PANDU UJI: Proton X70 CKD 2020 – dengan kotak gear DCT 7-kelajuan baru, penawarannya kini yang terbaik?

Apa yang ada dengan Proton X70 CKD 2020 sebenarnya? Adakah ia mampu menepati jangkaan seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini? Untuk menjawab pertanyaan berkenaan, ia sebenarnya bergantung kepada bagaimana dan dari sudut mana anda melihat duduk letak perkara yang sebetulnya.

Bagi saya sendiri, setelah berkali-kali di”jual” dengan idea bahawa Proton X70 CKD 2020 akan tampil dengan banyak kelainan, maka jangkaan awal yang terbina di dalam kepala menjadi sedikit tinggi sebenarnya. Tetapi, sebaik saja mendekati model yang dimaksudkan dalam satu sesi pandu uji media ke Kuantan minggu lalu, ada beberapa hal yang sedikit mengecewakan sebenarnya.

Pertama, ketika melihat penampilan Proton X70 CKD 2020 yang saling tak tumpah seperti versi CBU sebelum ini, saya tertanya-tanya ke mana perginya cakap-cakap – yang sebahagian besarnya disampaikan oleh orang Proton sendiri – tentang perbezaan penampilan serta penggayaan yang kerap kali dinyatakan akan berubah banyak itu?

PANDU UJI: Proton X70 CKD 2020 – dengan kotak gear DCT 7-kelajuan baru, penawarannya kini yang terbaik?

Bagi model versi CKD ini, tak ada apa yang berubah bagi aspek rekaan atau penggayaan luarannya, melainkan penggunaan logo baru Proton dibeberapa tempat. Logo baru paling besar dan jelas kelihatan ialah jika anda perhatikan bahagian gril depan. Selebihnya, logo baru ini juga ada pada bahagian rim dan juga stereng. Itu sahaja perubahan penampilan yang dilakukan. Apa jadi dengan cadangan dan sentuhan rekaan yang berbeza untuk pasaran Malaysia?

Ini bukanlah satu hal yang besar sebenarnya. Sebab, jika dilihat, model kenderaan biasanya hanya akan diberikan sentuhan facelift selepas dua atau tiga tahun berada dalam pasaran. Sedangkan, bagi X70, ia baru lebih kurang setahun dijual dalam versi CBU di negara ini. Jadi, boleh difahami jugalah sebenarnya kenapa Proton tidak terus memperkenalkan versi dengan facelift yang lebih segar kali ini.

Mungkin, Proton memerlukan masa yang lebih lama untuk membuat kemaskini penggayaan SUV terbabit untuk disesuaikan bagi pasaran tempatan, itu kita perlu tunggu dan lihat nanti. Mungkin untuk fasa pertama ini, Proton menumpukan lebih banyak perhatian untuk memindah dan melancarkan lagi kerja-kerja pemasangan X70 dari China ke Tanjung Malim; tentulah, itu bukan satu kerja yang mudah dan memerlukan masa untuk menjadikan semuanya stabil dan mengikut piawaian.

Jadi, adakah dengan penampilan yang sama seperti versi CBU ini satu hal yang kurang menarik? Saya fikir tidak, kerana penawaran lain yang diberikan oleh X70 CKD ini, dalam beberapa hal yang akan kita teliti dan tinjau dalam tulisan ini bahkan jauh lebih baik dan berbaloi berbanding sebelum ini. Apa lagi kalau kita melihat perkara itu di dalam konteks penawaran SUV segmen C yang ada ketika ini – antara lawannya yang paling dekat tidak lain ialah Honda CR-V dan juga Mazda CX-5.

Rasanya elok kita lihat dulu apa benda yang baru diberikan pada versi X70 CKD 2020 ini. Selain penggunaan lencana baru Proton, jika anda membuka ruang enjinnya, anda akan perasan yang pelapik atau cover enjin yang digunakan ialah baru, lengkap dengan tulisan Proton G-Power. Walaupun kedudukannya seolah-olah mencadangkan enjin dalam orientasi menegak seolah-olah dipacu roda belakang, tapi sebenarnya hanya pelapik berkenaan dalam kedudukan begitu.

Berkaitan kerusi yang digunakan pula, ada dua kemaskini yang dilakukan. Bagi pemandu dan penumpang depan, kerusi berkenaan kini datang dengan liang pendingin (ventilated seat) untuk menyejukkan suhu ketika penumpang duduk. Suhu boleh dikawal berasingan bagi kedua-dua kerusi dengan tiga tahap kelajuan kipas, dan semua itu perlu dilakukan melalui head unit yang tersedia. Bagi keadaan cuaca panas seperti di Malaysia, sudah tentu ramai yang akan menghargai ciri ini.

PANDU UJI: Proton X70 CKD 2020 – dengan kotak gear DCT 7-kelajuan baru, penawarannya kini yang terbaik?

Bagi penumpang belakang pula, walaupun tempat duduk dan penyandar sedia ada pada X70 sebelum ini sudah cukup selesa, versi CKD ini menampil satu lagi tambahan; kecondongan bahagian penyandar kerusi belakang boleh diturunkan satu tahap lagi dengan beza dari 27-darjah kepada 32-darjah (beza lima-darjah). Ini membolehkan penumpang belakang duduk dengan bertambah keselesaan, terutama untuk perjalanan jauh. Kulit yang membaluti kerusi juga rasanya sedikit lebih gelap warna coklatnya berbanding model CBU.

Lagi tambahan ciri untuk keselesaan pada X70 CKD ini ialah bukaan pintu ruang barangan belakang secara automatik (auto tailgate), yang boleh dilakukan juga dengan gerak kaki untuk membuka atau menutupnya. Ini satu tambahan yang sangat dialu-alukan; ciri premium yang akan menambahkan lagi nilai dan tahap berbaloi pada SUV pertama Proton ini.

Untuk menggunakan ciri kaki ini, enjin perlulah dalam keadaan dimatikan dan kunci berada pada pengguna. Selain situasi ini, suis buka pada pintu juga boleh digunakan tanpa masalah. Ketinggian bukaan pintu juga boleh disetkan mengikut kemahuan anda. Di tempat barang di belakang itu juga ada satu perbezaan kecil berbanding versi CBU; alas penutup ruang berkenaan (tonneau cover) kini mempunyai landasan sendiri dari pangkal ia bergulung hingga ke bahagian cangkuk rehat di hujung satu lagi.

PANDU UJI: Proton X70 CKD 2020 – dengan kotak gear DCT 7-kelajuan baru, penawarannya kini yang terbaik?

Sekarang, kita masuk pula kepada perubahan-perubahan mekanikal yang dibuat pada X70 CKD. Sebelum ke perubahan yang paling penting dan utama – apa lagi kalau bukan penggunaan kotak gear DCT tujuh-kelajuan klac basah – kita ambil maklum dahulu tentang sedikit perubahan yang dibuat terhadap sistem suspensi atau penyerap hentaknya.

Walaupun masih menggunakan unit yang sama, talaan padanya telah diberikan sedikit kelainan; kali ini, menurut Proton, ia ditetapkan agar dapat memberikan kestabilan yang lebih baik, mengurangkan olengan badan (body roll) dan sekaligus menjadikan tahap kestabilan X70 lebih berkesan bagi versi CKD ini berbanding model tahun 2018 lalu.

Kemudian, seperti yang disebut, pembaharuan paling penting dan utama pada X70 CKD 2020 ini ialah penggunaan kotak gear DCT tujuh-kelajuan (dual-clutch transmission) yang menggantikan kotak gear automatik enam-kelajuan sebelumnya. Adakah DCT ini lebih bagus daripada kotak gear automatik biasa? Bukankah DCT ini yang selalu kita dengar menghadapi banyak masalah dan tidak tahan lasak?

PANDU UJI: Proton X70 CKD 2020 – dengan kotak gear DCT 7-kelajuan baru, penawarannya kini yang terbaik?

Ketika diajukan soalan-soalan itu kepada Proton, mereka dengan yakin menyatakan bahawa DCT dengan pendekatan yang digunakan oleh Proton adalah berlainan berbanding DCT yang selalu dilaporkan bermasalah itu. Antara halnya ialah, Proton menggunakan DCT jenis klac basah dan bukannya DCT klac kering seperti yang ada pada kenderaan misalnya keluaran Volkswagen dan Ford.

Kotak gear baru ini juga lebih cekap dalam menyalurkan kuasa; rekaannya menurut Geely, akan memberikan kadar kecekapan sehingga 97% maksimum (kadar purata 94.6%) berbanding Volkswagen DSG dengan angka 91% bagi klac basah dan 92% bagi klac kering. Kadar kecekapan bagi transmisi automatik enam-kelajuan sebelum ini pula ialah 89%.

Apa masalah DCT klac kering dan apa pula kelebihan DCT Proton? Pertama sekali, masalah yang kerap dihadapi oleh kotak gear DCT ialah faktor kepanasan melampau yang menyebabkannya sering bermasalah. Sebaliknya, dengan DCT klac basah, mekanisme dengan bendalir khusus digunakan untuk mengawal suhu di dalam operasi kotak gear berkenaan, sekaligus mengatasi masalah kenaikan suhu itu tadi. Jadi, Proton sangat yakin bahawa DCT tujuh-kelajuan yang digunakan ini sangat boleh diharap.

PANDU UJI: Proton X70 CKD 2020 – dengan kotak gear DCT 7-kelajuan baru, penawarannya kini yang terbaik?

Kedua, ini adalah teknologi yang dibangunkan oleh Geely dan Volvo (dan kini dipindahkan kepada Proton), dan unit yang sama turut digunakan oleh model-model kenderaan Volvo sendiri. Ini secara tidak langsung menunjukkan kepercayaan terhadap unit berkenaan serta daya tahannya.

Namun, ia bukanlah sama seperti tetapan yang digunakan untuk pasaran di China (kotak gear ini juga direka di kilang Geely di Ningbo, dan turut digunakan oleh model-model Volvo di pasaran lain). Proton melakukan sedikit ubah suai talaan untuk menepati watak pemanduan umum kebanyakan pemandu di Malaysia, yang dikenal pasti lebih agresif dalam pertukaran gear dan cara pemanduan berbanding pemandu di sana.

Jika itu belum cukup meyakinkan anda, Proton juga mengesahkan bahawa sebelum pengenalan model CKD ini, syarikat itu telah menjalankan ujian selama enam bulan bersamaan dengan 100,000km di Malaysia sendiri untuk menilai ketahanan dan kesediaan kotak gear terbabit dalam suasana penggunaan di Malaysia. Dan menurut mereka, tiada masalah yang perlu dirisaukan kerana semuanya sudah siap diuji sewajarnya sebelum mula memasuki pasaran.

Tentang kotak gear baru ini, ia turut menyumbang kepada pengurangan berat. Jika transmisi 6AT sebelum ini mempunyai berat 98 kg, berbanding yang baru ini hanya dengan 75 kg; itu melibatkan perbezaan sebanyak 23 kg. Adakah ini satu hal yang bagus? Sudah tentu, kerana ia secara tidak langsung turut membolehkan X70 CKD ini menjimatkan lagi penggunaan bahan apinya. Bacaan terbaru yang didakwa oleh Proton dapat dicapai oleh SUV ini ialah pada kadar 7.6 l/100 km.

Bukan itu sahaja, walaupun dengan janaan kuasa yang masih sama pada 181 hp, Proton memaklumkan yang X70 CKD kini – dengan pembaharuan kotak gear berkenaan – juga lebih pantas; pecutan 0-100 km/j X70 CKD direkodkan 9.5 saat, lebih pantas satu saat berbanding model CBU. Untuk sebuah kenderaan, apatah lagi bagi sebuah SUV, peningkatan kepantasan satu saat ini sebenarnya sangat besar dan memberikan lonjakkan tersendiri yang penting bagi aspek prestasinya.

Tanggapan bagi aspek pemanduan pula bagaimana? Sepanjang dua hari mencuba unit berkenaan dalam perjalanan pergi-balik Kuala Lumpur-Kuantan, ada beberapa perkara yang sempat diperhatikan, terutamanya berkaitan kotak gear DCT tujuh-kelajuan yang digunakan. Adakah ia sama macam rasa memandu kereta dengan DCT yang lain?

PANDU UJI: Proton X70 CKD 2020 – dengan kotak gear DCT 7-kelajuan baru, penawarannya kini yang terbaik?

Saya sendiri sangat biasa dengan maklum balas pemanduan DCT pada Ford Fiesta, yang seperti ramai tahu, sangat tidak praktikal dan kerap rosak. Dengan Fiesta, setiap penukaran gear, tambahan ketika anda baru bergerak dari keadaan pegun, misalnya ketika keluar dari tempat parkir, Fiesta akan tersengguk dengan sangat ketara. Ini kekal untuk dua-tiga kedudukan gear terawal. Selebihnya, setiap peralihan gear juga akan dapat anda rasakan secara sedar.

Jadi, adakah DCT pada X70 ini rasanya sama seperti itu? Tidak. DCT pada X70 CKD terasa sangat lancar dan lembut sahaja pada kebanyakan masa, termasuk ketika memulakan pergerakan. Agak sukar untuk merasakan bila SUV ini menukarkan gearnya, melainkan jika anda memang memberi tumpuan untuk mengesan pertukaran itu. Dari sudut ini, ia menambahkan lagi keselesaan dan kesenyapan di dalam kabin X70 CKD, sekaligus merupakan peningkatan yang sangat penting.

Bagaimana dengan penggunaan minyak? Secara kasar, sepanjang perjalanan sehala ke Kuantan, apa yang dapat diperhatikan, unit yang dipandu uji itu masih berbaki tiga takuk lagi sebaik tiba di sana. Mengambil kira ia sebuah SUV yang membawa empat orang dewasa ketika itu, ini boleh disifatkan agak baik. Ini selepas mengambil kira enjin turbo yang digunakan – yang sering memberikan gesaan kepada pemandu sekiranya perlu – dan saiz yang agak besar yang dalam masa sama memberikan keselesaan kepada semua.

Satu perkara lagi yang sempat diperhatikan, ketika memandunya, walaupun X70 sebuah SUV yang sebetulnya dengan saiz kabin yang agak luas, memandu atau mengendalikannya adalah sangat mudah. Misalnya, ketika melalui dalam bandar, ingin keluar-masuk parkir dan sebagainya, ia tidak terasa besar. Lebuhraya adalah tempat di mana X70 CKD ini benar-benar cemerlang dengan seluruh pakej yang ditawarkannya. Untuk perjalanan jauh yang lebih santai, penggunaan minyak tentunya boleh dioptimumkan lagi.

Secara umum, X70 CKD memberikan pengalaman yang cukup menyenangkan juga. Pemanduannya dirasakan lebih stabil dan meyakinkan walaupun diselekoh (mungkin turut disumbangkan oleh sedikit talaan baru pada suspensi). Tambahan pula, dengan harga yang ditetapkan, X70 CKD ini berada dalam tingkat tersendiri jika kita ingin membicarakan tentang value for money.

Oh ya, ada satu lagi perkara yang mungkin sedikit tidak menepati jangkaan awal. Jika model terdahulu datang dengan sistem pemetaan Baidu oleh pembekal dari China. Ia yang kerap dikatakan tidak tepat serta dengan operasi yang tidak lancar. Proton X70 CKD ini bagaimanapun masih mengekalkan ciri berkenaan.

Walaupun, ada ura-ura yang dinyatakan sebelum ini bahawa ia akan ditukar atau dipertingkat kepada perisian yang lebih mesra pengguna, mungkin sama cekap seperti Waze dan Google Maps (jangan lupa, X70 ada menawarkan pakej dengan servis internet di dalamnya). Apa pun, menurut Proton, perisian Baidu berkenaan telah diperkemas dan lebih cekap pada model CKD.

PANDU UJI: Proton X70 CKD 2020 – dengan kotak gear DCT 7-kelajuan baru, penawarannya kini yang terbaik?

Semua kelebihan yang dinyatakan ini antara yang menjadikan X70 semakin popular, dan tidak hairan dengan pengenalan model CKD, penerimaan terhadapnya akan lebih meluas. Jika dibandingkan dengan pesaing-pesaing yang lain, seperti Honda CR-V dan Mazda CX-5 (kedua-duanya dalam versi pemasangan CKD), senarai kelengkapan dan ciri keselamatan pada X70 jika diimbang dengan harga yang dikenakan berada dalam kelasnya yang tersendiri.

Aspek yang mungkin akan menjadi penentu bagi sesetengah orang selain harga dan senarai spesifikasinya sudah tentulah reka bentuk dan penggayaannya. Ini mungkin menjadi kelebihan kepada dua pesaing yang dinyatakan tadi; sebuah penilaian subjektif mengikut citarasa masing-masing.

Namun, jika nilai wang dan penawaran yang diutamakan, X70 CKD akan terus meraih perhatian ramai orang. Seperkara lagi, walaupun kekal dengan penawaran empat varian bagi X70 CKD, kini tiada lagi versi AWD; varian Premium dibahagikan kepada dua, dengan tambahan Premium X yang hanya berbeza ciri sunroof sahaja. Bagi anda pula bagaimana, jika inginkan sebuah SUV, adakah anda akan mempertimbangkan Proton X70 CKD 2020?

Proton X70 CKD 2020 – Pilihan warna

Proton X70 CKD 2020 — Ciri keselamatan

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required