kualiti dengan ketepatan jitu. Sebagai salah satu jenama di bawah kumpulan Geely, Proton kini menggunakan kaedah markah demerit Audit Produk Pelanggan Global (GCPA) yang sama seperti apa yang digunakan oleh kilang Geely dan Volvo bagi menentukan tahap kualiti produk yang dikeluarkan oleh kilang mereka.

Teknologi-teknologi kawalan kualiti berkenaan telah ditunjukkan oleh Proton dalam satu video yang baru sahaja dimuat naik pada laman Facebook rasminya. Menurut Proton, kawalan kualiti bermula dari proses pemasangan yang menggunakan mesin-mesin dan robot-robot berketepatan tinggi.

Produksi untuk sesebuah kereta di kilang Proton Tanjung Malim ini dimulakan dari proses stamping bagi menghasilkan komponen untuk kerangka dan badan kereta. Mesin yang didakwa merupakan mesin stamping mekanikal terbesar di Malaysia itu dibantu oleh tujuh robot tangkas dengan tahap automasi 83% bagi “mengatur pergerakan panel logam dengan ketepatan milimeter membentuk satu simfoni keberkesanan dan kesempurnaan diperkukuhkan oleh teknologi industri 4.0”.

Selepas komponen-komponen tersebut siap, ia perlu melepasi beberapa fasa pemeriksaan kualiti menggunakan geosystem dari Leica yang mampu mengesan ketepatan sehingga 21 mikron.

Komponen-komponen berkenaan kemudiannya dibawa ke barisan produksi pemasangan di mana ia dicantum menggunakan pelbagai robot seperti lengan pemeriksa robotik, automatic servo turntable dan adaptive spot welding dari Bosch dengan centreline servo gun yang dipandu alat ketepatan menggunakan laser memberikan kadar ketepatan kimpalan yang diperakui setinggi 99.8%.

Proton mendakwa dengan kelengkapan pemasangan ini sahaja sudah dapat memastikan setiap panel dapat “dipasang dengan sangat sempurna tanpa sebarang kekurangan”. Namun Proton masih menggunakan alat ujian ketepatan tinggi bagi memastikan setiap komponen tersebut dipasang dengan baik dengan menggunakan pengimbas dengan resolusi 30 megapiksel dengan ketepatan sehingga 0.07 mm.

Tidak cukup dengan itu, jurutera Proton turut menggunakan mesin pengukur koordinat 3D automatik sepenuhnya Carl Ziess Carmet dengan ketepatan lebih halus iaitu sehingga 0.05 mm. Mesin ini dapat mengukur keselurhan kadar ketepatan pemasangan sesebuah kerangka yang siap dalam masa 4.5 jam.

Untuk pemeriksaan kualiti cat, ia dilakukan secara insani oleh pekerja-pekerja Proton yang membuat pemeriksaan menggunakan alat pengukut pada setiap lapisan terhadap aspek ketebalan cat, kilauan, kekerasan, daya lekat, kekasaran, keserataan dan ketepatan warna.

Bagi pemasangan komponen mekanikal kenderaan, Proton membuat pemeriksaan menyeluruh menerusi sistem yang digelar sebagai “11 Gerbang Kualiti”. Menerusi kaedah ini, setiap satu proses yang siap perlu melalui satu gerbang pemeriksaan bagi memastikan tiada kecacatan berlaku pada pemasangan, dan pembetulan boleh dibuat sekiranya ada kesilapan yang ditemui. Setelah dipastikan semuanya bagus, barulah ia boleh bergerak ke proses seterusnya.

Bagi memastikan ketepatan dan mengurangkan jumlah kesalahan yang dibuat, kilang ini juga menggunakan pelbagai kaedah pemasangan lain seperti sistem kawalan rangkaian pengeluaran automatik, sistem pengurusan tork automatik untuk 90% tugas mengetatkan skru dan bolt, dan juga kenderaan panduan automatik (AGV).

Selepas siap keseluruhan pemasangan komponen, setiap kenderaan akan diperiksa menggunakan tablet khas bagi membuat ujian diagnostik. Kesemua sistem akan dipastikan berfungsi dengan baik dan pantas seperti yang sepatutnya menggunakan kaedah ini.

Kenderaan-kenderaan itu juga akan dibawa untuk ujian simulasi dalam litar yang menampilkan pelbagai keadaan pemanduan dunia sebenar, dan akhir sekali ia akan dibawa ke ujian pancuran air bagi memastikan tiada sebarang kebocoran dalam kabin.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required