Trak pikap RD6 yang dihasilkan oleh sub-jenama Geely iaitu Radar sudahpun dilancarkan di China pada hujung 2022, namun ia hanya hadir dalam versi motor elektrik tunggal pacuan roda belakang. Menurut laporan Carnewschina, versi lebih berkuasa Radar RD6 ini yang dijana dua motor elektrik pacuan semua roda bakal dilancarkan di negara berkenaan pada suku kedua tahun ini.
RD6 merupakan trak pikap yang dihasilkan dari Multiplex Attached Platform (MAP), iaitu platform yang diasaskan dari platform Sustainable Experience Architecture (SEA). Oleh itu bagi menghasilkan versi pacuan semua roda, satu lagi motor elektrik boleh dipadankan dengan mudah pada gandar hadapan.
Menurut CEO Radar, Ling Shiquan dalam laporan tersebut, dengan satu lagi motor elektrik yang dipadankan pada RD6 AWD tersebut kelak membolehkan trak pikap tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa yang hampir sama seperti trak pikap EV Tesla Cybertruck, iaitu sekitar empat saat walaupun dengan membawa beban 100 kg.
Ling turut menyatakan bahawa RD6 AWD ini turut mempunyai kebolehan meredah air dengan seperti Hummer EV iaitu dengan kedalaman sekitar 813 mm.
Buat masa sekarang RD6 pacuan roda belakang dijana oleh motor tunggal berkuasa 272 hp (200 kW) memboolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6 saat. Motor berkenaan disuap dengan kuasa elektrik yang dibekalkan dari bateri LFP 63 kWj untuk varian asas, memberikan jarak gerak 400 km. Varian pertengahan menerima bateri NMC 86 kWj untuk jarak gerak 550 km, dan varian paling mahal diberikan bateri NMC 100 kWj untuk jarak gerak 632 km.
Walaupun belum ada perincian rasmi diumumkan, model AWD kelak mungkin menerima motor untuk gandar hadapan dengan kuasa yang sama, seperti model-model EV lain yang dibangunkan oleh Geely menggunakan platform SEA tersebut. Ia juga mungkin akan menerima pilihan bateri dengan kapasiti lebih besar bagi mengekalkan jarak gerak yang jauh.
GALERI: Radar RD6 RWD
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.