35 tahun Proton — Azlan Othman bercakap tentang evolusi rekaan serta apa jangkaan selepas ini

35 tahun Proton — Azlan Othman bercakap tentang evolusi rekaan serta apa jangkaan selepas ini

Bulan Julai lalu, Proton meraikan ulang tahun ke-35 kereta pertama yang dikeluarkannya, Proton Saga. Sejak itu, ia telah menempuh perjalanan yang panjang, sejak Dr. Mahathir menyuarakan idea untuk mewujudkan sebuah pengeluar kenderaan nasional pada tahun 1970an. Pengenalan sedan mampu milik, Saga, pada 9 Julai 1985 menjadi penanda aras yang bermakna.

Dalam dekad-dekad seterusnya, Proton beralih daripada sekadar melakukan rebadge model-model Mitsubishi kepada menghasilkan rekaan dan kejuruteraan sendiri. Peralihan yang berlaku bagaimanapun banyak cabarannya, kerena Proton kerap bergelut dengan matlamatnya terutama ketika melibatkan pertukaran pihak pengurusan. Apa pun, bahagian rekaan sentiasa menjadi kekuatan tersendiri syarikat.

Azlan Othman mungkin orang yang memiliki sudut pandang terbaik tentang hal ini. Beliau menyertai Proton sebaik sahaja tamat pengajian pada 1997; sebuah tahun yang mencabar dan bersejarah – antaranya, menara berkembar Petronas mula beroperasi, dan Asia Tenggara sedang berada di awal tempoh krisis ekonomi yang teruk.

Ketika itu, Proton sedang dalam persiapan akhir untuk memperkenalkan model-model “prestasi” – Satria GTi dan Perdana V6, dan sudah memulakan kerja-kerja rekaan dan pembangunan Waja yang menjadi kereta pertama direka oleh syarikat itu sendiri. Seperti juga perkembangan umum waktu itu, Proton sedang memasuki era digital dan sedang membina kepakaran di dalam rekaan berasaskan komputer dan perisian kejuruteraan seperti Catia dan Alias.

35 tahun Proton — Azlan Othman bercakap tentang evolusi rekaan serta apa jangkaan selepas ini

“Mereka beli sistem berkenaan, tetapi tak pasti apa yang perlu dibuat dengannya,” Azlan memulakan cerita. “Dari sudut kejuruteraan, sangat jelas, mereka ingin membuat lukisan enjin dan menghasilkan bentuk 3D dan bina acuan. Tapi dari aspek rekaan, semuanya masih samar-samar… Mereka tahu saya ada latar belakang teknologi, jadi mungkin saya boleh gabungkan antara rekaan dan teknologi dan manfaatkan perisian berkenaan. Saya fikir, kenapa tidak?”

Proton juga ketika itu masih mendapat bantuan Mitsubishi, yang membolehkannya belajar bagaimana untuk reka kereta sendiri. “Dalam tahun-tahun awal itu, kami belajar dan serap sebanyak mungkin dan sepantas mungkin apa yang boleh. Itu matlamatnya,” jelas Azlan, dan menambah bahawa syarikat waktu itu sudah mampu untuk mengenakan warna dan kemasan sendiri pada model-model Mitsubishi.

Maka, perubahan paradigma kemudiannya semakin mempengaruhi perjalann Proton. Syarikat itu kemudiannya beralih daripada era yang diterajui oleh teknologi Jepun kepada mengambil pula inspirasi daripada pemilikan Lotus (Azlan menyebut ini sebagai era British bagi Proton). Bertanggungjawab terhadap penjenamaan ketika itu, beliau menjelaskan rekaan bagi logo baru, yang beralih daripada imej dan rujukan ketara terhadap bendera Malaysia – satu masalah bila syarikat memiliki (dan masih berlangsung hingga kini) aspirasi di peringkat global.

“Waktu itu, semuanya hanya hal-hal di permukaan. Jika anda ingin mengaitkan sebuah kereta dengan Malaysia, anda perlu ada bulan dan bintang; semuanya sangat harfiah. Dan jika anda ingin menembusi tempat lain, anda perlu menukar lencana untuk disesuaikan mengikut pasaran. Jadi, kawalan terhadap imej korporat belum diberi perhatian.”

35 tahun Proton — Azlan Othman bercakap tentang evolusi rekaan serta apa jangkaan selepas ini

Idea utama yang ingin ditanam oleh Azlan – tidak kira untuk logo mahupun kereta – ialah apa yang dipanggil “pemikiran mendalam”, yang melihat penciptaan itu dari pelbagai nuansa rujukan kepada warga Malaysia dan budaya serantau, berbanding hanya meletakkan ikon yang terang-terangan. Bagi kes logo Proton, hal ini telah menjurus kepada penggunaan lencana baru dengan kepala harimau – seekor binatang dari spesis harimau Malaya yang sering kita anggap begitu dekat dengan negara ini.

Dedikasi terhadap “pemikiran mendalam” inilah yang kemudiannya turut diterapkan ke dalam pembangunan rekaan Satria Neo. Sebuah rekaan yang ringkas dan bersih, dimulakan dari awal dan memberikan kebebasan penuh kepada Azlan – disebabkan ini ia menjadi projek kegemaran hingga kini. “Kami berkerja dengan Lotus waktu itu, dan saya dihantar ke Coventry dan Hethel (di UK) untuk projek berkenaan. Fasa rekaan sahaja mengambil masa setahun, dari lakaran kepada menghasilkan contoh model. Mengikut takrifan hari ini, itu satu tempoh yang lama untuk proses berkenaan.”

Matlamat dengan kereta itu, jelas Azlan, ialah untuk mencontohi dinamik pemanduan seperti yang ada pada MINI, yang kini diterajui di pasaran global oleh BMW. Beliau masih ingat, Pengarah Urusan waktu itu, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff sendiri terlibat secara langsung dengan projek berkenaan. “Beliau akan terbang ke UK hanya untuk taklimat reka bentuk,” ujar Azlan.

Apa yang tiba di bilik pameran pada 2006 ialah sebuah kereta hatchback tiga-pintu yang mengkagumkan, dengan garis bumbung yang rendah dan cermin utama yang begitu condong hinggakan penampan cahaya matahari di dalam kabin akan menghadkan pemandangan pemandu. Azlan juga tidak malu-malu untuk mengaku bahawa kereta itu kegagalan dari sudut ergonomik dengan sangat ketara dan “cemerlang”.

35 tahun Proton — Azlan Othman bercakap tentang evolusi rekaan serta apa jangkaan selepas ini

Apa pun halnya, sama ada baik atau buruk, rekaan itu akhirnya berjaya menarik perhatian orang ramai. “Tidak mungkin hari ini anda akan dapat lihat sebuah kereta dengan proportion rekaan sebegitu lagi. Tidak mungkin ia akan lulus peraturan yang ada,” tambah Azlan. Dan, untuk mendapatkan dinamik pemanduan yang baik, maka badan kereta itu perlu dibuat agar “sangat keras”, menjadikannya asas paling sempurna sebagai sebuah kereta lumba. “Talaan Lotus pada casisnya sangat ketara.”

Sekitar di pertengahan tempoh 23 tahun beliau bersama Proton, Azlan mula memegang jawatan sebagai Ketua Pereka yang masih disandang sehingga kini. Itu ketika keadaan syarikat agak stabil di bawah kendalian Datuk Seri Syed Zainal Abidin yang menggantikan Tengku Mahaleel – waktu yang sama produk-produk kukuh Proton seperti Saga dan Persona sedang berada dalam pasaran.

Dengan peranan baru itu, Azlan makin terlibat dengan menentukan strategi rekaan bagi Proton serta hala tujunya, membolehkannya “lari” dari rutin kerja rekaan yang dilakukan seharian. “Saya berharap untuk ada lebih masa untuk menetapkan arah tuju rekaan, tetapi saya fikir dengan peluang dan kepercayaan yang ada, saya perlu beralih ke tahap lain dan tetap boleh melakukan hal yang sama dari sudut pandang berbeza.”

Beliau turut terlibat dalam memperhalusi lagi kerja oleh pereka-pereka berbakat syarikat itu, menjadikannya lebih sesuai untuk pengeluaran. “Anda boleh memiliki lakaran terbaik – dan pereka generasi muda melakukan ini dengan sangat cemerlang – tetapi untuk menzahirkannya kepada model produksi mungkin tidak mudah tanpa panduan pereka senior,” tambah beliau. “Apa yang saya lakukan ialah menilai semula rekaan mereka, dan maklumkan bahagian yang perlu diperbaiki. Saya tidak perlu membuat lakaran penuh sebuah kereta, kerana pada kebanyakan waktu, proportion sudah dilakukan dengan baik oleh pereka muda.”

35 tahun Proton — Azlan Othman bercakap tentang evolusi rekaan serta apa jangkaan selepas ini

Walaupun Proton pernah melalui fasa kebangkitan semula dalam dekad lalu, menyusutnya kepercayaan pelanggan terhadap produk dan jenama Proton serta semakin sengitnya persaingan selepas itu telah menyumbang kepada penjualan yang lebih perlahan, walaupun dengan adanya beberapa perjanjian dengan pengeluar lain ketika pengenalan produk yang diperkemas pada 2016. Tahun berikutnya, seperti yang kita sedia maklum, Proton memasuki fasa kerjasama dengan rakan strategik terbaru, Geely.

Ketibaan X70 pada penghujung 2018 sedikit sebanyak adalah percubaan untuk Proton mengubah tanggapan dan keadaan itu. Ia satu langkah besar yang belum pernah diambil sebelum itu; dengan pengenalan SUV pertama untuk Proton. Dan keputusan itu telah membuatkan ramai pelanggan kembali ke bilik pameran dan mendorong jualan yang lebih baik – Proton kembali ke tangga kedua jualan tempatan, yang kemudiannya berkekalan hingga kini.

Namun, X70 tidak menampilkan hasil kerja tangan rekaan dari Proton sendiri. Walaupun nampak cukup meyakinkan, semua orang tahu ia adalah model sama bagi Geely Boyue, dengan sedikit perubahan, misalnya bahagian gril Infinite Weave dan kemasan krom Ethereal Bow (dan kemudian diikuti dengan logo baru bagi model CKD).

Ketiadaan perubahan yang lebih meluas daripada model yang menjadi asas antaranya disebabkan oleh tempoh reka bentuk yang sangat singkat untuk projek X70 waktu itu. “Kami perlu menyiapkan rekaan tersebut dalam tempoh enam bulan, dan semuanya perlu bergerak sekata,” jelas Azlan.

35 tahun Proton — Azlan Othman bercakap tentang evolusi rekaan serta apa jangkaan selepas ini

Dengan jangkaan yang tinggi terhadap kerjasama ini untuk ia berjaya diterjemahkan kepada keuntungan, para pereka Proton juga mengambil pendekatan yang lebih selamat untuk tujuan menjual lebih banyak unit. “Ketika Proton bersama Geely, Li (Chunrong, CEO) memperjelaskan satu perkara – kita perlu pulihkan keadaan terlebih dahulu. Maka, pengorbanan perlu dilakukan.”

“Kita perlu menghasilkan kereta yang orang mahukan, untuk menepati selera dan keperluan pelanggan serta mencapai angka yang perlu dari segi penjualan. Rekaan kita mungkin bukan yang paling menonjol; ia mungkin bukan yang terbaik boleh kami hasilkan setakat ini.”

Azlan juga menjelaskan bahawa model-model akan datang bakal mempunyai estetika yang lebih tersendiri dan berbeza. Dan jangan lupa, Proton masih komited untuk menghasilkan kereta dari sifar sepenuhnya. Untuk tujuan itu, syarikat sedang berkerjasama dengan Geely untuk membangunkan platform baru bagi kereta generasi terbaru rekaannya sendiri, seperti Saga, Iriz, Persona dan Exora.

Walaupun facelift terkini model-model berkenaan ada menerapkan sentuhan dari X70, serta kelengkapan ciri seperti Geely Key User Interface (GKUI), semua model berkenaan terasa dan kelihatan sebagai produk yang berasingan sama sekali. Itu bagaimanapun akan berubah dengan model gantian masing-masing nanti, yang menurut Azlan akan membawakan penampilan yang lebih mirip dengan model-model yang menggunakan asas kereta Geely. “Akan tiba masa model-model legasi Proton ini tidak lagi menjadi kereta yang anda biasa lihat. Namanya mungkin sama, tetapi bukan bentuk dan rekaannya.”

35 tahun Proton — Azlan Othman bercakap tentang evolusi rekaan serta apa jangkaan selepas ini

Model-model akan datang itu juga khabarnya akan mengunjurkan lagi keupayaan rekaan oleh Proton. Ingat “pemikiran mendalam” yang dinyatakan di awal tulisan ini? Semua itu akan ditumpahkan ke dalam rekaan kereta-kereta baru kelak untuk menjadikannya lebih menonjol dan asli. Menurut Azlan, rekaan baru itu nanti akan menampilkan lebih banyak penerapan rekaan yang berkaitan Malaysia. “Bahkah, pada salah satu kereta baru yang akan keluar nanti, sentuhan seperti itu akan diberikan pada keseluruhan rim aloinya.”

Bila boleh kita jangkakan kereta-kereta terbaru ini diperkenalkan? Azlan tidak mahu memberi jawapan yang spesifik, tetapi memberi petunjuk bahawa itu akan berlaku dalam masa terdekat, harapnya. Untuk itu, Proton juga bakal menunjukkan kereta-kereta konsep sebagai preview kepada model-model baru berkenaan. “Saya ingin menghidupkan semula konsep-konsep Proton yang ada. Saya ingin menunjukkan serba sedikit kepada orang ramai kemampuan sebenar Proton Design,” jelas beliau.

Tapi, kenapa Proton masih ingin mereka dan membangunkan kereta sendiri, sedangkan ia ada X70 serta model-model lain dari Geely? Pertama, perlu diakui, Geely sendiri tidak mempunyai barisan model yang kukuh bagi segmen-segmen yang lebih rendah atau segmen kenderaan kecil. Model sedan seperti Emgrand dan Vision serta model hatchback/SUV seperti Vision S1 dan X3 sudah agak lama dan “tua” dan tidak semenarik model-model terbaru daripada Geely.

Azlan juga memaklumkan bahawa Proton tidak mahu menggunakan model rebadge daripada Geely selamanya. “Tak ada pasukan pereka bentuk di dunia ini yang hanya ingin mengubah logo pada kereta sahaja,” jelasnya. “Geely telah mengakui bahawa kami patut menjadi pusat kecemerlangan bagi kenderaan pemanduan sebelah kanan. Untuk mencapai matlamat berkenaan, sampai satu tahap, kami perlu membangunkan produk sendiri.”

35 tahun Proton — Azlan Othman bercakap tentang evolusi rekaan serta apa jangkaan selepas ini

Kemampuan untuk mereka bentuk kenderaan sahaja sudah membolehkan Proton untuk memenuhi produknya terutama untuk pasaran rantau ini seperti Thailand dan Indonesia. Sebagai bonus, Proton juga boleh menawarkan platform baru berkenaan kepada Geely untuk menghasilkan kenderaan yang boleh menembusi pasaran baru, bertujuan untuk mengimbangi lagi kos pembangunannya.

“Jika anda fikir tentang China, anda akan terbayang SUV dan kereta besar, kan? Tak ada pihak yang memberi perhatian untuk membangunkan kenderaan kecil, kerena andaiannya pelanggan di sana tidak mahukannya. Tetapi kami berpendapat sebaliknya,” jelas beliau.

Manfaat menjadi sebahagian daripada kumpulan Geely turut dirasai oleh pasukan pereka. Proton boleh menggunakan bakat dan keupayaan beberapa studio rekaan global yang dimiliki Geely, dan sebaliknya juga. “Baru-baru ini, kami menerima beberapa jemputan untuk terlibat sama di dalam pertandingan rekaan global dalam kalangan kumpulan Geely. Saya tak boleh dedahkan perinciannya, tetapi ia merupakan projek-projek berprofil tinggi yang mana kami turut diminta untuk menghantarkan cadangan.”

Selebihnya, apa legasi yang ditinggalkan oleh Proton Design dengan sejarah 35 tahun ini, terutama di mata orang awam? “Saya sedar bahawa akan sentiasa ada penyokong dan pencemuh tak kiralah apa pun yang anda lakukan, tidak kisar sebaik mana produk yang dihasilkan itu,” jelas Azlan. “Saya fikir, mereka hanya faham daripada apa yang mereka baca dari media; banyak andaian yang berlegar sebenarnya tidak semestinya betul.”

“Malangnya, kami tak boleh mendedahkan kepada umum antara 80% hingga 90% perkara yang kami buat di sini. Bahkan perkara yang saya kongsikan dalam wawancara ini hanya bersifat permukaan. Jadi, bagaimana orang ramai akan faham kerumitan proses keseluruhan yang terlibat?”

35 tahun Proton — Azlan Othman bercakap tentang evolusi rekaan serta apa jangkaan selepas ini

Sebagai pereka, memang maklum balas dari orang awam selalu di dengar dan dipertimbangkan, baik yang positif mahupun yang negatif. “Ia boleh jadi sangat meruntuhkan semangat sebenarnya bagi pereka. Kami perlu bertenang dan berfikir dengan jelas berdasarkan matlamat yang telah ditetapkan dan apa yang ingin dicapai dan tidak terlalu terbawa-bawa dengan komen-komen yang ada.”

“Di situlah kepimpinan memainkan peranannya. Jika anda lemah, maka mudahkan untuk anda terkesan oleh hal-hal negatif demikian. Kadang-kadang saya kasihan kepada pereka-pereka di bawah saya, kerana saya tahu mereka membaca komen-komen tersebut. Bagi yang muda, mereka senang tersinggung. Namun, bagi yang agak senior, semua itu asam garam yang perlu ditempuh dan semuanya OK saja.”

Hubungan dengan Geely juga kerap mengundang pertanyaan kurang menyenangkan. “Kami selalu ditanya; adakah Proton menghasilkan rekaan sendiri sekarang, bila dah ada Geely? Itu saja sudah memberikan gambaran yang sangat negatif terhadap kami,” jelasnya. “Dan, kami pula tidak boleh bercakap banyak untuk menjelaskan apa yang sedang kami buat dalam satu-satu masa itu berkaitan rekaan. Jadi ceritanya tak habis di situ.”

Yang baik daripada semua itu ialah pasukan pereka sentiasa mencari peluang untuk menghasilkan kereta baru yang menarik, dan dalam masa yang sama tidak terlepas pandang hal-hal lain yang penting. Kenderaan seperti X70 CKD atau Saga Edisi Ulang Tahun ke-35 bukanlah petunjuk yang adil untuk hal ini. “Tetapi kedua-duanya sangat penting buat kami ketika ini. Kami perlu memulihkan keadaan sebelum menuai manfaat yang lebih besar kemudian hari.” Moga-moga ada hal yang lebih baik menanti kita semua dari hasil kerja pasukan pereka Proton di masa akan datang.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required