Ketika pendedahan SUV Coupe elektrik sepenuhnya (EV) Volvo C40 Recharge semalam, jenama dari Sweden berkenaan mengumumkan bahawa mereka hanya akan menjual kereta elektrik sehingga menjelang tahun 2030, dan menghentikan sepenuhnya penghasilan enjin pembakaran dalaman, termasuk penjana hibrid selepas itu.

Langkah ini adalah sebahagian dari rancangan Volvo untuk penjagaan iklim bagi mengurangkan kitaran hayat jejak karbon bagi setiap kereta, bermula dari fasa pembuatan di kilang sehingga ia dilupuskan.

Selain dari menghentikan jualan kereta dengan enjin bahan api fossil berkenaan, usaha Volvo bagi mencapai neutral-iklim ini sebenarnya sudah pun bermula – jenama tersebut turut mengumumkan bahawa model-model elektrik sepenuhnya seperti C40 dan XC40 Recharge hanya boleh dibeli secara atas talian menerusi laman sesawang mereka.

Dengan cara ini, pelanggan boleh memilih secara spesifik perincian yang mereka mahukan (yang hanya akan dibuat setelah ditempah), atau memilih model yang telah dipra-tetap. Ia secara tidak langsung akan menyisihkan emisi yang terhasil dalam proses logistik konvensional, dan pelanggan akan melalui pengalaman pembelian lebih selesa serta harga yang lebih telus.

“Untuk kekal berjaya, kami perlu pertumbuhan yang menguntungkan. Jadi daripada melabur dalam perniagaan yang sedang menguncup, kami pilih untuk melabur dalam masa hadapan – elektrik dan atas talian. Kami kini sedang fokus sepenuhnya dalam menjadi peneraju dalam segmen elektrik premium yang bertumbuh dengan cepat,” kata CEO Volvo, Hakan Samuelsson.

“Tiada lagi masa depan jangka masa panjang untuk enjin pembakaran dalaman. Kami sangat komited untuk menjadi pembuat kereta elektrik sepenuhnya dan transisi tersebut akan berlaku pada 2030. Ia membolehkan kami untuk memenuhi jangkaan pelanggan dan menjadi sebahagian solusi dalam hal perjuangan perubahan iklim,” tambah ketua pegawai teknologi Volvo, Henrik Green pula.

GALERI: Volvo C40 Recharge 2021