Sedan Lynk & Co 03 sebelum ini pernah ditunjukkan sebagai sebuah kenderaan konsep tahun lepas, semasa Shanghai Motor Show, dan beberapa minggu lalu “spyshot” rasminya dikeluarkan. Kini akhirnya kereta tersebut ditunjukkan sepenuhnya, melalui beberapa siri gambar.
Lynk & Co 03 tidak mengikut kebiasaan sekarang dengan bentuk badan “coupe” empat pintu, tetapi ia menggunakan bentuk berpetak yang lebih tradisional. Pada bahagian depan anda akan dapat melihat rekaan unik lampu bertingkat bersama lampu siang LED berbentuk cakar.
Pergi ke bahagian tepi pula, jalur krom yang berada atas tingkap tidak terhenti sekadar di pintu belakang, tapi berterusan sehingga cermin belakang. Lampu belakang sports berbentuk L juga hampir sama seperti model 01 dan 02. Turut boleh dilihat jelas adalah bampar yang lebih sporty, dengan bukaan udara hadapan serta diffuser belakang yang lebih berpetak.
Seperti juga 01 dan 02, model 03 ini akan dibina atas platform Compact Modular Architecture (CMA) yang dibangunkan bersama oleh Geely dan Volvo 9 turut digunakan oleh Volvo XC40. Menurut Autocar, ia akan ditawarkan dengan pilihan enjin sama seperti model Sweden tersebut, termasuk unit tiga silinder 1.5 liter dan empat silinder turbo 2.0 liter petrol, serta plug-in hybrid 1.5 liter yang boleh bergerak menggunakan elektrik sahaja sejauh 60 km.
Lynk & Co mahu menjadi satu jenama untuk generasi digital, dan disebabkan itu, mereka mensasarkan untuk memberi pilihan cara pemilikan kenderaan selain pembelian, sewa beli serta pajakan yang sudah menjadi kebiasaan. Mereka sedang mengusahakan servis langganan seperti Volvo’s Care oleh Volvo, serta kemampuan berkongsi kenderaan dengan orang lain melalui kunci digital.
Pengeluaran model Lynk & Co telah bermula di Zhangjiakou, China, dengan kilang Volvo di Ghent, Belgium juga akan memulakan pengeluaran pada tahun 2019. Sementara itu bagi versi pemanduan sebelah kanan, ia berkemungkinan dibina di kilang Proton di Tanjung Malim.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.