Honda Transalp XL750 bakal tiba di Malaysia pada harga bawah RM65k? Enjin 755 cc, meter TFT, HSTC

Honda Transalp XL750 bakal tiba di Malaysia pada harga bawah RM65k? Enjin 755 cc, meter TFT, HSTC

Pilihan motosikal adventure kelas pertengahan di Malaysia nampak seperti akan bertambah apabila salah sebuah syarikat pengedar rasmi motosikal berkuasa tinggi (Big Wing) Honda di Malaysia, iaitu Fast Bikes Motorcycles Malaysia mula menyiarkan “sesi meracun” berkenaan Transalp XL750 di laman media sosial.

Meskipun tiada kenyataan rasmi daripada Fast Bikes mahupun Boon Siew Honda (BSH) sama ada model ini akan betul-betul tiba atau tidak, ia boleh diambil sebagai petunjuk kerana sudah beberapa kali motosikal tersebut dimuat naik dan mereka yang berminat sudah boleh berhubung dengan pengedar tersebut.

Malahan, Fast Bikes turut memberi bayangan harga apabila ditanya oleh netizen. Antara ayat yang diberi adalah, “Insyaallah, RM65k siap boleh beli box.” Dan juga, “RM80,000 free CB250R sebijik.”

Jika melihat kepada pasaran negara jiran seperti Thailand, Transalp dijual pada harga 389,000 baht (RM51,586), dan 36,000 baht (RM4,774) lebih murah berbanding X-ADV 750 (425,000 baht/RM56,360). Mengikuti perbandingan sama dengan mengambil harga rasmi (oleh BSH) X-ADV di Malaysia (RM68,899), lingkungan harga bawah RM65k itu nampak logik.

Walaubagaimanapun, ini semua sekadar jangkaan awal. Harga sebenarnya masih belum diketahui dan ia boleh berubah kerana bergantung kepada banyak perkara yang juga boleh berubah pada bila-bila masa.

Untuk imbasan kembali, Transalp XL750 adalah sebuah motosikal adventure yang diperkenalkan kepada dunia pertama kali pada September tahun 2022, dan ia menggunakan enjin dua silinder selari SOHC 755 cc bersama kotak gear enam kelajuan dengan klac jenis assist & slipper, mampu menghasilkan kuasa sehingga 90.5 hp pada 9,500 rpm dan 75 Nm tork pada 7,500 rpm.

Jika tiba di Malaysia nanti, ia akan bersaing dengan antaranya Yamaha Tenere 700 dan Suzuki V-Strom 800 DE, yang dijual pada harga masing-masing RM69,988 dan RM60,800.

Walaupun dijual lebih murah berbanding Tenere 700 (di Eropah), Transalp membawa kelebihan dengan antaranya dilengkapi empat tahap Engine Power, tiga tahap Engine Brake, lima tahap (juga boleh ditutup) Honda Selectable Torque Control (HSTC) serta mod Offroad bagi ABS.

Ia juga datang dengan meter TFT, suspensi Showa (fork SFF-CATM 41 mm dengan pelarasan pra beban dan monoshock dengan pelarasan pra beban), rim spoked 21 inci dengan tayar 90/90 di hadapan dan 18 inci dengan tayar 150/70 di belakang serta tangki bahan api 16.9 liter.

GALERI: Honda Transalp XL750

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required