Proton jamin ketersediaan alat ganti pembaikan kemalangan dan servis untuk setiap model baharu

Proton jamin ketersediaan alat ganti pembaikan kemalangan dan servis untuk setiap model baharu

Selepas Proton menjalin kerjasama dengan Geely sejak 2017, ramai yang sangsi dengan kemampanan jenama automotif nasional tersebut selepas itu. Maklumlah, Proton lahir dari kerjasama dengan Mitsubishi yang berasal dari Jepun, tiba-tiba bergandingan pula dengan entiti yang berasal dari China. Walaupun nama Geely itu sudah kuat sebagai gergasi automotif yang memiliki Volvo, masih ramai lagi yang ragu-ragu kerana imej ‘made in China‘ dari perspektif pasaran tempatan yang menandakan ia adalah sesuatu yang negatif.

Tambah parah, apabila produk pertama Proton-Geely iaitu Proton X70 sudah mula dijual dalam pasaran tempatan, SUV tersebut menghadapi masalah bekalan alat ganti yang tidak cukup, khususnya untuk pembaikkan kerosakan kemalangan. Tular pelbagai berita banyak X70 yang tersadai kerana bekalan alat ganti yang tidak cukup, seterusnya seakan mengiyakan tanggapan awal masyarakat di sini, dan mengaitkan masalah sama seperti beberapa jenama dari China yang masuk ke Malaysia kemudian menemui kegagalan atas masalah yang hampir sama.

Namun Proton tidak berdiam diri untuk terus dikaitkan dengan masalah tersebut, dan pelbagai usaha yang dilakukan untuk memperbaiki kelemahan itu. Antaranya Proton telah melancarkan program Proton Operational Excellence (POE) yang bukan sahaja untuk mengatasi masalah ketersediaan alat ganti, malah untuk memperbaiki keseluruhan operasi servis selepas jualannya. Menerusi program tersebut, Proton kini telah memperluaskan rangkaian dan lokasi gudang dan stok alat gantinya di seluruh negara.

Pagi ini Proton telahpun menjemput sekumpulan media untuk melawat salah satu gudang komponen alat gantinya dalam negara, iaitu Proton Parts Center Sdn Bhd (PPCSB) yang terletak di Glenmerie, Shah Alam. PPCSB bukan sahaja merupakan gudang alat ganti pertamanya yang beroperasi sejak 1992, malah ia juga kini merupakan pusat operasi yang menghubungkan gudang-gudangnya yang lain di seluruh semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, serta beberapa gudang lain terletak di luar negara.

Kesempatan ini digunakan oleh paultan.org bagi mengetahui tahap ketersediaan alat ganti Proton, khususnya untuk model-model baharu yang sudah dan bakal dilancarkan pada masa hadapan. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd, Roslan Abdullah yang turut hadir dalam lawatan pagi tadi, masalah tersebut kini tidak berlaku lagi.

Roslan menyatakan selepas X70, setiap model baharu yang mahu dilancarkan, Proton akan membuat sekali perancangan pengedaran alat ganti sejurus model-model berkenaan mula dijual dalam pasaran. Jadi sebaik sahaja model-model tersebut dilancarkan, Proton akan memastikan bukan sahaja alat ganti untuk servis penyelenggaraan sudah berada di pusat-pusat servis, malah komponen-komponen yang biasa rosak sekiranya terlibat dalam kemalangan seperti semua komponen pada bahagian hadapan dan belakang sudah bersedia di jaringan pusat-pusat pembaikan badan dan cat.

Menurut Roslan lagi, Proton mengambil serius tentang isu ini dan pasukan yang memastikan ketersediaan alat-alat ganti itu dipengerusikan sendiri olehnya. Beliau turut menambah, bukan hanya kuantiti bekalan alat ganti itu sahaja di ambil berat, malah beliau turut akan memastikan komponen-komponen tersebut sudahpun berada di gudang-gudang alat ganti Proton di seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak sebaik sahaja model baharu itu dilancarkan.

Bagi membuktikan apa yang didakwa ini benar, Pengarah PPCSB, Encik Sam Zhang Lixin mengambil contoh sebuah Proton S70 yang tular baru-baru ini kerana terlibat dalam kemalangan menyebabkan bahagian belakangnya remuk teruk. Model yang baru sahaja dilancarkan pada November tahun lalu itu tidak menghadapi sebarang bekalan alat ganti di mana pembaikan kemalangan tersebut berjaya disiapkan sepenuhnya hanya dalam masa dua minggu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required