Sementara kita sudah tahu Geely Galaxy E5 akan mula dijual di China tidak lama lagi, sebenarnya ada satu lagi model elektrik Geely yang juga menunggu giliran untuk masuk pasaran, iaitu Geometry Xingyuan. Menurut CarNewsChina, kereta ini sudah masuk dalam senarai kementerian industri dan teknologi informasi (MIIT) negara itu sebagai sebuah hatchback mampu milik untuk menentang BYD Dolphin.
Nampaknya kenderaan Geometry yang lebih murah ini mendapat rekaan penjenamaan “Geome” seperti Panda Mini, Knight dan Art, dan bukannya lencana Geely yang biasa. Sekali pandang, rekaan bersih Xingyuan seakan mendapat inspirasi daripada smart #1, terutamanya bahagian tiang C dan D berwarna hitam untuk menghasilkan penampilan bumbung terapung, lampu belakang segi tiga serta pilihan warna dua tona.
Bagaimanapun terdapat sentuhan unik padanya, termasuk lampu hadapan yang ditarik lebih panjang ke belakang, pembuka pintu yang sama rata dengan badan serta pelbagai pilihan rim serta penutup tengahnya.
Sama seperti Dolphin, Xingyuan ini mempunyai saiz yang kecil, dengan informasi dalam MIIT menyatakan panjang 4,135 mm, lebar 1,805 mm, tinggi 1,570 mm dan jarak roda 2,650 mm. Jika dibandingkan dengan model BYD tadi, model Geometry ini 155 mm lebih pendek, 35 mm lebih lebar dan jarak roda lebih pendek 50 mm.
Xingyuan akan ditawarkan dalam dua versi, iaitu yang berkuasa 79 PS (58 kW) dan yang berkuasa 116 PS (85 kW). Kedua-duanya mendapat tenaga daripada bateri lithium iron phosphate (LFP) yang setakat ini kapasitinya belum diketahui.
Adakah terdapat kemungkinan Proton akan membawa Xingyuan ini ke Malaysia sebagai satu pilihan EV mampu milik di bawah eMAS? Masih ada banyak ruang di bawah model elektrik pertama mereka (mungkin dipanggil sebagai eMas7 atau eMas E7), yang sebenarnya merupakan Galaxy E5 yang dijenamakan semula. Ia juga nampak lebih sesuai dengan citarasa pengguna Malaysia, berbanding Panda Mini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.