Volvo C40 Recharge didedahkan – SUV Coupe elektrik sepenuhnya, P8 AWD berkuasa 408 PS/660 Nm!

Volvo C40 Recharge didedahkan – SUV Coupe elektrik sepenuhnya, P8 AWD berkuasa 408 PS/660 Nm!

Volvo secara rasminya telah mendedahkan baharu model elektrik sepenuhnya (EV) yang digelar C40 Recharge. Jika sebelum ini abjad ‘C’ dalam nama alphanumeric Volvo merujuk kepada Coupe dengan konfigurasi badan dua- atau tiga pintu seperti C70 dan C30, C40 kali ini merupakan coupe crossover yang diberikan lima-pintu termasuk pintu hatch di belakang.

Model ini diasaskan dari platform CMA, iaitu asas yang sama dengan SUV kompak XC40 generasi baharu (juga hadir dengan pilihan versi EV XC40 Recharge) dan juga crossover sedan elektrik sepenuhnya berprestasi tinggi Polestar 2. Menurut Volvo, C40 adalah model pertama mereka yang hanya ditawarkan dalam versi EV, tanpa pilihan penjana bahan api fosil.

Sebagai model yang hanya dijana elektrik, C40 menggunakan muka signatur Volvo untuk model-model EV. Rekaan unik tersebut termasuk rupa keseluruhan muka yang lebih ringkas, serta penggunaan gril tanpa elemen jailbar atau eggcrate, sebaliknya hanya diberikan kemasan permukaan rata dengan warna badan, bersama logo iron mark Volvo.

Volvo C40 Recharge didedahkan – SUV Coupe elektrik sepenuhnya, P8 AWD berkuasa 408 PS/660 Nm!

Sebagai model elektrik sepenuhnya, C40 tidak memerlukan aliran udara untuk masuk ke ruang enjin bagi tujuan penyejukan. Jadi dengan rekaan lebih ringkas dan mempunyai lebih banyak permukaan rata ini membantu C40 bagi mendapatkan aliran udara sekeliling kenderaan yang lebih baik dan bersih.

Lampu hadapan LED (dengan teknologi piksel yang canggih) pada C40 ini juga berbeza berbanding XC40, menampilkan kluster dengan bentuk hujung yang lebih tirus serta jalur LED ‘tukul Thor’ yang lebih nipis, memberikan ekspresi muka yang lebih garang.

Pada bahagian sisi, C40 ini menampilkan rupa fender dan juga cermin sisi pandang belakang yang sama seperti XC40. Namun sebagai sebuah coupe, garis bumbung pada C40 adalah lebih landai ke belakang bermula dari tingkap sisi hadapan lagi sehingga ke tiang-D yang lebih rendah.

Volvo C40 Recharge didedahkan – SUV Coupe elektrik sepenuhnya, P8 AWD berkuasa 408 PS/660 Nm!

Ia juga tidak diberikan rel bumbung untuk aspek aerodinamik lebih baik, manakala di belakang ia dilengkapkan dengan spoiler bumbung gaya-jet, sayap bersepadu dengan pintu tailgate serta rekaan lampu LED belakang yang lebih tersendiri. Model yang didedahkan kali ini dibekalkan dengan rim 20-inci aero-optimised dengan tayar 255/40R20.

Pada bahagian kabin, pengayaan C40 ini dilihat hampir sama seperti XC40 Recharge. Pelanggan diberikan pelbagai pilihan tema warna dan opsyen kemasan, yang sebahagiannya adalah eksklusif hanya pada C40. Model ini juga merupakan model pertama Volvo tanpa sebarang bahan kulit, berkemungkinan ia akan ditawarkan dengan material sintetik dengan kualiti sama seperti kulit asli.

Sistem infotainmen pada C40 ini juga sama seperti XC40 Recharge, menampilkan skrin berasaskan Android yang memberikan akses penuh kepada pelbagai servis Google dan aplikasi dari Google Play Store, termasuk ciri bina dalam seperti Google Maps dan Google Assistant. Model ini hadir dengan bekalan data internet tanpa had, serta menyokong sistem sokongan kemaskini perisian over-the-air (OTA).

Menurut Volvo, C40 Recharge menerima sistem penggerak yang sama seperti XC40 Recharge. Sistem yang digelar sebagai P8 AWD tersebut terdiri dari dua motor elektrik, setiap satunya diletakkan pada gandar hadapan dan belakang bagi mewujudkan pacuan semua roda.

Pada XC40 Recharge sistem berkenaan menghasilkan 408 PS dan tork 660 Nm bermula dari 0 rpm – angka yang sama pada Polestar 2. Ini membolehkan SUV Coupe tersebut memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa tak sampai lima saat. Namun menerusi polisi terbaharu Volvo, kelajuan maksima hanya dihadkan pada 180 km/j.

Ia turut berkongsi sistem bekalan elektrik yang sama seperti XC40, iaitu pek bateri lithium-ion 78 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 420 km dengan satu caj penuh. Menurut Volvo, jarak gerak tersebut mungkin akan lebih jauh selepas ini setelah mereka mengemaskini perisian, dan ia hanya akan dibuat menerusi OTA.

Volvo C40 ini boleh di caj semula menerusi pengecaj AC dengan penghubung Type 2, mengambil masa sekitar 7.5 jam menggunakan palam tiga-fasa 11 kW. Sistem pengecaj cepat turut diberikan menerusi palam 150 kW DC menggunakan penghubung CCS, membolehkan bateri diisi dari 0 hingga 80% dalam masa hanya 40 minit.

Dalam mencapai sasaran neutral-iklim menjelang 2040, inovasi yang Volvo buat bukan hanya sekadar pada model yang dihasilkan, malah juga pada bahagian jualan. Oleh itu, Volvo menyatakan bahawa semua kereta elektrik mereka hanya boleh dibeli secara atas talian. Dengan medium ini, ia akan mengurangkan kerumitan dalam penawaran produk, dan menggalakkan ketelusan dengan harga tetap ditawarkan pada model dan ciri opsyen.

“C40 Recharge mewakili masa hadapan Volvo dan menunjukkan hala tuju kami. Ia adalah elektrik sepenuhnya, ditawarkan hanya dalam talian dengan pakej penjagaan yang mudah serta akan dihantar dengan cepat. Memiliki Volvo baru tak pernah semenarik ini,” kata ketua pegawai teknologi Volvo, Henrik Green.

Volvo C40 Recharge akan mula diproduksi pada suku ketiga tahun ini, dan akan dihasilkan bersama XC40 Recharge di kilang Volvo Cars Ghent, Belgium.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required