smart #1 dilancarkan di China – harga bermula RM126k, akan tiba di Malaysia dijual oleh Proton Edar

smart #1 dilancarkan di China – harga bermula RM126k, akan tiba di Malaysia dijual oleh Proton Edar

Selepas didedahkan di Berlin awal bulan ini, smart #1 kini telah pun dilancarkan di pasaran China. SUV kompak berkuasa elektrik sepenuhnya itu ditawarkan dalam dua varian di republik berkenaan iaitu smart #1 Pro+ dan smart #1 Premium.

Ia dijual pada harga bermula RMB 190,000 (RM126,241) untuk varian Pro+, diikuti RMB 230,000 (RM152,819) untuk varian Premium. Pelanggan yang berminat kini boleh membuat tempahan mereka dengan bayaran hanya RMB 500 (RM332) menerusi aplikasi yang telah dibangunkan. smart menawarkan waranti selama empat tahun atau 150,000 km untuk #1 ini di China, bersama waranti bateri lithium-ion selama lapan tahun atau 150,000 km, serta bantuan tepi jalan selama empat tahun.

Seperti yang sudah diumumkan sebelum ini, smart #1 turut disahkan akan dijual di Malaysia – ia tidak lagi dijual menerusi pengedar Mercedes-Benz seperti sebelum ini, sebaliknya akan dijual oleh Proton Edar susulan memorandum perjanjian (MoU) yang telah ditandatangani oleh Proton dengan smart Automobile Company (smart) untuk bekerjasama dalam memperkenalkan kenderaan tenaga baru (NEV) keluaran smart untuk pasaran ASEAN, dengan Proton turut mendapat hak menjual kenderaan jenama tersebut di Thailand.

Selepas Daimler AG menjalinkan kerjasama bersama Geely, kini smart hanya akan menghasilkan model dengan unit rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya (EV) dengan smart #1 adalah produk pertama kerjasama berkenaan. Ia dibangunkan oleh Geely menggunakan platform modular khas untuk EV iaitu Sustainable Electric Architecture (SEA), sama seperti model di bawah payung Geely yang lain seperti Zeekr 001 dan Lotus Eletre, namun rekaannya masih dibuat oleh Mercedes-Benz.

smart #1 dilancarkan di China – harga bermula RM126k, akan tiba di Malaysia dijual oleh Proton Edar

Secara spesifiknya, smart #1 diasaskan dari platform SEA2 dengan menampilkan dimensi 4,270 mm panjang, 1,822 mm lebar, 1,636 mm tinggi bersama jarak roda sejauh 2,750 mm. Jadi smart #1 sebenarnya adalah SUV dalam segmen B dengan panjang keseluruhan 60 mm lebih pendek tetapi dengan jarak roda 150 mm lebih jauh berbanding Proton X50.

Menurut laporan CarNewsChina, bagi model pasaran China smart #1 turut diberikan nama mandarin yang disebut Jingling, bermaksud “Elf” iaitu orang halus dalam cerita-cerita rakyat barat. Jadi untuk nama penuh model ini di China adalah Smart Elf #1, dan ia turut diberikan lencana “styled by Mercedes-Benz” pada tiang-B.

Ketika dilancarkan, kedua-dua varian smart #1 ini digerakkan dengan hanya sebuah motor berkuasa 272 ps (200 kW) dan tork maksima 343 Nm, yang hanya memacu roda belakang, membolehkan ia dipandu sehingga kelajuan maksima 180 km/j. Motor tersebut menerima bekalan kuasa elektrik menerusi bateri lithium-ion berkapasiti 66 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 420 km dalam kitaran ujian WLTP (535 km dalam kitaran CLTC di China).

Bagi model varian tertinggi smart #1 Premium, ia dibekalkan dengan motor yang diberikan teknologi silikon karbida (SiC). Teknologi ini membolehkan motor berkenaan dihasilkan lebih ringan, lebih efisien dan bersaiz lebih kecil. Prestasi untuk motor ini masih sama, tetapi ia mampu memberikan jarak gerak lebih jauh dari varian Pro+ iaitu sehingga 440 km dalam kitaran WLTP (560 km kitaran CLTC).

smart #1 dilancarkan di China – harga bermula RM126k, akan tiba di Malaysia dijual oleh Proton Edar

Dengan pengecas AC 22-kW, bateri kereta ini boleh dipenuhkan dari 10% hingga 80% dalam masa 3.5 jam. Manakala dengan pengecas pantas DC 150 kW pula jumlah cas yang sama boleh dicapai dalam masa hanya 30 minit. Teknologi yang ada pada smart #1 ini juga membolehkan 75% dari kotak komputernya menerima kemaskini secara over-the-air, membolehkan sistemnya ditambah baik dari masa ke masa.

Selepas ini, smart #1 dijangka bakal diperkenalkan dalam versi prestasi tinggi diberikan lencana Brabus, menampilkan dua motor elektrik bagi memacu semua roda, dengan rupa lebih garang seperti dilihat pada imej spyshot yang tersebar tempoh hari.

Untuk smart #1, model Pro+ menerima kelengkapan seperti rim aloi 18-inci dengan tayar 235/50R18, lampu hadapan, lampu nyalaan siang dan lampu belakang semuanya dengan teknologi LED, paparan instrumen penuh dengan skrin 9.2-inci, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 12.8-inci, lima pembesar suara, sistem pendingin hawa dengan penapis kabin N95, tempat duduk hadapan larasan kuasa, sistem lampu suasana kabin 64-warna, pintu tailgate berkuasa, serta fungsi V2L untuk membekalkan kuasa untuk peralatan elektrik sehingga 3.3 kW.

Model Premium pula diberikan pelbagai tingkat taraf termasuk lampu hadapan LED matrix, rim aloi 19-inci dengan tayar 235/45R19, paparan head-up 10-inci untuk pemandu, serta sistem bunyi Beats dengan 13-pembesar suara. Varian paling tinggi ini juga dibekalkan dengan sistem bantuan pemanduan keselamatan smart Pilot lebih komprehensif Tahap 2.

smart #1 dilancarkan di China – harga bermula RM126k, akan tiba di Malaysia dijual oleh Proton Edar

Antara fungsi yang termasuk dalam sistem tersebut adalah cruise control adaptif, bantuan kekal lorong kecemasan, amaran keluar laluan, bantuan kawalan lorong, bantuan lebuhraya, brek kecemasan automatik, bantuan tukar lorong automatik, bantuan kesesakan trafik, pengelak pelanggaran hadapan dan belakang, amaran lintasan trafik hadapan dan belakang, bantuan parkir automatik, brek kecemasan parkir, pengesan titik buta dan banyak lagi.

Kesemua smart #1 yang akan dipasarkan ke seluruh dunia akan diproduksi oleh fasiliti milik Geely, dengan kilang khas dibangunkan di Xi’an, China, kira-kira 1,400 km dari ibu pejabat baharu smart yang terletak di Hangzhou Bay. Di China, smart akan membuka jaringan pengedarnya di enam bandar utama iaitu Beijing, Shanghai, Guangzhou, Chengdu, Shenzhen, dan Hangzhou. Manakala jualan untuk smart #1 akan bermula pada suku ketiga tahun ini.

Untuk pasaran Malaysia, baru-baru ini Proton dilihat mencari bakat-bakat baharu di laman LinkedIn rasmi mereka, bagi menubuhkan satu pasukan baru untuk menguruskan operasi jenama smart di sini. Senarai jawatan kosong yang dibuka nampaknya sangat luas merangkumi bidang pengurusan produk, pemasaran jualan dan selepas jualan, sokongan dan juga teknologi maklumat (IT).

Dengan insentif pengecualian cukai dan duti untuk kereta elektrik yang diimport sepenuhnya (CBU) diberikan oleh kerajaan, kami jangkakan smart #1 akan dijual pada harga tak jauh dari harga jualan di China. Agak-agak anda boleh terima sekiranya ia dijual oleh Proton Edar di sini pada harga bermula RM135k?

GALERI: smart #1

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required