Suzuki Jimny 5-Door dipertonton di Singapura – lebih panjang, lebih pintu, lebih praktikal, enjin 1.5L sama

Suzuki Jimny 5-Door dipertonton di Singapura – lebih panjang, lebih pintu, lebih praktikal, enjin 1.5L sama

Suzuki Jimny 5-Door, iaitu Jimny yang lebih praktikal dengan diberikan pintu belakang dan badan lebih panjang telah pun muncul buat pertama kali di India setahun yang lalu. Ketika berlangsungnya Singapore Motorshow 2024 minggu lalu, model berkenaan turut dibawa untuk dipertonton.

Tiada sebarang petunjuk sama ada ia akan dilancarkan di negara tersebut atau tidak, malah unit yang dibawa ini juga adalah dari versi pemanduan sebelah kiri. Model ini dihasilkan dengan ukuran 3,985 mm panjang, 1,645 mm lebar, 1,720 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,590 mm. Oleh itu berbanding model biasa, versi 5-Door ini adalah 505 mm lebih panjang dengan jarak roda 340 mm lebih jauh.

Ini membolehkan dua lagi pintu ditambah pada bahagian belakang bersama ruang kaki lebih luas diberikan kepada penumpang belakang. Dalam masa yang sama, tempat duduk belakang juga masih direka bagi membolehkan ia dilipat dengan nisbah 50:50, memberikan ruang kargo lebih besar jika diperlukan.

Selain dari itu, perincian Jimny 5-Door ini masih sama dengan versi tiga-pintu biasa. Ia termasuk rekaan pada papan pemuka, rupa hadapan dan belakang, dan ia masih dijana oleh enjin K15B 1.5 liter empat-silinder petrol-NA berkuasa 105 PS (103 hp atau 77 kW) dan tork maksima 134 Nm.

Di pasaran-pasaran di mana Jimny ini sudah dilancarkan, ia ditawarkan dengan pilihan kotak gear manual lima-kelajuan dan automatik empat-kelajuan. Sistem pacuan empat roda AllGrip Pro 4WD Suzuki pula merupakan kelengkapan standard bagi Jimny ini, bersama unit transfer case bagi membolehkan pemandu memilih gear L untuk pemanduan pada permukaan off-road lebih mencabar.

Suzuki Jimny generasi terkini dalam varian tiga pintu sudahpun dijual di Malaysia sejak Disember 2022 dengan harga RM174,900. Sekiranya model 5-Door ini turut dibawa ke pasaran tempatan, ia mungkin dijual pada harga lebih tinggi. Mana yang lebih anda suka, versi standard tiga-pintu atau 5-Door ini? Kongsikan pendapat anda pada ruangan komen di bawah atau pada saluran media-media sosial kami.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required