Kita di Malaysia biasanya kalau sebut tentang ‘mazhab’ modifikasi kereta, sudah tentu ramai yang ‘berkiblatkan’ Jepun atau JDM sebagai panduan. Namun sebenarnya Malaysia ada asas modifikasi unik yang tiada di negara lain kerana kebanyakkan ‘mat-mat kereta’ di sini akan bermula hobi mengubahsuai kenderaan masing-masing dengan dua kereta jenama tempatan sama ada Proton atau Perodua.
Jadi budaya ini sangat perlu untuk ditonjolkan dalam acara-acara tempatan dengan kehadiran pengunjung-pengunjung serta media-media antarabangsa seperti Art Of Speed (AOS). Acara sebegini amatlah penting untuk menunjukkan kepada dunia originaliti kita berbanding untuk memperlihatkan sama ada kita di sini ‘lebih JDM’ berbanding scene di Jepun sana.
Syukur ada beberapa buah Proton yang hadir dipamerkan dalam dewan utama iaitu Dewan A di AOS 2024 yang berlangsung di MAEPS Serdang hujung minggu lalu. Dan yang menjadi kegemaran penulis adalah sebuah Proton Satria Neo berwarna perak yang diapit oleh sekumpulan jentera Continental dan JDM dalam ruang pameran yang di selia oleh No Equal.
Satria Neo merupakan hatchback yang bukan sahaja tampil dengan rupa yang begitu agresif, malah model ini mempunyai sejarah sukan permotoran yang begitu cemerlang kerana casis binaan jurutera tempatan bersama Lotus yang boleh dikatakan sebagai ‘over engineered‘. Jadi dengan tampil dipentas sebegini, ia mungkin boleh menarik lebih minat orang luar untuk mengenali dunia automotif tempatan.
Neo yang dipamerkan ini pula sebenarnya milik seorang pelumba muda Malaysia yang kebelakangan ini mencipta pelbagai rekod ‘time attack‘ di litar Sepang iaitu Amer Harris. Kereta ini bermula sebagai Satria Neo varian asas 1.6 M-Line, tetapi kini berubah dengan rupa seakan model edisi terhad yang dihasilkan hanya untuk litar iaitu Satria Neo Clubsport.
Untuk itu, bahagian luar kereta ini menerima spoiler hadapan dan spoiler bumbung belakang R3. Dan untuk lebih kelihatan lebih fokus untuk kegunaan litar, ia menggunakan bonet hadapan gentian karbon, dilengkapi kill switch pada penutup cowl pengelap cermin serta cangkuk tunda yang dibiar melekat pada bampar hadapan.
Dan yang paling menarik adalah pada aspek stance – kereta ini diberikan set rim aloi Rays Engineering TE37 dengan jejari concave di hadapan dan Racing Hart Superlative di belakang, dibalut dengan tayar perlumbaan Hankook Ventus TD, kesemuanya kelihatan ‘sendat’ dan tenggelam pada ruang roda.
Satu lagi hatchback Proton yang menarik perhatian di sini adalah sebuah Satria R3. Semua dah tahu, Satria R3 ini boleh dianggap versi Type R yang dihasilkan oleh sayap perlumbaan rasmi Proton iaitu Race Rally Research (R3) di bina hanya 150 unit. Dan unit yang dipamerkan ini adalah antara yang paling istimewa kerana ia adalah unit pertama yang menerima talaan penuh R3 Stage 3!
Dalam dewan ini juga terdapat dua buah coupe Proton yang boleh dikira rare kerana jumlah produksi hanya sekitar 5,000 unit iaitu Proton Putra. Unit Putra yang berwarna perak mengenakan muka yang disalin dari Mitsubishi Lancer Evolution II, sementara yang berwarna bira tampil lebih agresif dengan banyak komponen karbon serta muka Lancer Evolution III bersama bampar hadapan rekaan HKS Kansai.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.