SUV elektrik smart – akan dijual di M’sia oleh Proton Edar, EV baharu dari Geely, rekaan Mercedes-Benz

SUV elektrik smart – akan dijual di M’sia oleh Proton Edar, EV baharu dari Geely, rekaan Mercedes-Benz

Tahun ini kerajaan telah pun bersetuju untuk mengecualikan sepenuhnya cukai dan duti untuk kereta elektrik penuh (EV), bagi menggalakkan penggunaan kenderaan sedemikian di Malaysia. Sudah tentu, Proton sukar untuk mendapatkan sebarang manfaat dari insentif tersebut memandangkan mereka tiada model sedemikian yang boleh dihasilkan dan dijual pada waktu terdekat.

Namun jangan lupa, Proton kini merupakan sebahagian keluarga besar kumpulan Geely yang memayungi banyak jenama lain di bawahnya, antaranya jenama smart yang terkenal menghasilkan kereta-kereta bersaiz kompak dan sebelum ini dimiliki sepenuhnya oleh Daimler AG (juga pemilik kepada Mercedes-Benz). Tanpa dijangka, hari ini Proton telah mengumumkan bahawa mereka telahpun mendapat hak untuk menjual kenderaan jenama smart berkenaan menerusi Proton Edar bukan sahaja di Malaysia, malah untuk pasaran Thailand.

Ini bukan pertama kali smart dijual pada pasaran tempatan. Sebelum ini dua model popularnya iaitu smart fortwo dan forfour telah pun dijual di sini oleh DaimlerChrysler Malaysia (sekarang dikenali sebagai Mercedes-Benz Malaysia) pada pertengahan era 2000. Penjualan kedua-dua model berkenaan kemudiannya dihentikan oleh Daimler.

SUV elektrik smart – akan dijual di M’sia oleh Proton Edar, EV baharu dari Geely, rekaan Mercedes-Benz

Namun pada 2019, Geely telah menandatangani perjanjian dengan Daimler bagi membangunkan semula jenama smart; kali ini ia bukan sahaja menghasilkan kereta kompak, tetapi hanya menampilkan unit rangkaian kuasa elektrik penuh. Model-model baharu dari smart akan dibangunkan oleh Geely, tetapi Mercedes-Benz masih bertanggungjawab sepenuhnya terhadap aspek rekaan.

Barisan model-model generasi baharu smart ini juga akan diproduksi oleh fasiliti milik Geely, dengan kilang khas dibangunkan di Xi’an, kira-kira 1,400 km dari ibu pejabat smart yang terletak di Hangzhou Bay. Model produksi pertama yang bakal dihasilkan dari kerjasama ini telah pun diprebiu menerusi model konsep yang digelar sebagai smart Concept #1, dan telah didedahkan di Munich Motor Show tahun lalu.

Walaupun nampak agak besar berbanding model-model smart sebelum ini, Concept #1 sebenarnya dihasilkan dalam saiz yang lebih kecil berbanding crossover segmen-B yang berada dalam pasaran buat masa sekarang seperti Proton X50 dan Honda HR-V, tetapi menampilkan jarak roda yang lebih jauh berbanding Honda CR-V.

Secara keseluruhan, badan kereta tersebut kelihatan seperti sebiji gula-gula, dengan muka tanpa gril, lampu hadapan dan belakang merentangi keseluruhan lebar, serta bumbung yang kelihatan seperti terapung. Sel keselamatan Tridion yang begitu ikonik pada model-model smart sebelum ini tidak lagi dibawa ke model generasi baharu berkenaan.

Pada bahagian kabin, Concept #1 ini diberikan rekaan yang minimalis. Papan pemukanya sangat ringkas dengan kemasan-kemasan seakan emas, diberikan skrin sesentuh 12.8-inci ditengah yang berdiri sendiri, liang penghembus udara yang kelihatan seperti pil, dan roda stereng rata di bawah. Ia juga tampil dengan konfigurasi empat tempat duduk, dengan pemisah tengah turut diberikan pada kerusi belakang.

Rekaan untuk versi produksi nanti mungkin lebih ‘masuk akal’. Namun menerusi lukisan paten bahagian luaran untuk versi produksi sebenarnya yang telah terdedah tempoh hari memperlihatkan rupanya yang hampir sama dengan model konsep ini, kemungkinan rupa pada bahagian kabin ini juga banyak yang masih sama.

Lukisan paten untuk model produksi SUV EV smart yang nampak sama seperti Concept #1

Menurut smart, Concept #1 menampilkan pelbagai inovasi teknologi termasuk antara muka “3D globe”, iaitu avatar yang akan belajar dan mengadaptasi kelakuan pemiliknya menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI). Ia juga menerima sistem bunyi Beats, komputer berpusat untuk sistem elektronik keseluruhan, kemaskini perisian menerusi sistem over-the-air yang dinamik, serta aplikasi telefon pintar dengan fungsi kunci digital dan servis terhubung bina dalam.

Tiada sebarang perincian teknikal didedahkan oleh Geely buat masa sekarang, namun SUV elektrik smart ini sah dibangunkan menggunakan platform Sustainable Electric Architecture (SEA), iaitu platform yang dihasilkan oleh Geely khas untuk kereta elektrik penuh.

Secara spesifiknya, SUV elektrik pertama smart ini akan menggunakan asas platform SEA2 (untuk model-model yang mempunyai julat jarak roda bermula 2,650 mm sehingga 2,900 mm), dan bakal menggunakan bateri paling kecil dibangunkan untuk platform tersebut, memberikan jarak gerak sejauh 450 km dengan sekali cas penuh.

SUV elektrik smart – akan dijual di M’sia oleh Proton Edar, EV baharu dari Geely, rekaan Mercedes-Benz

Platform Sustainable Electric Architecture (SEA) rekaan Geely

Proton selepas ini mungkin turut akan menggunakan platform SEA berkenaan untuk menghasilkan kereta-kereta elektrik sendiri kerana Geely telah mengesahkan bahawa platform ini akan digunakan oleh semua jenama di bawahnya.

Sebelum ini Proton telah pun menyatakan bahawa mereka telah memulakan rancangan untuk hasilkan model elektrik penuh, hibrid dan PHEV untuk masa hadapan. Jadi dengan dilantik sebagai pengedar smart ini, ia mungkin sebagai latihan untuk Proton bersedia sebelum mula menjual, menyediakan servis selepas jualan dan juga menyediakan pengecas untuk EV jenama sendirinya kelak.

Setakat ini, Proton Edar masih belum mengumumkan dengan jelas garis masa sebenar untuk pengenalan jenama smart ini. Namun dengan mengambilkira model produksi untuk SUV EV ini yang sah akan diperkenalkan pada peringkat global pada tahun ini, ia mungkin tiba di Malaysia secepat mungkin bagi mendapat manfaat dari langkah insentif yang diumumkan kerajaan tersebut.

GALERI: smart Concept #1

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required