NexV Manufacturing Sdn Bhd hari ini menandatangani dua memorandum penting dengan beberapa pemegang tara dalam sektor automotif negara dalam usaha syarikat itu untuk mengilang serta memasang kenderaan tenaga baru (NEV) di Malaysia.
Memorandum persetujuan (MoA) yang pertama ialah di antara NexV Manufacturing dengan lima vendor Tier Zero (T0) yang dilantik. Vendor T0 ini merujuk kpeada situasi “kilang di dalam kilang” yang mana setiap vendor bertanggung jawab terhadap komponen atau sistem masing-masing untuk mengendalikan sendiri operasi, tenaga kerja dan sistem pengurusan mereka sendiri di dalam sebuah ekosistem yang lebih besar di mana aliran penuh proses pengeluaran untuk memasang setiap komponen untuk menghasilkan kenderaan lengkap.
Lima syarikat tempatan yang terlibat tersebut terdiri daripada PHN Industry Sdn Bhd, Hicom Teck See Manufacturing Malaysia Sdn Bhd, Noble Star Parts Sdn Bhd, Evan Karl Holdings Sdn Bhd dan KNR Biz Solution Sdn Bhd.
Memorandum persefahaman (MoU) kedua pula ialah antara NexV Manufacturing dengan dua pengedar, dengan hasrat untuk memasang kenderaan EV dari jenama DongFeng NEV dan bas elektrik dari Skywell. Dua syarikat yang dimaksudkan ialah Central Auto Distributors Bhd (Dongfeng NEV) dan Wise Star Assets Sdn Bhd (bas elektrik).
Di dalam kenyataan berasingan, Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) melalui anak syarikatnya Central Auto Distributors Bhd (CADB) memaklumkan, kerjasama dengan NexV Manufacturing ini adalah untuk memasang model EV Dongfeng Box (Dongfeng Nammi 01 di China). Matlamatnya adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai hab bagi EV kompak hatchback tersebut.
Menurut PEKEMA, kerjasama ini juga akan menyaksikan NexV menyediakan kemudahan pemasangan tempatan, dan CADB pula menjalankan urusan pemasaran dan pengedaran EV tersebut. “Melalui CADB, Pekema berhasrat untuk membangunkan tenaga kerja tempatan dan vendor untuk EV. Kami juga berharap akan ada pertukaran kepakaran dan teknologi daripada Dongfeng Motor, yang telab melabur dengan banyak di dalam industri automotif China.
“Ini tidak hanya akan memberi manfaat kepada industri tempatan, tetapi turut membuka peliang kepada ahli persatuan kami untuk terlibat dalam pengedaran dan lepas jualan,” ujar Presiden Pekema, Datuk Hj Mohamed Nazari Noordin.
Kilang pengeluaran kenderaan baru itu terletak di atas tanah berkeluasan 73.34 ekar di Kawasan Perindustrian Chembong, Rembau, Negeri Sembilan dan dibangunkan untuk menjalankan operasi pengeluaran NEV utama kelak. Fasa pertama pembangunannya, yang melibatkan kilang pemasangan dan litar ujian, dijangka siap pada Oktober 2024. Pengeluaran massa pula dijangka akan dimulakan pada Mac 2025 dengan kapasiti permulaan pengeluaran 30,000 unit setahun, dan boleh ditingkatkan kepada 50,000 di masa akan datang.
Dongfeng Box di Beijing Autoshow 2024
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.