Nio ET5 didedah – jarak gerak hingga 1,000 km, 480 PS

Nio ET5 didedah – jarak gerak hingga 1,000 km, 480 PS

Hampir satu tahun selepas ET7 didedah, kini Nio memperkenalkan pula ET5 sewaktu acara Nio Day 2021 di Suzhou, China. Kereta elektrik ini dikatakan boleh memberi jarak gerak sehingga 1,000 km, dan mempunyai saiz sederhana dengan ukuran panjang 4,790 mm, lebar 1,960 mm, tinggi 1,499 mm dan jarak roda 2,888 mm.

Saiz ET5 ini adalah lebih kecil berbanding ET7, dan ia digerakkan oleh dua motor elektrik yang terdiri daripada unit 150 kW di hadapan dan 210 kW di belakang, menghasilkan kuasa keseluruhan 480 PS dan 700 Nm tork. Dengannya, ET5 boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.3 saat.

Jarak gerak agak jauh, sehingga 1,000 km yang boleh dicapai oleh ET5 ini adalah hasil daripada penggunaan bateri 150 kWh, sementara pek bateri 100 kWh dan 75 kWh yang juga disediakan sebagai pilihan boleh memberikan jarak gerak masing-masing 700 km dan 550 km.

Badan ET5 ini dikatakan mempunyai ketegaran kilas 34,000 Nm setiap darjah, dan dibuat daripada gabungan besi kekuatan ultra tinggi serta aluminium. Ia juga mempunyai titik graviti serendah 482.6 mm dengan jarak antara roda kiri dan kanan 1,685 mm.

Menurut Nio, semua ini menjadikan ET5 menepati semua keperluan untuk tahap lima bintang dalam ujian US National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA). Ia juga dibangunkan untuk menepati tahap lima bintang Euro NCAP dan China NCAP.

Kuasa henti ET5 datang daripada angkup empat piston yang menurut Nio, boleh memberhentikan kenderaan dari 100 km/j dalam jarak 33.9 meter. Turut membantu stabiliti dan kawalan adalah pembahagian berat badan 50:50.

Nio ET5 didedah – jarak gerak hingga 1,000 km, 480 PS

Di dalam kabin, ET5 mempunyai panel instrumen 10.2 inci dengan sistem yang menggunakan teknologi Augmented Reality (AR) dan Virtual Reality (VR). Untuk menggunakannya, pemandu perlu memakai cermin mata khas, yang boleh memaparkan skrin bersaiz 201 inci pada jarak enam meter.

Sistem infotainmen boleh dikawal melalui skrin AMOLED 12.8 inci yang diletakkan menegak di tengah manakala sistem bunyi pula menggunakan 23 pembesar suara dengan output keseluruhan setinggi 1,000 watt. Menurut Nio, penutup pembesar suara pada kenderaan ini juga boleh memaparkan lampu yang mengikut rentak lagu.

Kemasan dan balutan di bahagian dalam ET5 turut menggunakan bahan mesra alam, yang antaranya terdiri daripada polymeric Clean+ yang dihasilkan dengan cara 30% kurang emisi karbon berbanding bahan biasa, serta botol PET kitar semula untuk fabrik.

Nio ET5 turut dilengkapi dengan Nio Autonomous Driving (NAD), termasuk pakej Aquila Super Sensing dan Adam Super Computing, yang sudah sedia untuk menerima ciri pemanduan autonomous apabila ia sudah siap dibangunkan secara berperingkat nanti.

Antara kelengkapan yang berkait dengan sistem ini adalah lidar resolusi tinggi jarak ultra jauh, yang menawarkan pemandangan 120 darjah dan jarak maksimum 500 meter. Ia turut disertai dengan 11 kamera lapan megapiksel untuk pemanduan autonomous, lima radar gelombang milimeter dan 12 sensor ultrasonik.

Di China, harga Nio ET5 bermula RMB328,000 (RM217,315) tidak termasuk subsidi, dan boleh menjadi RMB258,000 (RM170,937) dengan pilihan BaaS (battery-as-a-service) sementara penghantaran kepada pelanggan pula dijangka bermula pada bulan September 2022.

Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required