Selepas pelancaran sedan EV E8 awal tahun ini, Geely Galaxy – satu lagi barisan model di bawah Geely Auto yang fokus terhadap kenderaan tenaga baharu (NEV) – bakal memperkenalkan pula model SUV yang dikenali dengan nama Galaxy E5 tidak lama lagi.
Geely belum menyiarkan sebarang imej dan perincian rasmi terhadap model Galaxy E5 ini, namun segala imej yang kami siarkan ini adalah dari laman web rasmi Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat (MIIT) China, di mana semua model baharu yang bakal dilancarkan di pasaran tersebut perlulah diisytiharkan terlebih dahulu menerusi portal tersebut.
Kita di Malaysia mungkin tidak akan menerima SUV ini, namun menerusi beberapa laporan media tempatan di sana, E5 merupakan model Geely Galaxy pertama yang dihasilkan untuk pasaran global dan ia terus dibangunkan dalam versi pemanduan sebelah kanan (RHD). Ini telah menarik perhatian kami kerana Proton merupakan jenama di bawah Geely yang menghasilkan versi RHD untuk model-model Geely sebelum ini.
Dari segi saiz, E5 menampilkan dimensi 4,615 mm panjang, 1,901 mm lebar, 1,670 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,750 mm. Bagi memudahkan anda membayangakan saiznya, ia adalah 96 mm lebih panjang, 70 mm lebih lebar dan jarak roda 80 mm lebih jauh berbanding Proton X70.
Menerusi laporan portal automotif China iaitu Autohome pula, E5 akan menerima motor elektrik tunggal berkuasa 160 kW (218 PS). Angka berkenaan dilihat agak kecil berbanding model-model EV pacuan roda belakang Geely yang lain seperti smart #1 Pro dan Premium dan juga Geely Galaxy E8 sendiri di mana ketiga-tiga model ini dibekalkan dengan motor tunggal 200 kW (272 PS) dan tork maksima.
Perincian berkenaan bateri dan juga asas sistem elektrikal bagi model ini masih belum didedahkan. Bagi model sedan E8 sebelum ini, ia menerima bateri 62 kWj yang membolehkan ia bergerak sejauh 550 km berdasarkan kitaran ujian CLTC, serta menggunakan asas sistem elektrikal 800-volt yang membolehkan ia menerima pengecasan pantas DC sekitar 150 hingga 360 kW.
Berbalik kepada kaitan antara Geely Galaxy E5 dan Proton, akhir bulan lalu Timbalan CEO Proton Roslan Abdullah sendiri telah mengesahkan bahawa syarikatnya bakal memperkenalkan model EV pertama mereka seawal 2025, selari dengan saranan kerajaan Malaysia untuk mula menawarkan EV pada tempoh tersebut.
Menurut Roslan lagi, model EV dengan logo Proton berkenaan bukan model rebadge semata-mata dan menambah bahawa peringkat R&D melibatkan rekaan dan prototaip model berkenaan telah pun selesai, dan kini ia sedang diuji.
Roslan turut menjelaskan walaupun buat permulaan model berkenaan akan dipasang di China terlebih dahulu sebelum dihasilkan secara pemasangan tempatan, memandangkan ia lebih cepat kerana fasiliti di sana sudah lengkap dan mengambil kesempatan dari insentif kerajaan Malaysia yang masih memberikan insentif pengecualian cukai untuk EV CBU, pembangunan model EV tersebut di China turut menerima input dari Proton mengikut kesesuaian penggunaannya di Malaysia.
Jadi kami jangkakan, Geely Galaxy E5 ini merupakan model yang dibangunkan oleh Geely bersama Proton di China. Namun untuk pasaran Malaysia kelak, Proton mungkin hanya menggunakan kerangka RHD yang sudah siap sedia dibangunkan bersama Geely tersebut, bersama sistem rangkaian kuasa dan asas elektrikal yang sama, tetapi ia akan tampil dengan rekaan tersendiri serta perincian-perincian unik lain dari Proton.
Dalam laporan Autohome lagi, Geely Galaxy E5 dikatakan mungkin akan dijual pada harga bermula 150,000 (RM99,300) sehingga 200,000 yuan (RM132,500) di China. Jadi ini satu lagi petunjuk Proton mungkin boleh menawarkan model EV dengan harga di bawah RM100k, selari dengan permintaan yang dikemukan oleh kerajaan kepada Proton dan Perodua bagi menawarkan EV lebih mampu milik untuk rakyat.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.