Presiden dan CEO Toyota, Akio Toyoda sekali lagi menyatakan kebimbangannya terhadap keputusan kerajaan Jepun untuk mengharamkan terus penjualan kereta dengan enjin pembakaran dan beralih kepada kereta elektrik sepenuhnya menjelang 2030 nanti – kali ini kebimbangannya menjurus kepada kehilangan pekerjaan dan juga jumlah produksi kenderaan di negara berkenaan.

Menurut laporan insideeevs.com, Toyoda memberi amaran bahawa seramai 5.5 juta rakyat Jepun akan kehilangan pekerjaan, manakala negara bakal kehilangan sejumlah 8 juta produksi kenderaan menjelang 2030 sekiranya langkah berkenaan diteruskan. Beliau menyatakan perkara berkenaan dalam mesyuarat Persatuan Pengeluar Automobil Jepun (JAMA) baru-baru ini bersama eksekutif tertinggi jenama-jenama Jepun lain termasuk Honda, Yamaha dan Isuzu.

Langkah yang akan diambil Kerajaan Jepun ini adalah diinsiprasikan dari langkah sama yang telah dicadangkan oleh Kesatuan Eropah (EU). Jepun mensasarkan untuk mengharamkan terus penjualan kereta dengan enjin pembakaran dalaman menjelang 2030 dan mencapai status neutral karbon penuh pada tahun 2050.

Namun Akio Toyoda berpendapat bahawa peralihan yang begitu drastik ini bakal menjejaskan industri automotif di Jepun kerana kereta yang dihasilkan di negara tersebut bukan hanya untuk pasaran tempatan, malah ia turut dieksport keluar. Jadi beliau mencadangkan agar kerajaan meneliti semula cadangan tersebut dan mengambil pendekatan lain yang lebih luas bagi mengurangkan pencemaran.

“Jepun merupakan negara yang bergantung kepada eksport. Oleh itu, isu neutraliti karbon adalah selari dengan isu pekerjaan di Jepun. Sebahagian ahli politik berkata bahawa kita perlu tukar semua kereta kepada kereta elektrik atau industri pembuatan akan menjadi ketinggalan zaman. Tapi saya tak rasa ini adalah masalahnya. Untuk menjamin pekerjaan dan nyawa rakyat Jepun, saya rasa perlu untuk bawa masa depan kita sejajar dengan usaha kita selama ini,” kata Toyoda.

Beliau turut menjelaskan bahawa jenama-jenama automotif Jepun kini menghasilkan kira-kira 10 juta unit kenderaan setahun menerusi kilang-kilang mereka dalam negara berkenaan, di mana sekitar separuh dari jumlah itu dieksport keluar. Toyoda menjangkakan menjelang 2030 nanti, kilang-kilang berkenaan masih akan menghasilkan 8 juta kenderaan setahun, termasuk model-model hybrid dan plug-in hybrid yang masih dijana oleh enjin pembakaran dalaman.

Jadi beliau menyatakan sekiranya kereta-kereta yang masih menggunakan enjin petrol berkenaan diharamkan, pengeluar-pengeluar automotif di Jepun pastinya akan terjejas dan mereka perlu membuat keputusan sama ada untuk terus menghasilkannya di luar negara atau terus menghentikan pengeluarannya.

“Ini bermaksud produksi untuk lebih dari 8 juta unit akan hilang, dan industri automotif berisiko untuk kehilangan majoriti sejumlah 5.5 juta pekerjaan. Jika mereka kata enjin pembakaran dalaman adalah musuh, kami tidak boleh untuk menghasilkan hampir semua mana-mana kenderaan,” kata Akio Toyoda.

Beliau juga mengatakan bagi mencapai neutraliti karbon, bukan semestinya semua perlu beralih kepada kereta elektrik, sebaliknya ia perlu melihat kepada keadaan satu-satu negara. Secara spesifiknya, perlu ada lebih kebebasan teknologi mana yang perlu digunakan di sana, asalkan hasilnya sama iaitu mengurangkan emisi karbon secara keseluruhan.

“Dalam mencapai neutraliti karbon, musuhnya adalah karbon dioksida, bukan enjin pembakaran dalaman. Bagi mengurangkan emisi karbon dioksida, perlu ada inisiatif praktikal dan mampan yang selari dengan situasi yang berbeza di pelbagai negara dan rantau,” katanya.

Toyoda juga menyatakan bahawa kenderaan hybrid masih memberi sumbangan yang besar kearah neutraliti karbon, walaupun ia masih dibekalkan dengan enjin pembakaran dalaman. Ini kerana kereta hybrid adalah lebih mampu milik dari EV dan ia masih boleh dijual di negara yang masih tiada fasiliti pengecaj EV.

Malahan dengan penambahbaikkan secara teknikal, kereta-kereta hybrid kini adalah lebih bersih setiap tahun. Dalam masa yang sama teknologi hybrid tersebut boleh digunakan sebagai teknologi hubungan kearah EV dan emisi sifar, serta membantu untuk mengekalkan pekerjaan bagi mereka yang berada dalam industri yang menghasilkan komponen enjin dan transmisi.

Akio Toyoda sebelum ini telah menyatakan kebimbangannya terhadap keputusan kerajaan Jepun tersebut dalam satu sidang media atas kapasitinya sebagai pengerusi JAMA pada Disember tahun lalu. Ketika itu beliau menyatakan bahawa tindakan tersebut akan menjadikan harga kereta semakin mahal dan ia mungkin tidak lagi mampu milik selepas ini, malah di Jepun sendiri kebanyakkan elektrik masih dijana menggunakan arang batu dan juga gas asli. “Lebih banyak kereta elektrik kita hasilkan, lebih banyak karbon dioksida akan dihasilkan,” kata Toyoda lagi.