Minggu lalu Proton baru sahaja melancarkan SUV segmen-D Proton X90 di Bangladesh. Apa yang lebih menarik, BNN melaporkan bahawa X90 turut akan dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) di negara berkenaan menjelang akhir tahun ini.
Proton X90 tiba di pasaran Bangladesh tidak sampai setahun selepas ia dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada Mei 2023. Laporan BNN menyebut rancangan untuk menyediakan fasiliti pembuatan bagi memasang SUV tersebut di Bangladesh telah dibuat oleh pengedar Proton di sana iaitu Rancon. Kilang yang bakal dibina di dalam kawasan Rancon Industrial Park tersebut akan melibatkan peruntukan sebanyak US$100 juta (RM472.9 juta).
Jika rancangan tersebut menjadi kenyataan, ini merupakan kali kedua operasi pemasangan Proton dibuat di Bangladesh selepas Preve yang turut dikilangkan di sana pada 2017.
Bagi pasaran Bangladesh, Proton X90 ditawarkan dalam dua varian bermula dengan Premium tujuh-tempat duduk dijual pada harga 4,590,000 (RM198k), dan juga Flagship enam-tempat duduk dijual pada harga 4,990,000 Taka (RM215k). Sama seperti di Malaysia, ia juga masih menerima enjin 1.5 liter tiga silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus berkuasa 177 PS dan tork maksima 255 Nm.
Ia turut menampilkan sistem hibrid ringkas 48-Volt yang menggandingkan unit motor elektrik yang digelar sebagai starter generator berkuasa 13 PS/45 Nm, bagi menghasilkan kuasa maksima 190 PS dan tork 300 Nm. Kuasa dialirkan hanya kepada roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan 7DCT.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.