Suzuki telah melancarkan Jimny 5-Pintu di India menerusi penganjuran Auto Expo 2023 di Delhi, mengesahkan khabar angin yang bertebaran sebelum ini mengenai versi lebih panjang bagi off-roader kompak tersebut.

Berukuran 3,985 mm panjang, 1,645 mm lebar dan 1,720 mm tinggi dengan jarak roda 2,590 mm, Jimny 5-Pintu ini adalah 505 mm lebih panjang berbanding versi tiga-pintu bagi model ini, di mana jarak rodanya dipertingkatkan sebanyak 340 mm.

Laman web rasmi Suzuki menyebut Jimny 5-Pintu ini didatangkan dengan enjin 1.5 liter petrol, unit yang sama dengan versi 3-pintu, iaitu K15B naturally-aspirated, yang menghamburkan kuasa cecah 102 hp dan tork 130 Nm.

Ia juga diberikan dua pilihan transmiai sama ada manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan, dengan bentangan 4WD separuh masa bersama transfer case bagi pemilihan julat rendah.

Selain memiliki pintu belakang, ciri penampilan luarannya masih mirip dengan Jimny 3-Pintu, termasuk kemasan warna Kinetic Yellow. Begitu juga dengan bampar hadapan dan belakang, bonet, cermin hadapan serta gerbang roda yang mirip dengan versi 3-pintu.

Walau bagaimana pun, yang membezakannya adalah pada bodywork aft pintu belakang di mana perumah kacanya lebih pendek berbanding versi 3-pintu. Di dalamnya, hanya satu imej diberikan yang menunjukkan bentangan papan pemuka, yang juga mirip dengan versi 3-pintu. Untuk infotainmen, ia dipertingkatkan dengan menampilkan unit skrin sesentuh sembilan-inci, berbanding skrin sesentuh tujuh-inci yang diberikan untuk Jimny pasaran Malaysia dan Australia.

Tidak banyak perincian yang didedahkan buat masa sekarang, tetapi Car Expert memaklumkan bahawa Jimny 5-Pintu kini ditingkatkan dari segi ciri keselamatan termasuk diberikan beg udara tirai untuk kedua-dua barisan tempat duduk penumpang.

Sementara itu, Jimny tiga-pintu untuk pasaran Malaysia diimport dari Jepun. Manakala Jimny 5-Pintu yang baru diperkenalkan ini diperbuat di Gurugram, India, begitu juga dengan model tiga-pintu untuk pasaran negara berkenaan, menurut Motor1. ia juga dieksport ke Amerika Latin, Afrika dan beberapa pasaran pemanduan sebelah kanan (RHD) termasuk Australia.

Di Malaysia, Suzuki Jimny 3-Pintu ditawarkan pada harga atas jalan RM174,900 tanpa insurans (harga yang dikemaskini pada Julai 2022), dengan tambahan RM1,500 jika memilih kemasan Bluish Black Pearl 3, atau RM2,500 untuk warna signitur Kinetic Yellow.

GALERI: Suzuki Jimny 2021 untuk pasaran Malaysia