Dalam peralihan kepada jenama elektrik sepenuhnya menjelang 2030, model-model generasi baharu Volvo yang diperkenalkan akhir-akhir ini semuanya hadir hanya dalam versi EV penuh. Model-model berkenaan juga tidak lagi mendapat sentuhan Polestar kerana ia telah dipisahkan dari Volvo untuk menjadi jenama bebas yang menghasilkan model-model sporty dengan kuasa elektrik.
Namun untuk pembeli SUV EV Volvo EX30, kini ada pilihan bagi menjadikan model tersebut nampak lebih unik dan tersendiri – ini dia pakej penggayaan Sport dan Outland yang dihasilkan oleh badan penala dari Belanda iaitu Everlast. Kedua-dua pakej ini menampilkan gandingan kit badan dan juga rim aloi forged yang menjadikan rupa SUV EV paling kecil dalam keluarga Volvo ini nampak lebih agresif mengikut tema masing-masing.
Bagi Volvo EX30 Sport, Everlast memberikan warna badan pada bumbung (hitam pada EX30 biasa) bersama bampar hadapan dan juga bahagian pelindung badan sisi juga di cat dengan warna badan bagi memberikan rupa yang lebih rendah kepada SUV ini.
Kemudian serlahan oren terang diberikan pada liang udara bawah bampar hadapan dan juga jalur pembahagi bumbung pada tiang-C yang bersambung dengan jalur pada spoiler bumbung. Bagi melengkapkan rupanya, Everlast menawarkan set rim aloi forged yang lebih ringan kemasan diamond cut serta berdiameter 21 yang lebih besar dalam tiga pilihan jejari. Ini membuatkan imej SUV pada EX30 ini hilang, dan ia kini nampak seperti sebuah hot-hatch.
Manakala untuk Volvo EX30 Everlast Outland, ia menjadikan SUV ini nampak lebih lasak bagi melalui laluan off-road yang lebih mencabar. Oleh itu ia dilengkapkan dengan rim aloi forged rekaan concave empat jejari berdiameter 19-inci yang lebih kecil, dibaluti dengan tayar off-road.
Kemudian Everlast memberikan kemasan hitam matte pada bahagian muka dan juga penutup tengah rim EX30 Outland ini, bersama jalur sisi berwarna hijau pada bahagian bawah pintu.
Everlast tidak mengumumkan sebarang peningkatan kuasa bagi kedua-dua versi ini. Dalam keadaan standard, Volvo menawarkan EX30 dalam tiga versi unit rangkaian kuasa. Model paling asas dibekalkan dengan hanya satu motor tunggal berkuasa 272 PS, dibekalkan dengan bateri LFP dengan jarak gerak lebih dekat.
Model Single Motor Extended Range pula diberikan konfigurasi motor dan kuasa yang sama, tetapi menerima bateri NMC yang membolehkannya bergerak sejauh 480 km dengan sekali cas. Manakala model paling berkuasa adalah model Twin Motor Performance, yang menggunakan bateri NMC sama, tetapi dipadankan bersama dua motor elektrik.
Motor berkenaan masing-masing diletakkan pada gandar hadapan dan belakang bagi memberikan pacuan semua roda serta menghasilkan kuasa keseluruhan 422 hp, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.6 saat.
Volvo EX30 ini juga sudah dilancarkan di Thailand pada September lalu, dijual pada harga lebih murah dari XC40 Recharge Pure Electric iaitu bermula 1.59 juta baht (RM209,061) untuk model Core Single Motor Extended Range, sehingga 1.89 juta baht (RM248,506) bagi model Ultra Twin Motor Performance.
Volvo Cars Malaysia (VCM) juga sudah mengesahkan bahawa EX30 akan dibawa ke pasaran tempatan, namun tarikh pelancarannya masih belum dimuktamadkan.
GALERI: Volvo EX30 Everlast Sport
GALERI: Volvo EX30 Everlast Outland
GALERI: Volvo EX30 2024
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.