SUV Lotus bakal dikeluarkan dalam dua model, guna sebahagian teknologi serta enjin turbo dari Volvo

SUV Lotus bakal dikeluarkan dalam dua model, guna sebahagian teknologi serta enjin turbo dari Volvo

Ini perkembangan terbaharu berkenaan SUV Lotus yang bakal muncul menjelang 2021 nanti – menurut laporan oleh Car Magazine, syarikat pembina kereta sport berkenaan kini bukan hanya membina sebuah, tetapi dua model yang disasarkan akan memberi cabaran kepada BMW X4 dan X6 serta adik-beradik Porsche Macan dan Cayenne.

CEO Lotus Jean-Marc Gales berkata dalam satu temurah bersama penerbitan berkenaan, syarikatnya yang kini di bawah pentadbiran Geely bakal menggunakan teknologi-teknologi Volvo termasuk platform Scalable Product Architecture (SPA), Compact Modular Architecture (CMA) dan juga enjin petrol turbo Drive-E jenama dari Sweden tersebut.

Walau bagaimanapun bagi penggunaan platform, Lotus tidak akan mengambil kesemua apa yang ada pada SPA dan CMA, sebaliknya turut akan menggunakan banyak modul binaan mereka sendiri, dengan memadankannya pada badan, komponen dalaman yang tersendiri juga dengan talaan enjin berlainan.

SUV Lotus bakal dikeluarkan dalam dua model, guna sebahagian teknologi serta enjin turbo dari Volvo

“Saya tidak akan bercakap berkenaan platform; ia tidak lebih dari set-set komponen, mungkin 30 hingga 80 modul utama,” kata Gales dan menambah “Ini antara komponen yang boleh dikongsi Lotus, ia boleh jadi enjin, sistem radar autonomi, pendawaian yang boleh dipadankan pada kereta tersebut.”

Car Magazine menjangkakan SUV Lotus berkenaan akan menggunakan enjin 2.0 liter empat silinder Volvo bersama kelengkapan hibrid elektrik yang sama seperti janakuasa T8 Twin Engine.

Menurut Gales, model “empat-pintu” (seperti SUV) berkenaan akan membolehkan Lotus meningkatkan produksi tahunannya dari 1,500 unit kepada 3,000 unit. Disebabkan ia juga bakal menerima pelbagai komponen dari Volvo, proses produksi juga dijangka bakal mengambil tempat pada jaringan produksi Volvo yang lain, walaupun kilang Lotus berkenaan mampu untuk menghasilkan sebanyak 5,000 unit kereta setahun.

Boss Lotus tersebut turut menegaskan, walaupun produk syarikatnya kelak bakal menerima pelbagai sistem elektrikal dan teknologi pemanduan-separa automatik, ia tidak akan menjadi seolah-olah kembar kepada Volvo XC90.

“Ia akan masih menjadi model paling rendah dalam kelasnya, mungkin juga paling lebar dalam kelasnya bagi memberikan cengkaman jalan yang baik, dah sudah tentu paling ringan, dah sudah pasti paling baik di litar,” kata Gales yang turut menggemari SUV Alfa Romeo Stelvio. “Ia perlu untuk rasa, di pandu, dan nampak seperti Lotus,” tegasnya lagi.

Seperti dinyatakan tadi, versi tertinggi SUV ini disasarkan untuk bersaing dengan Porsche Cayenne, oleh itu ia dianggarkan akan dijual pada harga sekitar £80,000 (RM420,000) hingga £100,000 (RM525,000). Sebelum Lotus diambil alih oleh Geely, projek SUV ini dirancang bakal dijalankan menerusi satu lagi kerjasama dari firma China iaitu Goldstar.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required