Selepas membuat pengenalan jenama pada bulan Mac lalu, Zeekr kini melancarkan model X di Thailand. Kenderaan elektrik (EV) itu dibawa masuk sebagai model import penuh (CBU) dan ditawarkan dalam dua varian iaitu Standard RWD pada harga jangkaan 1.199 juta baht (RM156k) serta Flagship AWD pada 1.349 juta baht (RM175k).
Ini menunjukkan Zeekr X adalah lebih murah berbanding Volvo EX30, yang dijual pada harga 1.59 juta baht (RM206k). Kedua-dua EV ini dibina atas platform Sustainable Experience Architecture (SEA) Version SEA2, tetapi X mempunyai saiz yang sedikit lebih besar. Perlu dinyatakan di sini juga, Thailand menjadi pasaran antarabangsa pertama yang menerima X pemanduan sebelah kanan.
Tempahan awal untuk X sebenarnya sudah dibuka sejak Mac lalu di Bangkok International Motor Show (BIMS), dan sekarang sudah ada empat kedai sementara yang dipanggil sebagai Zeekr House di Bangkok. Menjelang hujung tahun ini, 14 pusat pengedar Zeekr akan dibuka.
Berkenaan spesifikasi, varian asas mendapat motor elektrik belakang berkuasa 272 PS (268 hp atau 200 kW) dan tork 343 Nm. Ia mendapat tenaga daripada bateri nickel manganese cobalt (NMC) dengan kapasiti 66 kWh, mampu memberikan jarak gerak sehingga 440 km mengikut standard WLTP (540 km NEDC).
Untuk varian Flagship AWD, bateri yang sama digunakan, tetapi motor ditambah untuk menjadi dua unit, dengan kuasa 428 PS (422 hp atau 315 kW) dan tork 543 Nm. Jarak gerak bagaimanapun berkurang menjadi 400 km (WLTP; 470 km NEDC). Kedua-dua varian boleh menerima pengecasan AC sehingga 22 kW dan DC sehingga 150 kW. Dengan sumber DC, bateri boleh naik 10-80% dalam masa 28 minit.
Menurut Headlightmag, laju kedua-dua Standard RWD dan Flagship AWD adalah sama, iaitu 190 km/j, tetapi pecutan 0-100 km/j Standard RWD adalah lebih perlahan, dengan catatan masa 5.6 saat, berbanding 3.8 saat yang mampu dilakukan oleh Flagship AWD.
Antara kelengkapan yang didatangkan standard pada kedua-dua varian adalah termasuk panel instrumen digital 8.8 inci, skrin sesentuh untuk infotainmen 14.6 inci, pad pengecas tanpa wayar, pengawal suhu dua zon, sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, lampu utama LED, DRL LED, pintu but bukaan kuasa, bumbung panoramik, head-up display AR, tempat duduk pemandu larasan kuasa serta status pengecasan yang dipaparkan pada B-pillar.
Varian Flagship kemudiannya ditambah dengan rim 20 inci (Standard menggunakan unit 18 inci), sistem bunyi Yamaha 13 pembesar suara serta tempat duduk larasan kuasa dengan fungsi mengurut dan liang udara.
Sistem bantuan pemandu untuk kedua-dua varian adalah sama, dengan termasuk Adaptive Cruise Control, Automatic Lane Change, Lane Centring Assist, Autonomous Emergency Braking, Front and Rear Collision Mitigation, Door Open Warning, Front and Rear Cross Traffic Alert, Parking Emergency Braking, Blind Spot Monitor, Evasive Manoeuvre Assist dan Automated Parking Assist.
Zeekr X di Thailand ditawarkan dalam warna luaran Crystal White, Palace Beige, Pine Green, Grid Grey atau Mist Grey, dengan empat pilihan pertama ditawarkan bersama bahagian dalam Charcoal Black/Stone Grey, manakala Mist Grey dipadankan dengan bahagian dalam Midnight Blue/Polar White.
Sebagai promosi, 500 pelanggan pertama Zeekr X yang membuat tempahan dan menerima kenderaan mereka menjelang 31 Ogos ini akan diberi pengecas wallbox secara percuma. Jaminan yang diberi adalah selama lima tahun/150,000 km untuk kenderaan dan lapan tahun/180,000 km untuk bateri dan motor, manakala bantuan tepi jalan diberikan percuma.
Zeekr X di BIMS 2024
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.