Hyundai i20 N didedahkan – ‘pocket-rocket’ 1.6L turbo, 204 PS/275 Nm, 6-kelajuan manual, 0-100km/j 6.7 saat!

Hyundai i20 N didedahkan – ‘pocket-rocket’ 1.6L turbo, 204 PS/275 Nm, 6-kelajuan manual, 0-100km/j 6.7 saat!

Selepas berberapa teaser disiarkan, sayap perlumbaan Hyundai iaitu Hyundai N telah mendedahkan secara rasmi satu lagi model berprestasi untuk jalan raya mereka – Hyundai i20 N. Berbeza dengan model-model mereka sebelum ini yang bersaiz segmen-C iaitu i30 N (hatchback dan fastback) serta Veloster N, senjata baharu mereka ini akan menyerang pasaran ‘pocket-rocket’ hot-hatch segmen-B yang lebih kecil.

Menurut Hyundai N, model produksi jalan raya i20 N ini adalah diinspirasikan dari jentera rali dunia mereka, i20 N Coupe WRC yang telah pun merangkul gelaran juara dunia untuk kategori pengeluar tahun lalu, dan ia menampilkan berat yang sama dengan berat minima yang ditetapkan oleh FIA pada jentera rali sebenar berkenaan iaitu 1,190 kg.

Tidak seperti abang-abangnya yang diberikan enjin 2.0L turbo, i20 N ini dijana dengan enjin lebih kecil 1.6 liter turbo dengan sistem suntikan bahan api terus, bersama teknologi CVVD baharu Hyundai. Jenama dari Korea berkenaan turut menyebut bahawa ini adalah satu lagi enjin baharu mereka yang di bawa ke pasaran Eropah.

Walaupun kecil, enjin berkenaan berupaya menghasilkan kuasa 204 PS yang dicapai antara 5,500 hingga 6,000 rpm, serta tork maksima 275 Nm yang keluar sepenuhnya seawal 1,750 hingga 4,500 rpm. Sistem turbo pada enjin ini bukan sahaja disejukkan unit intercooler, malah turut dibantu dengan aliran cecair penyejuk dari sistem penyejukkan enjin sendiri.

Hyundai i20 N didedahkan – ‘pocket-rocket’ 1.6L turbo, 204 PS/275 Nm, 6-kelajuan manual, 0-100km/j 6.7 saat!

Kuasa hanya dialirkan ke roda hadapan menerusi hanya satu pilihan transmisi iaitu kotak gear manual enam kelajuan. Kotak gear ini diberikan gigi gear yang diperkuat bagi memastikan ia tahan dengan asakan dari sistem launch control yang diberikan, serta untuk sentiasa beroperasi pada takat rpm enjin yang tinggi.

Bukan itu sahaja, kotak gear tersebut turut dibekalkan dengan unit LSD pada pemasangan gear akhir, bagi membolehkan kuasa cengkaman dialirkan sepenuhnya pada kedua-dua roda hadapan ketika meredah selekoh. Namun berbeza dengan abang-abangnya yang diberikan LSD kawalan elektronik, LSD pada i20 N ini menggunakan sistem mekanikal sepenuhnya dengan kawalan yang dibuat oleh gear Torsion.

Menurut Hyundai, padanan unit janakuasa dengan badan i20 N yang ringan ini membolehkan ia mencapai nisbah kuasa kepada berat terbaik dalam kelasnya. Oleh itu, ia mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam 6.7 saat, dan hatchback kecil ini mampu mencapai kelajuan maksima 230 km/j.

Dengan kuasa yang jauh lebih besar ini dan untuk menjadikan ia sebuah jentera yang boleh digunakan di litar lumba, casis i20 N ini turut menerima rombakan besar berbanding hatchback penumpang biasa i20 versi standard yang hanya diberikan enjin 1.2 liter dan 1.0 liter turbo.

Hyundai i20 N didedahkan – ‘pocket-rocket’ 1.6L turbo, 204 PS/275 Nm, 6-kelajuan manual, 0-100km/j 6.7 saat!

Kerangka i20 N ini diberikan 12 bahagian yang dikeraskan lagi termasuk pelindung bawah yang direka semula dan juga diberikan berberapa bracket tambahan. Untuk suspensi pula, ia bukan sahaja ditala semula, malah geometrinya turut dilaras kembali, manakala komponen pada bahagian dome dan knuckle hadapan ditukar kepada komponen yang lebih kuat.

Proses tersebut termasuk meningkatkan sudut camber bagi mendapatkan cengkaman lebih baik, diberikan bar anti oleng unik serta talaan penyerap hentak dan spring yang bukan sahaja lebih keras, malah badan i20 N ini dapat direndahkan lagi 10 mm berbanding model standard.

Menurut Hyundai, segala kelengkapan pada suspensi dan gandar hadapan berkenaan digelar sebagai N Power Axle, manakala di belakang pula i20 N ini diberikan suspensi jenis Dual Coupled Torsion Beam Axle (CTBA) yang memberikan ketegaran yang lebih tinggi serta memberikan prestasi pemanduan dan pengendalian lebih baik.

Sistem stereng berkuasa elektrik (C-MDPS) pada i20 N ini juga turut ditala semula, manakala rak stereng yang dipadankan juga diberikan nisbah yang lebih laju iaitu 12.0:1, berbanding 12.4:1 pada i20 standard. Untuk brek pula, i20 N ini menerima cakera hadapan 40 mm lebih besar bagi memberikan kuasa pemberhentian lebih baik, meningkatkan rintangan untuk terjadinya brake fade serta memberikan rasa pedal brek yang lebih konsisten.

Bagi menangani setiap kuasa ke permukaan jalan, i20 N juga menerima tayar UHP Pirelli P-Zero yang dihasilkan khas untuknya dengan tanda “HN” (Hyundai N), dalam saiz 215/40R18 yang membalut rim aloi unik berdiameter 18-inci.

Seperti model-model N yang lain, model paling kecil ini tidak terkecuali dari menerima sistem bantuan elektronik N Grin Control. Sistem ini menawarkan lima mod pemanduan – Normal, Eco, Sport, N dan N Custom – di mana kesemuanya akan menala semula parameter enjin, ESC, bunyi ekzos dan juga talaan stereng bagi mengoptimakan setiap keadaan pemanduan.

Selain itu, i20 N ini juga menerima sistem Rev-Match (dengan butang khas diberikan pada roda stereng) yang membolehkan anda menurunkan gear secara agresif walaupun tanpa kemahiran teknik heel & toe, serta Launch Control yang mengawal kelajuan enjin dan traction control yang membolehkan anda ‘berlepas’ dari kedudukan pegun seperti pemandu professional.

Fungsi-fungsi lain yang diinsiprasikan dari dunia sukan permotoran dilengkapkan pada i20 N ini termasuk electric sound generator yang memberikan bunyi enjin lebih ‘sedap’ masuk kedalam kabin, variable muffler control untuk memberikan bunyi ekzos yang lebih baik (turut menampilkan bunyi pop & crackle!), kalibrasi semula untuk brek yang dibuat dengan kaki kiri serta penunjuk tahap penggunaan pad brek (PWI).

Hyundai i20 N didedahkan – ‘pocket-rocket’ 1.6L turbo, 204 PS/275 Nm, 6-kelajuan manual, 0-100km/j 6.7 saat!

Tidak sukar untuk membezakan penampilan luaran Hyundai i20 N ini dengan i20 standard kerana ia tampil dengan rupa yang lebih garang. Bampar untuk i20 N ini mungkin nampak seiras dengan bampar untuk kit badan i20 N Line dengan liang udara sisi lebih besar, namun ia diberikan kemasan jalur Tomato Red menggantikan jalur hitam di sepanjang spoiler bawah bampar.

Gril ‘cascading’ pada model ini pula jika anda perhatikan, ia hadir diberikan corak seakan bendera perlumbaan. Manakala lencana ‘N’ yang diberikan memberi amaran bahawa ia bukan hatchback segmen-B yang biasa. Pada bahagian sisi, model ini diberikan skirt yang lebih labuh serta jalur merah dari bampar hadapan yang sama.

Manakala di belakang, i20 N ini diberikan spoiler bumbung agak besar yang didakwa diinspirasikan dari spoiler i20 N WRC, serta diffuser lebih agresif di bawah bampar yang turut menempatkan tip ekzos besar berbentuk oval.

Untuk warna badan, sudah tentu warna perlumbaan Hyundai N Performance Blue dipilih sebagai warna hero, disamping lima warna lain iaitu Intense Blue, Polar White, Sleek Silver, Brass dan Phantom Black. Kecuali rona badan hitam, semua pilihan warna tersebut boleh dipilih dengan opsyen bumbung berwarna Phantom Black.

Hyundai i20 N didedahkan – ‘pocket-rocket’ 1.6L turbo, 204 PS/275 Nm, 6-kelajuan manual, 0-100km/j 6.7 saat!

Dalam kabin pula, model berprestasi tinggi ini menerima tempat duduk sport dengan perehat kepada bersepadu, roda stereng N, tombol gear N dan juga set pedal aloi N. Keseluruhan bahagian dalaman i20 N ini menerima tema warna hitam, dengan serlahan Performance Blue pada bahagian-bahagian sepatutnya.

Lampu amaran redline diberikan pada paparan instrumen yang bertindak sebagai shift light membolehkan pemandu menukar gear pada masa yang tepat. Ia turut hadir dengan sistem Performance Driving Data yang berfungsi sebagai data logger. Sistem berkenaan akan menyimpan dan memaparkan data pemanduan anda termasuk kuasa enjin, tork, boost turbo, masa lap dan juga masa pecutan.

Skrin sesentuh LCD yang bersaiz 10.25-inci ditawarkan secara opsyenal. Ia bukan sahaja memberikan fungsi infotainmen seperti hubungan Apple CarPlay, Android Auto, sistem navigasi dan servis terhubung Hyundai Bluelink, malah turut memaparkan fungsi-fungsi prestasi N.

Walaupun ia sebuah jentera yang fokus terhadap prestasi, elemen-elemen keselamatan turut tidak diambil mudah. Hyundai i20 N menerima sistem lengkap pakej bantuan pemanduan Hyundai Smartsense yang terdiri dari fungsi seperti amaran pelanggaran hadapan bersama pengesan pejalan kaki lengkap dengan AEB, bantuan had laju pintar, bantuan kekal tengah lorong dan amaran titik buta.

Selain itu, fungsi amaran lintasan trafik belakang, bantuan lampu tinggi, sistem amaran tumpuan pemandu bersama amaran keluar lorong turut dibekalkan. Hyundai i20 N ini akan masuk ke pasaran Eropah seawal Mac 2021 nanti.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required