Lotus Eletre didedahkan – SUV elektrik AWD berkuasa sekurang-kurangnya 600 hp, 0-100 km/j bawah 3 saat!

Lotus Eletre didedahkan – SUV elektrik AWD berkuasa sekurang-kurangnya 600 hp, 0-100 km/j bawah 3 saat!

SUV Lotus – perkara ini telah dicanangkan sejak jenama kereta sport British berkenaan masih bernaung di bawah Proton. Dengan niat yang sama seperti apa yang telah di realisasikan oleh Porsche Macan dan juga Lamborghini Urus, SUV tersebut diharapkan dapat membantu Lotus untuk tampil dalam segmen dengan pengikut yang lebih luas, sekaligus dapat menjana keuntungan dengan menjual model yang boleh dibeli oleh lebih ramai orang.

Namun pelbagai halangan dan perubahan rancangan untuk merealisasikan projek tersebut. Di bawah Geely, SUV tersebut sebelum ini dikatakan bakal dijana oleh enjin petrol turbo dari Volvo. Namun akhirnya – ini dia model SUV sebenar dari Lotus yang diberi nama Eletre, iaitu SUV-Hyper dengan kuasa elektrik sepenuhnya!

Kenapa Hyper-SUV? Ini kerana Eletre menerima dua buah motor elektrik – satu setiap gandar – membolehkan ia memacu semua roda dengan kuasa keseluruhan “bermula 600 hp”, sekaligus mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa tidak sampai tiga saat! Ia juga didakwa mampu untuk mencapai kelajuan maksima 260 km/j.

Lotus Eletre ini juga hadir dengan pilihan bateri berkapasiti “lebih 100 kWj”, memberikan jarak gerak sekitar 600 km dalam kitaran WLTP yang ketat. Ia juga menyokong pengecas cepat DC sehingga 350 kW, memberikan kuasa untuk jarak gerak 400 km dalam masa hanya 20 minit. Manakala dengan pengecas onboard 22kW, ia juga memberikan sistem cas AC yang agak cepat.

Lotus Eletre didedahkan – SUV elektrik AWD berkuasa sekurang-kurangnya 600 hp, 0-100 km/j bawah 3 saat!

Menurut Lotus, Eletre adalah salah sebuah dari tiga model elektrik “gaya hidup” yang akan diperkenalkan selepas ini. Ia dibangunkan dengan platform khas yang menggunakan struktur aluminium dan logam berkekuatan tinggi bagi memberikan ketegaran yang optimum.

Manakala untuk asas sistem elektrik pula, Eletre diberikan seni bina elektrikal 800-volt yang membolehkan sistem pengecas pantas beroperasi serta menampilkan sistem agihan kuasa bervoltan tinggi berintegrasi.

SUV ini menampilkan bateri dan motor dengan gaya papan luncur – kedua-duanya diletakkan pada posisi yang rendah bagi memberikan titik graviti rendah, membolehkan ia mendapat “prestasi dinamik yang luar biasa”. Motor-motor elektrik yang diberikan turut bersepadu dengan pengawal dan pengurang bagi memberikan pakej unit keseluruhan yang kecil dan lebih ringan.

Eletre juga tampil dengan sistem suspensi udara bersama penyerap hentak adaptif serta gandar belakang jenis lima-sambungan secara standard. Untuk sistem yang lebih bagus, pembeli boleh memilih opsyen untuk fungsi ketinggian aktif, stereng untuk gandar belakang, sistem penstabil oleng aktif dan juga torque vectoring menerusi sistem brek.

Walaupun ia sebuah SUV, Eletre tetap menampilkan bentuk badan yang ‘leper’, juntaian hadapan dan belakang yang pendek, serta bonet hadapan pendek, yang menurut Lotus ia mengingatkan kepada kereta-kereta sport enjin tengah Lotus sebelum ini.

Lampu LED berbentuk-L pada muka Eletre ini sebenarnya adalah lampu nyalaan siang bersama lampu isyarat membelok jenis sequential, manakala lampu utamanya kelihatan tersorok di dalam bampar hadapan. Lampu belakang pula direka ringkas dengan menampilkan hanya satu jalur LED.

Aspek aerodinamik juga diambil berat untuk SUV ini. Liang udara pada bampar hadapan berfungsi untuk mengalirkan udara keluar dari bonet hadapan. Manakala liang udara pada fender hadapan Eletra ini pula mengalirkan udara ke liang udara besar yang terdapat pada kedua-dua hujung lampu belakangnya. Ia juga turut menerima spoiler belakang aktif yang disorokkan sekiranya tidak digunakan.

Pada bahagian gril hadapan dengan elemen kelopak segi tiga pada muka SUV ini juga sebenarnya menampilkan sistem penutup aktif. Selain itu, Eletra juga menerima pelbagai perincian luaran seperti pembuka pintu yang tenggelam, port pengecas yang diletakkan pada kedua-dua belah fender hadapan, kamera sisi untuk menggantikan cermin sisi (untuk pasaran-pasaran yang membenarkan fungsi ini), dan spoiler bumbung belakang yang direka terpisah didakwa untuk mengurangkan beratnya.

Dari segi saiz, Eletre menampilkan dimensi 5,103 panjang, 2,135 mm lebar (termasuk kamera sisi) dan tinggi 1,630 mm tinggi dengan jarak roda 3,019 mm. Untuk memudahkan anda membayangkan saiz sebenarnya, Eletra adalah 507 mm lebih panjang dengan jarak roda 359 mm lebih jauh berbanding Honda CR-V.

Dengan badan yang begitu besar, ia kelihatan amat cocok dengan rim aloi 23-inci dalam kemasan dua-tona (aloi digilap-gentian karbon), bersama angkup brek 10-omboh (ya, 10!) dan cakera karbon seramik di sebalik rim hadapan.

Lotus Eletre ini menggunakan jumlah penderia lidar yang agak banyak. Ia diletakkan pada bahagian atas cermin hadapan dan belakang serta di atas kedua-dua ruang roda hadapan – menampilkan rekaan yang boleh disorokkan, menjadikan ia model produksi pertama menggunakan rekaan sedemikian.

Lotus Eletre didedahkan – SUV elektrik AWD berkuasa sekurang-kurangnya 600 hp, 0-100 km/j bawah 3 saat!

Ketika dilancarkan, Eletra akan ditawarkan dengan fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, bantuan kekal tengah lorong, bantuan kekal lorong, bantuan tukar lorong, amaran lintasan trafik hadapan dan belakang, brek kecemasan parkir hadapan dan mengundur, pengenal tanda trafik, amaran bukaan pintu dan juga pengingat tempat duduk belakang.

Selepas itu, pelbagai lagi fungsi pemanduan autonomi boleh ditambah, dan ia boleh dilakukan dengan mudah hanya menerusi kemaskini secara over-the-air.

Pada bahagian dalaman pula, Eletra tampil minimalis bersama papan pemuka yang direka dengan elemen melintang dan berlapis yang kelihatan bersambung dengan panel pintu, dan juga konsol tengah “terapung”. Sebuah skrin sesentuh OLED 15.1-inci diletakkan ditengah-tengah papan pemuka, yang direka dengan antara muka diinspirasikan dari permainan video dan turut menampilkan model 3D kereta berkenaan. Menurut Lotus, 95% fungsi pada skrin tersebut dapat diakses hanya dengan tiga tap.

Manakala di hadapan pemandu dan penumpang hadapan masing-masing turut diberikan skrin nipis. Skrin untuk pemandu berfungsi sebagai paparan instrumen yang turut disokong dengan paparan head-up dengan teknologi AR. Pemandu turut diberikan mod pemanduan Range, Tour, Sport, Off-Road dan Individual. Kawalan-kawalan lain pula boleh dibuat menerusi sistem infotainmen dan juga arahan suara, sementara beberapa fungsi boleh dioperasikan menerusi suis-suis fizikal.

Lotus menggunakan bahan gentian mikro pada titik-titik sentuh utama dalam kabin Eletre ini, bersama uphosteri gabungan bulu yang dikatakan 50% lebih ringan berbanding kulit. Trim karbon yang digunakan pula dihasilkan dari bahagian hujung kemasan dari produksi gentian karbon, dimampatkan dalam resin bagi memberikan hasil akhir seperti marmar.

Lotus Eletre ini akan ditawarkan dengan pilihan konfigurasi empat- atau lima-tempat duduk. Bagi versi lima tempat duduk, ia akan dibekalkan dengan skrin infotaimen bersaiz sembilan inci. Secara standard, SUV ini akan menerima sistem bunyi KEF Premium 1,380-watt dengan 15-pembesar suara. Tak cukup? Anda turut boleh memilih sistem bunyi KEF Reference 2,160-watt dengan 23-pembesar suara.

SUV ini juga menawarkan hubungan 5G bersepadu yang membolehkan pelbagai fungsi kawalan jauh dibuat hanya menerusi aplikasi telefon pintar. Ia juga membolehkan pelanggan membeli fungsi tambahan apabila ia ditawarkan kelak.

Lotus Eletra tidak diproduksi di fasiliti Lotus di Britain, sebalik ia akan mula dipasang di kilang baharu yang terletak di Wuhan, China tahun ini. Pelanggan terawal yang menempah SUV ini di pasaran China, Britain dan Eropah akan menerima kereta mereka pada tahun hadapan. Menurut laman Facebook rasmi Lotus Cars Malaysia, pelanggan tempatan yang berminat dengan SUV ini turut sudah boleh mendaftarkan minat mereka secara atas talian.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required