Toyota dedahkan bunyi & kelebihan enjin pembakaran dalaman generasi baharu, alternatif kepada EV

Toyota dedahkan bunyi & kelebihan enjin pembakaran dalaman generasi baharu, alternatif kepada EV

Menerusi Multipathway Workshop yang diadakan pada Mei lalu di Jepun, Toyota bersama dua sekutunya iaitu Subaru dan Mazda telahpun mengumumkan halatuju masing-masing untuk terus membangunkan enjin-enjin generasi baharu yang lebih bersih sebagai alternatif kepada kenderaan elektrik penuh (EV) bagi mencapai neutraliti karbon.

Dalam acara yang sama, Toyota turut mendedahkan enjin pembakaran empat-silinder sebaris generasi baharu tersebut yang dihasilkan dalam beberapa variasi iaitu 1.5 liter turbo, 1.5 liter NA dan 2.0 liter turbo. Dan menerusi video terbaharu yang disiarkan oleh Toyota Times, beberapa karekter enjin baharu berkenaan termasuk bunyinya telah pun didedahkan.

Dalam video berkenaan jurnalis Toyota Times, Yuta Tomikawa diberi peluang untuk duduk kerusi penumpang sebuah kereta rahsia yang sedang dibangunkan menggunakan enjin generasi baharu tersebut di litar Fuji Speedway, dipandu oleh Takashi Uehara iaitu ketua projek dan presiden untuk pembangunan unit rangkaian kuasa Toyota.

Apa yang menarik, enjin berkenaan memberikan bunyi yang agak garang dan sesuai untuk sebuah kereta sport. Malah Uehara turut memandu dengan menggunakan mod manual dengan menukar gear menggunakan pedal penukar gear, yang memberikan penukaran gear agresif dan dapat dilihat kedua-dua mereka dalam kereta tersebut ‘tersentak’ setiap kali gear ditukar.

Tomikawa juga perasan bahawa getaran yang dihasilkan oleh enjin berkenaan juga sangat kurang berbanding enjin-enjin lain. Uehara kemudiannya menerangkan bahawa enjin baharu ini direka bagi membolehkan ia diletakkan lebih rendah dan lebih kebelakang, seterusnya memberikan titik graviti lebih rendah yang bukan sahaja menyebabkan getaran tersebut kurang, malah menjadikan kereta berkenaan lebih stabil.

Dalam penerangan oleh ketua pegawai teknologi Toyota, Hiroki Nakajima ketika berlangsungnya Multipathway Workshop tempoh hari, dengan kedudukan enjin yang lebih rendah ini juga membolehkan bahagian hadapan kereta direka lebih aerodinamik seakan model-model EV sebenar, seterusnya dapat menjimatkan penggunaan bahan api sehingga 12% untuk sebuah sedan.

Bagi enjin 1.5 liter turbo, ia dihasilkan 10% lebih kompak berbanding enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder yang kini digunakan oleh model-model produksi Toyota sedia ada. Ini akan memudahkan ia digandingkan dengan sistem hibrid elektrik dan masih boleh dimuatkan dalam ruang enjin yang kecil dan rendah pada bahagian hadapan, seterusnya menghasilkan kuasa yang lebih baik, eifisien dan mesra alam.

Selain itu, enjin-enjin generasi baharu ini turut direka agar boleh berfungsi dengan bahan bakar bio dan juga sintetik, di mana Toyota turut bekerjasama dengan beberapa syarikat petroleum seperti Eneos, Idemitsu dan Mitsubishi Heavy Industries, bagi menghasilkan bahan bakar sedemikian yang bukan sahaja lebih mesra alam, malah lebih murah.

Seperti yang telah disebutkan oleh pengerusinya Akio Toyoda berkali-kali sebelum ini, Toyota percaya EV bukan satu-satunya jalan penyelesaian untuk mencapai neutraliti karbon kerana musuh sebenar adalah karbon dan bukannya enjin pembakaran dalaman.

Toyota juga menegaskan bahawa sekiranya ia hanya menumpukan terhadap teknologi EV, negara-negara dengan fasiliti capaian bekalan elektrik yang lebih rendah akan lebih ketinggalan kerana tidak mendapat teknologi lebih baharu, dan sebab itu neutraliti karbon ini perlu ditangani dengan pelbagai cara. Malah dengan pembangunan enjin-enjin generasi baharu ini juga dapat mengekalkan pekerjaan untuk mereka yang terlibat dalam industri penghasilan enjin.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required