Zeekr X didedah – crossover elektrik yang lebih besar daripada smart #1, harga dijangka bermula RM127k

Zeekr X didedah – crossover elektrik yang lebih besar daripada smart #1, harga dijangka bermula RM127k

Selepas beberapa teaser, Zeekr akhirnya mendedahkan beberapa gambar rasmi untuk model ketiga mereka, yang dinamakan sebagai Zeekr X. Penggunaan nama ini adalah di luar jangkaan ramai kerana dua model awal daripada anak syarikat Geely itu menggunakan siri nombor iaitu 001 dan 009.

Perincian untuk Zeekr X tidak banyak buat masa ini, tetapi media dari China melaporkan bahawa crossover elektrik penuh itu akan membuat penampilan rasmi di Shanghai Auto Show pada bulan April, sebelum dijual dalam tahun ini juga – harga dijangka bermula 200,000 yuan (RM126,560).

Dibina atas platform Scalable Electric Architecture (SEA) Geely yang juga digunakan oleh smart #1, Zeekr X mencatat ukuran panjang 4,450 mm, lebar 1,836 mm, tinggi 1,572 mm dan jarak roda 2,750 mm. Sementara panjang keseluruhannya adalah lebih daripada yang dijangka, jarak rodanya pula adalah sama seperti smart #1. Ia juga lebih panjang 180 mm dan lebih lebar 14 mm, tetapi tingginya kurang 64 mm.

Berkenaan penggayaan, Zeekr X ternyata menonjol dengan bentuk DRL LED unik yang juga membawa sedikit persamaan dengan 009. DRL ini adalah sebahagian daripada tetapan lampu dua tingkat yang digunakan, dan lampu utama (dengan teknologi matriks) terletak mendatar di bawah.

Meskipun gambar bahagian dalam masih belum ditunjuk, ada spyshot yang menampakkan papan pemuka X menggunakan rekaan minimalis, dengan rekaan berpetak, panel instrumen digital kecil serta skrin sesentuh sistem infotainmen yang besar. Konsol tengah antara tempat duduk hadapan tidak bersambung dengan papan pemuka dan ia menempatkan perehat tangan serta tempat cawan.

Ada laporan yang mengatakan Zeekr X akan mendapat pilihan penggerak yang sama seperti smart #1, dengan tetapan motor tunggal bersama pacuan roda belakang, dan motor berkembar dengan pacuan semua roda. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah antara 272 PS (268 hp atau 200 kW) hingga 428 PS (422 hp atau 315 kW), sementara bateri pula berkemungkinan mempunyai kapasiti 66 kWh.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required