Jenama Togg mungkin tidak ramai yang kenal, tapi ia sebenarnya adalah pengeluar kenderaan elektrik nasional pertama dari Turki. Ditubuhkan pada tahun 2018, syarikat itu menunjukkan EV pertama mereka, SUV T10X pada tahun 2019 dan kemudiannya pengeluaran bermula pada tahun 2022. Tahun ini, Togg menunjukkan pula model kedua mereka, iaitu sebuah sedan fastback yang dipanggil sebagai T10F, dan akan dijual bermula tahun 2025.
Mempunyai ukuran panjang 4,830, lebar 1,881, tinggi 1,560 mm dan jarak roda 2,890 mm, T10F terletak dalam kategori sedan segmen C. Rekaannya mengingatkan kita kepada Skoda Octavia, dan datang dengan gril tertutup penuh, lampu tajam serta DRL berbentuk L di bahagian bucu bampar.
Pada bahagian belakang terdapat rekaan seakan BYD Seal, dengan lampu belakang yang bersambung di bahagian tengah serta kemasan hujung bampar bentuk sama seperti DRL hadapan. Perincian lain yang boleh dilihat adalah termasuk kamera yang menggantikan cermin sisi, pembuka pintu sama rata dengan badan, bumbung hitam serta cermin panoramik besar.
Di dalam, T10F menampilkan pelbagai teknologi, bermula dengan panel instrumen 12.3 inci, skrin sesentuh 29 inci untuk infotainmen serta skrin sesentuh lapan inci bertentangan penumpang hadapan. Ia dikuasakan oleh pemproses Snapdragon, yang juga memberikan sambungan internet pantas, Wi-Fi hotspot dan telematik melalui aplikasi Trumore.
Varian asas T10F dipacu oleh motor elektrik 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan tork 350 Nm, yang terletak di belakang, sementara varian lebih berkuasa datang dengan pacuan semua roda serta motor elektrik tambahan di hadapan, menghasilkan kuasa keseluruhan 435 PS (429 hp atau 320 kW) dan tork 700 Nm.
Varian asas boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.2 saat manakala varian AWD cuma memerlukan masa 4.6 saat. Perincian lain masih tidak banyak disiarkan, tetapi Togg mendakwa T10F boleh pergi sehingga 600 km (WLTP) dengan bateri berkapasiti 88.5 kWh. Bateri 52.4 kWh yang lebih kecil boleh memberikan jarak gerak 350 km. Turut termasuk dalam senarai kelengkapan T10F adalah pengecasan pantas DC 180 kW yang membolehkan bateri naik daripada 10% ke 80% dalam masa 28 minit.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.