Hyundai henti jual model prestasi N dengan enjin petrol di Eropah, tumpu hasilkan model prestasi EV

Hyundai henti jual model prestasi N dengan enjin petrol di Eropah, tumpu hasilkan model prestasi  EV

Hyundai telah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa ia akan menghentikan jualan model-model prestasi N yang dijana oleh enjin petrol di Eropah bermula bulan ini. Pengeluar automotif dari Korea berkenaan menyatakan langkah ini dibuat selari dengan sasaranya bagi mencapai operasi neutral karbon sepenuhnya menjelang 2045.

“Produksi model-model N dengan enjin pembakaran dalaman telah dihentikan di pasaran Eropah bermula Februari, selari dengan komitmen kami bagi menawarkan barisan model sifar emisi ekzos kepada pelanggan menjelang 2035 dan untuk beroperasi 100 peratus neutral karbon menjelang 2045,” kata Hyundai dalam kenyataan tersebut.

Buat masa sekarang Hyundai menawarkan dua model prestasi N dengan enjin petrol iaitu hot-hatch i30 N dengan enjin 2.0 liter empat-silinder turbo berkuasa 280 PS/392 Nm, dan juga adiknya yang lebih kecil i20 N dengan enjin 1.6 liter empat silinder turbo berkuasa 204 PS/275 Nm.

Hyundai henti jual model prestasi N dengan enjin petrol di Eropah, tumpu hasilkan model prestasi  EV

Dalam satu kenyataan berasingan kepada Motor1 Deutschland, Hyundai Germany menyatakan kedua-dua model tersebut kini masih lagi ada dalam laman web rasminya dan masih dijual dipasaran berkenaan, namun ia hanya ditawarkan sehingga stok sedia habis.

Walau bagaimanapun Hyundai masih menjanjikan model prestasi N yang lebih menarik akan ditawarkan di pasaran Eropah dijana oleh unit rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya (EV) pada masa hadapan.

“Melihat ke hadapan di Eropah, Hyundai kini sedan membangunkan Hyundai sebagai perintis kepada model-model EV berprestasi tinggi. Pelanggan kami akan mendapat manfaat dari pembangunan teknologi yang akan membuatkan EV lebih menarik pada masa hadapan,” tambah Hyundai lagi dalam kenyataan awal yang dikeluarkan.

Hyundai henti jual model prestasi N dengan enjin petrol di Eropah, tumpu hasilkan model prestasi  EV

Tahun lalu Hyundai telahpun memperkenalkan hot-hatch EV pertamanya iaitu Ioniq 5 N, yang bukan sahaja menerima kuasa keseluruhan 650 PS dari dua motor elektrik yang memberikan pacuan semua roda, malah ia turut menampilkan bunyi seperti enjin petrol lengkap dengan pop & bang, rasa tukaran gear seperti diberikan kotak gear DCT, serta menampilkan mod drift untuk pemanduan lebih mengujakan.

Namun rancangan untuk beralih sepenuhnya kepada EV ini mungkin hanya terpakai pada pasaran Eropah. Ini kerana pada hujung tahun lalu Penasihat Teknikal Eksekutif Hyundai Motor Group (HMG), Albert Biermann membayangkan bahawa beliau mahukan enjin petrol 2.4 liter turbo yang lebih besar untuk disumbatkan pada sedan prestasi Hyundai Elantra N berbanding enjin 2.0 liter empat-silinder turbo sedia ada.

Menurut Bierman, walaupun banyak pasaran yang kini sedang menumpukan kepada teknologi kenderaan elektrik penuh, masih ada lagi beberapa pasaran seperti Australia dan Amerika Utara yang dilihat masih sukakan kereta dengan enjin pembakaran dalaman.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required