Boon Siew Honda (BSH) Sdn Bhd hari ini melancarkan sebuah skuter baru, NSS250, yang ditawarkan dalam tiga warna iaitu kelabu, hitam dan merah, pada harga RM25,888 tidak termasuk insurans. Ini sebenarnya adalah model sama seperti yang dilancarkan di Indonesia pada bulan Jun tahun lepas, tetapi di sana ia dipanggil sebagai Forza 250.
Jika dibandingkan dengan Forza 250 yang pernah dijual di pasaran Malaysia, NSS250 ini menerima pelbagai peningkatan, dengan bentuk serta kelengkapannya kini lebih banyak menyamai Forza 350 yang dijual di Thailand sejak Oktober tahun 2022.
Menggerakkan NSS250 adalah enjin satu silinder penyejukan cecair SOHC 249.5 cc, yang mampu menghasilkan kuasa 22.8 hp pada 7,750 rpm dan tork 24 Nm pada 6,250 rpm. Enjin dengan sistem suntikan bahan api ini dipadankan bersama transmisi automatik CVT eSP+.
Demi memberi kemudahan kepada pengguna, NSS250 datang dengan penghadang angin hadapan boleh laras secara manual, pengecas USB, sistem tanpa kunci serta ruang simpanan bawah tempat duduk yang boleh menempatkan dua helmet.
Memegang badan skuter ini adalah fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang, disambung kepada rim yang masing-masing bersaiz 15 inci di hadapan dan 14 inci di belakang. Sistem brek pula terdiri daripada cakera tunggal 256 mm bersama angkup dua piston di hadapan dan cakera tunggal 240 mm dengan angkup satu piston di belakang.
Secara keseluruhannya, NSS250 mencatat berat 185 kg, dan ia datang dengan tangki bahan api 11.7 liter. Untuk ciri keselamatan, NSS250 datang dengan sistem brek ABS dual-channel serta sistem kawalan cengkaman HSTC.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.