Dalam ucapannya ketika majlis pelancaran SUV Flagship Volkswagen Touareg petang semalam, Pengarah Urusan VPCM Denyu Bostandzhiev turut membentangkan beberapa perancangan syarikatnya tahun ini, dan antara yang menarik perhatian adalah apabila beliau memberikan gambaran bahawa model kemaskini Volkswagen Golf generasi kelapan iaitu versi Mk8.5 facelift 2024 bakal dilancarkan di sini tak lama lagi.
Bayangan pelancaran tersebut diberikan apabila Bostandzhiev menyatakan bahawa VPCM bakal menyambut ulangtahun ke-50 VW Golf di mana model generasi pertamanya telah diperkenalkan sejak 1974. Sambutan 50 tahun Golf ini juga sedang disambut oleh Volkswagen secara global, dan ia dimulakan dengan pengenalan Golf Mk8.5 facelift pada Januari lalu.
Model kemaskini berkenaan menampilkan perubahan paling ketara pada bahagian lampu hadapan yang direka lebih nipis dan mempunyai lampu nyalaan siang bersegi di bahagian tepi. Lampu utama ini datang dalam tiga jenis, iaitu LED standard, diikuti pilihan prestasi yang datang dengan lencana menyala dan jalur LED di tengah, serta IQ.Light LED matrix. Lampu belakang juga mendapat rekaan pencahayaan baru dan mempunyai kesan 3D apabila mengambil pilihan IQ.Light.
Pada bahagian kabin, Golf facelift ini telah menggunakan kembali butang biasa pada stereng menggantikan panel sesentuh. Ia kini turut ditawarkan dengan sistem infotainmen modular generasi keempat (MIB4) Volkswagen yang antaranya menawarkan skrin Discover 12.9 inci, bersama fungsi kawalan suara IDA yang disepadukan dengan ChatGPT.
Secara global, pelbagai pilihan enjin ditawarkan pada Golf Mk8.5 ini meliputi empat enjin petrol turbo, dua enjin turbodiesel, dua enjin petrol dengan sistem hibrid ringkas 48-volt dan dua varian menggunakan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid.
Bagi Golf GTI Mk8.5, enjin 2.0 liter turbo sedia ada kini ditala bagi menghasilkan 261 hp, atau 20 hp lebih berkuasa dari sebelum ini, dan ia masih digandingkan dengan kotak gear klac berkembar DSG tujuh kelajuan yang menggunakan klac basah.
Buat masa sekarang, VPCM hanya menawarkan versi prestasi untuk Golf pada pasaran Malaysia iaitu Golf GTI dan Golf R selepas jualan bagi model varian asas R-Line 1.4 TSI di sini telah dihentikan pada Mac tahun lalu. Manakala untuk Golf GTI, ia kini telah dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) di kilang Volkswagen di Pekan, Pahang. Versi CKD untuk Golf R juga telah didedahkan namun ia masih belum dilancarkan secara rasmi.
Berbanding dengan kemasukan model pre-facelift Mk8 yang lambat sekitar dua tahun untuk tiba ke pasaran tempatan, versi facelift Mk8.5 ini pula nampaknya jauh lebih cepat diperkenalkan di sini. Ini mungkin kerana fasiliti pemasangan di Pekan sudah sedia memasang versi sebelumnya, dan tidak banyak perubahan diperlukan bagi memasang versi kemaskini ini.
Malah dalam ucapan Bostandzhiev semalam, beliau turut memberikan teaser bagi model istimewa Golf 50 Edition yang nampaknya turut akan diperkenalkan pada pasaran tempatan. Ketika didedahkan bulan lalu, Golf 50 Edition tersebut merupakan model yang diasaskan dari varian yang dijana oleh enjin 1.5 TSI dan diberikan beberapa perician unik seperti logo ’50’ yang letakkan pada tiang-B dan roda stereng.
Jadi dengan pengenalan Golf Edition kelak, ini mungkin menandakan VPCM akan menawarkan semula Golf bukan prestasi dengan enjin 1.5 TSI atau mungkin Malaysia bakal menjadi negara pertama dalam dunia menerima Golf 50 Edition yang diasaskan dari Golf GTI?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.