Proton sudah mulakan rancangan untuk hasilkan model elektrik penuh, hibrid dan PHEV – CEO Edar

Proton sudah mulakan rancangan untuk hasilkan model elektrik penuh, hibrid dan PHEV – CEO Edar

Dalam satu laporan pada April lalu, Proton menyatakan bahawa mereka masih tidak boleh menetapkan halatuju teknologi elektrifikasi selagi kerajaan Malaysia masih belum menyatakan rancangan masa hadapan terhadap teknologi tersebut. Namun dengan pengumuman dari kerajaan untuk mengecualikan duti untuk kenderaan elektrik (EV) bermula 2022 ketika pembentangan bajet baru-baru ini, Proton nampaknya sudah memulakan langkah mereka.

Menurut CEO Proton Edar, Roslan Abdullah dalam laporan The Star, insentif pengecualian cukai EV berkenaan akan membantu kadar penggunaan kereta elektrik dalam negara dan bakal meningkatkan penawaran model-model sedemikian dalam pasaran tempatan.

“Proton telah merangka halatuju dalam memperkenalkan model hibrid, plug-in Hybrid (PHEV) dan kenderaan elektrik, jadi diharapkan pembangunan ini dapat membantu untuk memacu rancangan kami ke hadapan,” katanya dan menambah bahawa tempoh pengecualian cukai jualan sehingga 30 Jun 2022 juga turut membantu dalam jualan kenderaan dan merancakkan ekonomi pada separa pertama 2022.

Walau bagaimanapun, Roslan menyatakan rancangan ini masih lagi jauh memandangkan infrastruktur pengecaj kenderaan untuk menyokong pertambahan jumlah penggunaan EV di jalan raya Malaysia ini masih kurang, dan ia disifatkan sebagai “halangan besar yang perlu diatasi”.

Roslan masih belum menyebut secara spesifik model-model elektrifikasi yang akan dibangunkan oleh Proton. Namun menerusi apa yang dibayangkan, tak mustahil Proton akan menumpukan terlebih dahulu terhadap teknologi hibrid dan juga PHEV.

Baru-baru ini Geely baru sahaja melancarkan unit rangkaian kuasa hybrid modular Leishen Hi-X dari jenama entiti baharunya bagi menghasilkan unit rangkaian kuasa sebegini iaitu Leishen Power. Unit rangkaian kuasa tersebut akan digunakan oleh jenama-jenama di bawah Geely, dan sudah tentulah Proton tidak terkecuali.

Platform unit rangkaian kuasa berkenaan menampilkan gandingan transmisi hibrid baharu, enjin petrol untuk kegunaan hibrid dan juga motor elektrik generasi baharu. Dalam aplikasi PHEV, teknologi rangkaian kuasa ini mampu untuk menyediakan jarak gerak elektrik sepenuhnya sekitar 200 km, dan mampu menerima kemaskini perisian utama secara over-the-air (OTA).

Buat masa sekarang, Proton telahpun disahkan menerima hak untuk membangunkan model tersendiri secara tempatan menggunakan teknologi Volvo-Geely iaitu platform modular BMA (asas sama seperti Proton X50) dan juga enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo bagi menggantikan barisan enjin Campro CFE dan Campro VVT sedia ada.

Menerusi kerjasama strategik dengan Geely berkenaan, Proton setakat ini telah mencapai objektifnya bagi melancarkan model baharu atau model kemaskini setiap tahun, dan dengan frekuensi yang kerap terhadap pengenalan model baharu ini serta pengenalan Leishen Power, rancangan Proton untuk memperkenalkan model-model elektrifikasi mungkin akan direalisasikan tidak lama lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required