cof

Keseluruhan barisan model Lynk & Co termasuk SUV 01, crossover kompak 02 dan sedan 03 telah dijumpai di Malaysia, oleh beberapa orang pembaca paultan.org. Malah, kereta ini dijumpai di kawasan yang berlainan kerana gambar yang dihantar oleh Parhelia adalah di Kuantan, manakala oleh Neoh Perng King di Pulau Pinang.

Sama seperti 01 yang dijumpai sebelum ini, semua kereta ini tidak memakai sebarang penyamaran dan ditanda sebagai kereta panduan sebelah kiri. Penemuan mereka juga menguatkan lagi berita bahawa Zhejiang Geely akan menggunakan kilang Proton di Tanjung Malim untuk membina model Lynk & Co versi pemanduan sebelah kanan (RHD).

Unit ujian yang dijumpai ini berkemungkinan digunakan untuk penilaian dan pembangunan penukaran ke RHD dan ini membolehkan Lynk & Co nanti untuk menjualnya ke pasaran RHD lain. Walaupun begitu, masih belum ada sebarang kata rasmi daripada pihak yang terlibat.

Ketika ini, pengeluaran bagi model 01 telah bermula di China – sebuah pasaran pemanduan sebelah kiri – dan dilaporkan akan turut dilanjutkan ke kilang Volvo di Ghent, Belgium dan Carolina Selatan, AS. Pemasangan di Belgium adalah bagi menampung pasaran RHD di Eropah manakala Malaysia pula berpotensi untuk ditambah dalam senarai ini untuk membantu mengembangkan lagi pasaran Lynk & Co.

Sukar untuk memberitahu kenderaan yang dijumpai ini menggunakan enjin apa, tetapi kesemuan model Lynk & Co boleh didapati dengan enjin tiga silinder 1.5L atau empat silinder 2.0 liter turbo petrol. Enjin 1.5 itu digunakan sebagai asas untuk penjana plug-in hybrid yang bakal ditawarkan pada semua model itu.

Proton sebelum ini telah memaklumkan yang kemudahan di Tanjung Malim akan digunakan sebagai pusat R&D dan pengeluaran bagi model-model RHD oleh Geely Group. Kerja-kerja menaik taraf untuk tujuan ini termasuk sekali di dalam pelaburan RM1.2 bilion sebelum ini, dan produksi dijangka akan bermula pada September 2019.