Suzuki Jimny 5-Door 2024 dilancarkan di Indonesia – bermula RM142k, 4AT dan 5MT, 1.5L 102 PS/130 Nm

Suzuki Jimny 5-Door 2024 dilancarkan di Indonesia – bermula RM142k, 4AT dan 5MT, 1.5L 102 PS/130 Nm

Selepas muncul di India pada Januari lalu, Indonesia kini turut menerima SUV off-road kompak Suzuki Jimny dalam versi lima-pintu, sebagai tambahan dari versi tiga pintu sedia ada. Pada pasaran tersebut Suzuki Jimny 5-Door dijual pada harga bermula 476.5 juta rupiah (RM145,986) untuk varian dengan kotak gear manual, manakala versi dengan kotak gear automatik empat kelajuan pula berharga 462 juta rupiah (RM141,563).

Seperti dijangka, model 5-Door ini adalah lebih mahal dari versi tiga-pintu biasa. Sebagai contoh, Jimny 5-Door dengan kotak gear manual ini dijual pada harga 18.1 juta rupiah (RM5,547) lebih mahal berbanding Jimny tiga-pintu manual. Manakala model dengan kotak gear automatik pula versi 5-Door ini adalah 15.1 juta rupiah (RM4,627) lebih mahal berbanding versi tiga-pintu automatik.

Jimny 5-Door pasaran Indonesia ini ditawarkan dalam enam warna badan, di mana tiga daripadanya adalah pilihan dua tona yang menampilkan bumbung berwarna Pearl Bluish Black dengan harga 3 juta rupiah (RM919) lebih mahal. Suzuki Indonesia juga menawarkan pilihan pakej aksesori dalam tiga tema iaitu Camping Style, Marine Style, Street Style, serta pelbagai lagi pilihan aksesori asli lain.

Namun kesemua model masih lagi menerima enjin yang sama seperti model tiga-pintu, iaitu enjin K15B 1.5 liter empat-silinder petrol-NA berkuasa 105 PS (103 hp atau 77 kW) dan tork maksima 134 Nm. Tidak kira sama ada dalam versi manual atau automatik, kedua-duanya menerima sistem pacuan empat roda AllGrip Pro 4WD, bersama unit transfer case bagi membolehkan pemandu memilih gear L untuk pemanduan pada permukaan off-road lebih mencabar.

Suzuki Jimny 5-Door 2024 dilancarkan di Indonesia – bermula RM142k, 4AT dan 5MT, 1.5L 102 PS/130 Nm

Model dengan tambahan pintu belakang ini dihasilkan dengan ukuran 3,985 mm panjang, 1,645 mm lebar, 1,720 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,590 mm. Oleh itu berbanding model biasa, versi 5-Door ini adalah 505 mm lebih panjang dengan jarak roda 340 mm lebih jauh.

Jadi bukan pintu sahaja ditambah, malah bahagian penumpang belakang juga menampilkan ruang kaki lebih luas berbanding versi tiga-pintu. Dalam masa yang sama, tempat duduk belakang juga masih direka bagi membolehkan ia dilipat dengan nisbah 50:50, memberikan ruang kargo lebih besar jika diperlukan.

Model 5-Door ini menampilkan sudut approach 36 darjah, sudut breakover 24 darjah dan sudut departure 47 darjah, berbanding model tiga pintu biasa yang mempunyai sudut approach 37 darjah, sudut breakover 28 darjah dan sudut departure 49 darjah. Saiz badan yang lebih panjang ini juga menyebabkan radius pusingan bagi model 5-Door lebih besar iaitu 5.7 meter, berbanding 4.85 meter bagi model biasa.

Pada sebelah luar, gril hadapan model 5-Door ini menerima serlahan kemasan krom yang tidak diberikan pada model tiga-pintu. Selain itu ia diberikan perincian standard lain seperti lampu hadapan projektor LED, lampu kabus hadapan dan juga rim aloi 15-inci yang dibalut dengan tayar 195/80R15.

Manakala dalam kabin, ia dilengkapi dengan perincian standard seperti sistem penghawa dingin automatik, tempat duduk balutan fabrik, serta sistem infotainmen Display Audio dengan skrin sesentuh 9-inci yang lebih besar berbanding versi tiga-pintu yang hanya menerima skrin 6.8-inci.

Model yang lebih panjang ini juga menerima penambahan beg udara sisi dan tirai, menjadikan jumlah beg udara adalah enam unit secara keseluruhan, berbanding model tiga-pintu yang hanya diberikan dua beg-udara. Tetapi ia masih belum dibekalkan dengan sebarang kelengkapan keselamatan aktif, dan hanya diberikan sistem keselamatan pasif seperti ESP, bantuan mula mendaki, sistem brek ABS dan BA.

Masih belum ada petunjuk sama ada Suzuki Malaysia akan turut membawa Jimny 5-Door ini ke sini atau tidak. Buat masa sekarang Jimny biasa tiga-pintu yang hanya ditawarkan dengan kotak gear automatik dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM174,900. Sekiranya Jimny 5-Door dilancarkan di Malaysia, pada pendapat anda berapa harga patut untuk ia dijual di sini?

GALERI: Suzuki Jimny 5-Door di Singapore Motor Show 2024

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required