Salah seorang ahli dalam FB Group Malaysian Electric Vehicle Owners Club (MyEVOC) bernama Har Chee hari ini telah memuat naik dua gambar sebuah SUV elektrik penuh (EV) yang tidak dikenali dan masih menggunakan trade plate dijumpai di Cyberjaya. Berdasarkan rupa dan lencana yang dikenakan, kami mengenalpasti model tersebut adalah Kaiyi X3 Pro EV.
Model ini bukan sahaja satu lagi model EV dari China yang kini ‘membanjiri’ pasaran EV tempatan, malah Kaiyi merupakan satu lagi subsidiari dari gergasi automotif negara Tembok Besar itu iaitu Chery Automobile. Buat masa sekarang, selepas kembali semula ke Malaysia dengan jenamanya, Chery turut telah memperkenalkan dua lagi jenama di bawah subsidiarinya iaitu Jaecoo dan Jetour.
Menurut spesifikasi yang kami ambil dari laman global Kaiyi, X3 Pro dihasilkan dengan dikensi 4,440 mm panjang, 1.831 mm lebar, 1,646 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,632 mm. Jadi Kaiyi X3 Pro ini adalah SUV EV dalam kelas segmen-B namun ia sedikit lebih besar dari Proton X50 dengan dimensi 4,330 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,609 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,600 mm.
Ia digerakkan dengan hanya sebuah motor elektrik berkuasa 163 PS dan tork maksima 280 Nm yang diletakkan pada gandar hadapan. Kaiyi mendakwa ini membolehkan SUV tersebut memecut dari 0-50 km/j dalam masa 3.77 saat. Motor berkenaan menerima kuasa dari bateri LFP 53 kWj yang dibekalkan oleh CATL, membolehkan ia bergerak sejauh 401 km dalam ujian kitaran NEDC.
Selain dari versi EV, di China dan pasaran tertentu X3 Pro ini turut hadir dalam versi dijana oleh enjin pembakaran dalaman di mana ia menerima gril dan bampar hadapan yang diberikan liang udara untuk sistem penyejukkan. Dalam laman web rasmi Kaiyi, model EV ini masih mengenakan muka yang sama seperti X3 Pro berkuasa petrol.
Namun unit yang dijumpai di Malaysia ini nampaknya ia sudah diperbaharui dengan menampilkan perubahan pada bahagian muka di mana ia diberikan gril dan hampar hadapan berbeza tanpa liang. Antara perincian lain yang diberikan berdasarkan laman berkenaan, Kaiyi X3 Pro EV dilengkapkan dengan dua skrin 10.25-inci – satu untuk paparan instrumen digital pemandu dan satu untuk sistem infotainmen – dengan hubungan Android Auto dan Apple CarPlay.
Manakala untuk keselamatan pula, X3 Pro EV ini dibekalkan dengan empat-beg udara, kamera 360-darjah, amaran keluar lorong dan lain-lain. Semakan yang kami buat di laman CarNewsChina, Kaiyi X3 Pro EV dijual dipasaran negara asalnya bermula dari 119,900 yuan (RM77k) sehingga 176,600 yuan (RM113k).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.