Tunku Temenggong Johor kongsi pelan baharu Litar Pasir Gudang yang akan dipertingkat & dibuka semula

Tunku Temenggong Johor kongsi pelan baharu Litar Pasir Gudang yang akan dipertingkat & dibuka semula

Pelan baharu Litar Pasir Gudang yang dipertingkat dan akan dibuka semula

Berita tentang pembukaan semula Litar Pasir Gudang atau turut dikenali dengan nama Johor Circuit nampaknya semakin hangat. Terbaharu, Tunku Temenggong Johor (TTJ) Yang Amat Mulia Tunku Idris Iskandar Ismail Abdul Rahman ibni Sultan Ibrahim telah berkongsi pelan baharu litar lumba berkenaan yang menampilkan pelbagai tingkat taraf.

Pelan berkenaan dikongsikan menerusi akaun instagram rasminya, yang turut disertakan dengan pelan litar sedia ada bersama kapsyen “cari perbezaannya”.

Jika diteliti pada pelan berkenaan, ada beberapa perubahan besar bakal dibuat pada litar itu. Yang paling ketara adalah pada dua selekoh terakhir iaitu pada selekoh 11 dan 12, di mana perubahan tersebut membolehkan laluan lurus utama kini menjadi lebih panjang.

Perubahan tersebut turut melibatkan perubahan laluan masuk ke hentian pit yang dialihkan dari hadapan selekoh 11 ke permulaan laluan lurus utama.

Tunku Temenggong Johor kongsi pelan baharu Litar Pasir Gudang yang akan dipertingkat & dibuka semula

Pelan Litar Pasir Gudang sedia ada

Satu lagi perubahan yang menarik perhatian adalah satu selekoh ke kanan baharu yang dibuat pada hujung laluan lurus kedua sebelum tiba di selekoh 2. Selekoh baharu tersebut berhubung terus dengan selekoh 10, membolehkan litar ini disediakan dalam satu lagi konfigurasi lebih pendek dengan hanya empat selekoh.

Kewujudan selekoh baharu itu juga memungkinkan lokasi acara drag yang sebelum ini dibuat di laluan lurus utama, dipindahkan ke laluan lurus kedua tersebut yang lebih panjang (juga perhatikan kawasan yang ditandakan dengan empat segi berwarna merah di laluan lurus kedua tersebut yang mungkin sememangnya akan digunakan sebagai drag strip).

Ketika era kegemilangannya, Litar Pasir Gudang sememangnya turut dikenali dengan acara Saturday Night Sprint iaitu siri perlumbaan drag malam minggu yang menghimpunkan bukan hanya pelumba dan pasukan dari Johor dan negeri lain di Malaysia, malah turut menarik peserta dari seberang tambak.

Namun dengan laluan lurus utama yang agak pendek, perlumbaan drag Saturday Night Sprint tersebut hanya boleh dibuat dalam jarak 0-300 meter sahaja. Mungkin dengan litar yang dipertingkat ini perlumbaan drag di Pasir Gudang boleh dibuat dalam jarak penuh 0-400 meter?

Litar Pasir Gudang merupakan litar ikonik yang pernah melahirkan ramai pelumba antarabangsa di kalangan anak jati Johor, dibuka secara rasmi pada 1986. Ia juga pernah menganjurkan perlumbaan yang menarik penyertaan pelumba luar seperti Johor Race Series, Asia Festival of Speed (AFOS) serta pernah menjadi menganjurkan Grand Prix Motosikal Dunia pada tahun 1998.

Litar berkenaan dikhabarkan hanya akan ditutup sementara pada 2016 untuk kerja-kerja naik taraf, namun ia terbiar selepas itu tanpa tanda-tanda bakal dibuka semula. Walaubagaimana pun pada awal bulan ini litar tersebut dilaporkan akan dibangunkan semula.

Pembukaan semula litar berkenaan dikatakan bakal menjadi hab permotoran serta pencarian bakat menerusi akademi JDT Racing Team.

Dalam hantaran instagram TTJ sebelum ini, selain dari untuk JDT Racing Team beliau turut menjelaskan bahawa litar yang akan dibangunkan semula ini adalah untuk pasukan Johor Racing (JMR) dan yang paling penting ia adalah untuk rakyat.

Buat masa sekarang Tunku Idris terlibat dengan pengurusan pasukan JMR yang kini berlumba dalam pelbagai siri perlumbaan antarabangsa seperti Asian LeMans Series dan Intercontinental GT Challenge, di mana adiknya Yang Mulia Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor (TPJ) merupakan salah seorang pelumba pasukan itu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required