Dalam satu laporan berita Reuters, Geely mengumumkan bahawa model-model masa hadapan Proton akan dihasilkan dengan platform B-Segment Modular Architecture (BMA).
Ya, memang platform ini yang menjadi asas kepada Geely Binyue dan Proton X50 yang akan dilancarkan tidak lama lagi, namun kenyataan ini sebenarnya merujuk kepada model lain yang akan dibangunkan sendiri oleh Proton kelak. Namun perincian yang lebih mendalam belum lagi disebutkan oleh Geely.
Dalam wawancara kami bersama ketua pereka Proton, Azlan Othman baru-baru ini, beliau ada menyatakan bahawa syarikatnya kini sedang membangunkan platform baharu untuk asas-asas model mereka sendiri, dan ia dihasilkan dengan kerjasama dari Geely.
Dengan pendedahan bahawa platform BMA berkait rapat dengan pembangunan tersebut, persoalannya sekarang berapa banyak sumber tempatan akan ditampilkan, dan adalah platform lebih besar Compact Modular Architecture (CMA) turut akan termasuk dalam pembangunan ini untuk masa hadapan?
Laporan ini turut menyebut bahawa rancangan yang masih belum dimuktamadkan untuk Proton ini hanyalah salah satu langkah yang diambil oleh Geely untuk merombak kilang-kilangnya dalam dan luar negara untuk menggunakan platform yang telah dibangunkan dan terus diperhalusi sejak ia membuat penampilan tersebut. Geely merancang untuk menghasilkan semua model masa hadapan mereka termasuk model-model mewah Lynk & Co menggunakan platform CMA dan platform berkaitan lain seperti BMA.
Platform BMA ini diperkenalkan pada Julai 2018, dan ia merupakan platform modular Geely yang dibina sendiri, dihasilkan dari platform CMA yang muncul pada Oktober 2015 yang kemudiannya menjadi asas kepada model seperti Volvo XC40, Lynk & Co 01, 02 dan 05 serta Polestar 2.
Manakala untuk platform BMA, ia boleh menjadi asas kepada model-model dengan jarak roda dari 2,550 hingga 2,700 mm, serta lebar trek dari 1,500 hingga 1,600 mm. Ia juga menampilkan antaramuka standard antara modul kuasa, elektrikal, casis dan badan, yang membolehkan ia dihasilkan sebagai asas untuk sedan, MPV dan juga SUV.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.