Satu lagi pengeluar dari China iaitu Keeway nampaknya juga akan menyertai segmen motosikal adventure yang semakin mendapat sambutan ramai apabila menunjukkan model TX450R sewaktu pameran EICMA.
Saingan terus Keeway TX450R dari pengeluar China antaranya adalah seperti Kove 450 Rally dan CFMoto 450 MT, sementara model yang lebih besar tetapi dengan gaya yang sama adalah seperti Yamaha Tenere 700, Aprilia Tuareg 660 dan KTM 690 Enduro.
Walaupun lebih dikenali sebagai pengeluar motosikal ‘mampu milik’, Keeway nampaknya telah meletakkan pelbagai kelengkapan berprestasi pada TX450R termasuk suspensi boleh laras, steering damper, lampu LED penuh serta panel meter TFT.
Sebagai sebuah motosikal yang berkonsepkan rally dan serba lasak, motosikal ini dipasang dengan padanan tayar 21 inci di hadapan, dan 18 inci di belakang, dibalut tayar Pireli RallyCross MT21, ekzos yang tinggi serta tiga tangki bahan api yang secara keseluruhannya boleh menampung 28 liter.
Penggerak TX450R adalah enjin satu silinder 449 cc penyejukan cecair yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 44 hp pada 8,000 rpm dan tork 38 Nm untuk dihantar kepada roda belakang melalui kotak gear enam kelajuan dan sistem rantai.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.