Nio ET9 2025 diperkenal – sedan elektrik dengan sistem 900 V, pengecasan 600 kW, kuasa 707 PS

Nio ET9 2025 diperkenal – sedan elektrik dengan sistem 900 V, pengecasan 600 kW, kuasa 707 PS

Pada 23 Disember lalu, telah berlangsungnya Nio Day 2023, dan syarikat itu mendedahkan model perdana baru mereka yang dipanggil sebagai ET9. Tempahan untuk sedan elektrik bersaiz besar dan padat dengan pelbagai teknologi ini sekarang sudah dibuka di China dan penghantaran dijangka berlaku pada tahun 2025.

Menurut Nio, ET9 mempunyai ukuran panjang 5,325 mm, lebar 2,016 mm, tinggi 1,620 mm dan jarak roda 3,250 mm. Rekaan minimalis dan aerodinamik model ini mengikuti sedan lain Nio seperti ET7 dan ET5, tetapi ia dilihat terletak lebih tinggi, memberikan rasa seperti SUV.

Di sebalik panel badannya, ET9 dilengkapi dengan dua motor elektrik, dengan yang di belakang merupakan unit permanent magnet dengan inverter silicon carbide (SiC) yang berkemampuan 462 PS (456 hp atau 340 kW).

Sementara itu di hadapan pula terdapat motor induksi dengan kuasa 245 PS (241 hp atau 180 kW), menjadikan ia sebuah kenderaan pacuan empat roda dengan kuasa keseluruhan 707 PS (697 hp atau 520 kW). Jumlah ini agak mengagumkan, tetapi apa yang lebih menarik, ET9 dikatakan adalah kenderaan elektrik (EV) China pertama yang menggunakan tetapan elektrikal 900 volt.

Nio ET9 2025 diperkenal – sedan elektrik dengan sistem 900 V, pengecasan 600 kW, kuasa 707 PS

Seperti yang diberitahu oleh Nio, ET9 mempunyai voltan tertinggi 925 V, kuasa mengecas maksimum 600 kW dan arus mengecas maksimum 765 A. Tertulis dalam siaran akhbar, “pengecasan pantas 900 V dan platform penukaran membenarkan pengecasan pantas selepas penukaran bateri selama tiga minit dibuat, atau memberikan jarak gerak 255 km selepas dicas lima minit.”

Jumlah jarak gerak 255 km yang dimaksudkan adalah untuk pek bateri ET9 yang berkapasiti 120 kWh – tiada jarak gerak maksimum yang didedah tetapi kami diberitahu, pek ini terdiri daripada sel bateri 46105 berbentuk silinder.

Bersama dengan sistem 900 volt ini, ET9 turut dilengkapi dengan SkyRide Intelligent Chassis System, yang terdiri daripada tiga sistem perkakasan iaitu steer-by-wire, rear-wheel steering dan suspensi aktif penuh. Untuk suspensi itu, ia dibekalkan oleh ClearMotion, iaitu syarikat yang telah menerima pelaburan besar daripada Nio.

ET9 adalah sebuah sedan empat tempat duduk, dengan bahagian belakang mempunyai tempat duduk yang disusun seperti ruang rehat – boleh laras secara elektrik. Kemudahan lain yang disediakan adalah seperti penghadang cahaya, meja boleh lipat, dua skrin sesentuh AMOLED 14.5 inci, bumbung panoramik, peti sejuk, pelbagai ruang simpanan serta tablet lapan inci khas untuk mengawal pelbagai fungsi dalam kenderaan.

Terdapat konsol tengah panjang yang bersambung dari hadapan ke belakang ET9 ini, dan atas papan pemuka cuma terdapat skrin sesentuh 15.6 inci (sistem SkyOS), head-up display serta skrin pembantu digital NOMI. Stereng menggunakan unit bentuk berpetak.

Untuk sistem komputer, ET9 mendapat unit NX9031, yang dikatakan sebagai system-on-chip (SoC) gred automotif pertama di China yang menggunakan pemproses lima-nm. Cip ini memberi kuasa pemprosesan yang diperlukan untuk platform komputer Adam 2.0 yang memberi sokongan kepada fungsi seperti pemanduan pintar, kokpit digital, casis pintar, badan, e-powertrain serta dalam talian.

Harga ET9 di China bermula pada 800,000 yuan (RM516,712), dan mereka yang membuat tempahan awal akan diberikan pelbagai tawaran istimewa termasuk diskaun sehingga 10,000 yuan (RM6,459) dan khidmat pemandu percuma sehinga 100 jam. Buat masa ini Nio masih belum mendedahkan perancangan jualan ET9 ke negara selain China.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required