Chery Omoda E5 EV didedah di Malaysia – lancar suku pertama 2024, 204 PS, 430 KM, pencabar BYD Atto 3

Chery Omoda E5 EV didedah di Malaysia – lancar suku pertama 2024, 204 PS, 430 KM, pencabar BYD Atto 3

Selepas Chery Omoda 5 dilancarkan di Malaysia Julai lalu, tak lama lagi versi elektrik penuh (EV) untuk SUV segmen-B ini iaitu Chery Omoda E5 turut akan dilancarkan ke pasaran tempatan. Sebelum ia dijual secara rasmi, Chery Malaysia terlebih dahulu membuat sesi pra-tonton untuk media tempatan hari ini.

Unit yang didedahkan ini sudah lengkap dalam versi pemanduan sebelah kanan, manakala spesifikasinya pula adalah sangat hampir dengan spesifikasi sebenar model pasaran Malaysia kelak. Namun ia masih dalam versi pra-produksi (perhatikan panel-panel plastik yang masih tidak mempunyai tekstur) dihasilkan hanya dua unit, di mana satu lagi telah dipinjamkan kepada Kementeri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI).

Tidak seperti pasaran Indonesia yang menerima Omoda E5 ini dalam versi pemasangan tempatan, kita di Malaysia akan menerima unit yang diimport sepenuhnya (CBU) dari China. Ia dijangka akan dilancarkan di sini pada suku pertama 2024.

Chery Omoda E5 EV didedah di Malaysia – lancar suku pertama 2024, 204 PS, 430 KM, pencabar BYD Atto 3

Omoda E5 ini masih menggunakan platform yang sama dengan Omoda 5 petrol. Selain dari unit rangkaian kuasa yang sepenuhnya berbeza, Omoda E5 ini juga diberi beberapa perincian dan rekaan khusus yang lebih sesuai untuk sebuah EV.

Perbezaan paling ketara pada bahagian luaran adalah pada bahagian mukanya. Model ini tidak diberikan gril utama ikonik seperti Omoda 5 kerana ia tidak memerlukan unit radiator, digantikan dengan hanya satu bar hitam berkilat yang bersambung dengan kemasan lampu nyalaan siang.

Bahagian yang kini kelihatan lebih kemas dan ringkas berkenaan menempatkan soket plag untuk mengecas SUV EV ini, disorokkan dengan penutup pada bahagian tengah muka. Namun ia masih diberikan liang udara dengan penutup aktif pada bahagian bampar yang tertutup dalam keadaan biasa bagi meminimakan kesan seretan udara, dan dibuka secara automatik bagi menyejukkan motor elektrik ketika ia dipandu laju.

Chery Omoda E5 EV didedah di Malaysia – lancar suku pertama 2024, 204 PS, 430 KM, pencabar BYD Atto 3

Omoda E5 ini juga diberikan set rim aloi 18-inci dengan rekaan yang lebih tertutup dan aerodinamik, serta rekaan diffuser bawah bampar belakang yang lebih ringkas tanpa perumah untuk tip ekzos.

Pada bahagian kabin pula rekaan yang jelas berbeza adalah pada bahagian konsol terowong, di mana model EV Omoda E5 ini tidak menampilkan tombol gear konvensional, membolehkan bahagian tersebut diberikan ruang storan lebih banyak dan nampak lebih ringkas.

Manakala untuk memilih bergerak ke hadapan, mengundur atau parkir, pemandu disediakan dengan suis tangkai yang diletakkan pada konsol stereng ala-tuil gear Mercedes-Benz. Selain itu ia diberikan upholsteri kulit hitam serta skrin berkembar masing-masing bersaiz 12.3-inci untuk paparan instrumen digital dan skrin infotainmen, dikuasakan dengan Qualcomm 8155 system on chip (SoC).

Dan satu perincian yang agak menarik, Omoda E5 ini tidak diberikan butang pemula seperti butang penghidup enjin pada model Omoda 5 – pemandu hanya perlu meletakkan kunci dalan poket, tekan pedal brek dan SUV ini sudah boleh dipandu. Selesai memandu, pemandu hanya perlu meletakkan gear pada posisi ‘P’ dan terus keluar dari kenderaan.

Enjin dan kotak gear Omoda 5 diganti dengan motor elektrik tunggal berkuasa 201 hp dan tork maksima 340 Nm. Menurut Chery, motor berkenaan direka lebih kompak bagi memberikan ruang frunk yang lebih besar pada but hadapan, dan ia disejukkan oleh minyak.

Motor berkenaan hanya memacu roda hadapan bagi membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.6 saat. Manakala untuk menggerakkan motor berkenaan Omoda E5 diberikan bateri lithium logam fosfat berkapasiti 61 kWj. Ini membolehkan SUV ini bergerak sejauh 430 km dalam kitaran ujian WLTP serta menggunakan kuasa 14.5 kWj untuk perjalanan 100 km.

Bateri tersebut boleh dicas dengan sistem AC 9.9 kW atau pengecas pantas DC80 kW yang boleh memenuhkan kuasa dari 0-85% dalam masa 35 minit. Ia juga boleh berfungsi sebagai “powerbank bergerak” untuk membolehkan pelbagai peralatan elektrik beropersi menerusi sistem V2L 3.3 kW.

Omoda E5 ini menampilkan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang sama dengan Omoda 5. Jadi ia dilengkapi dengan fungsi seperti brek kecemasan automatik dengan amaran pelanggaran hadapan, amaran dan pengelak keluar lorong, cruise control adaptif dan pelbagai lagi. Penambahan pada model EV ini hanyalah sistem pemantau pemandu yang tidak diberikan pada model petrol.

Tiada sebarang petunjuk harga diberikan oleh pihak Chery Malaysia, namun kami menjangkakan ia mungkin diletakkan sebagai pencabar untuk BYD Atto 3 serta mungkin dijual dengan harga sedikit rendah. Untuk konteks, BYD Atto 3 dijual pada harga RM149,800 untuk varian asas Standard Range dengan bateri 49.92 kWj (345 km WLTP) dan RM167,800 untuk varian Extended Range dengan bateri 60.48 kWj (420 km WLTP).

Chery Omoda E5 EV didedah di Malaysia – lancar suku pertama 2024, 204 PS, 430 KM, pencabar BYD Atto 3

Dari segi saiz Omoda E5 ini adalah sedikit kecil dengan dimensi 4,400 mm panjang, 1,830 mm lebar, 1,590 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,630 mm, berbanding Atto 3 dengan dimensi 4,455 mm panjang, 1,875 mm lebar, 1,615 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,720 mm.

Dari segi unit rangkaian kuasa pula, Omoda E5 ini menampilkan tork lebih besar (340 Nm vs 310 Nm) tetapi dengan kuasa 204 PS (201 hp atau 165 kW). Atto 3 ER mampu memecut dari pegun hingga 100 km dalam masa 0.3 lebih cepat, tetapi Omoda E5 boleh bergerak 10 km lebih jauh dengan kapasiti bateri sedikit lebih besar.

Untuk mengecas pula, input AC untuk Omoda E5 adalah lebih besar pada 9.9 kW berbanding 7 kW pada Atto 3 ER. Manakala untuk DC pula kedua-duanya adalah sama dengan input maksima 80 kW. Jadi apa pendapat anda? Adakah anda rasa Omoda E5 ini boleh “bersepah” di atas jalan raya seperti BYD Atto 3 buat masa sekarang?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required