Chery mula eksport kenderaan dari kilang Shah Alam tahun ini; Malaysia jadi hab R&D, produksi ASEAN

Chery mula eksport kenderaan dari kilang Shah Alam tahun ini; Malaysia jadi hab R&D, produksi ASEAN

Kilang Chery di Shah Alam yang baru dibuka Jun lalu bukan hanya akan membekalkan kenderaan untuk pasaran tempatan, ini kerana menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam hantaran Facebook yang dibuat semalam, beliau mengesahkan bahawa kilang berkenaan turut akan mengeksport model-model Chery ke pasaran ASEAN yang lain bermula akhir tahun ini.

Beliau menyatakan bahawa Chery telah meletakkan Malaysia sebagai hab eksportnya untuk pasaran ASEAN, dan kilang tersebut merupakan sebahagian dari pelaburan besar yang telah diperuntukkan oleh jenama automotif China itu di sini.

“Pada bulan Jun lepas, saya telah melancarkan kilang pemasangan Chery di Shah Alam, Selangor. Kilang ini adalah sebahagian daripada pelaburan RM1 bilion mereka di Malaysia. Semalam saya bertemu pihak Chery lagi, kali ini untuk mendengar perancangan mereka untuk menjadikan Malaysia sebagai hab eksport Chery di ASEAN dan juga ke rantau-rantau lain,” katanya.

“Insya-Allah mereka akan mula mengeksport pada penghujung tahun ini. Saya harap kejayaan Chery akan menggalakkan lebih banyak pengeluar lain untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran mereka di rantau ASEAN,” tambahnya lagi.

Chery mula eksport kenderaan dari kilang Shah Alam tahun ini; Malaysia jadi hab R&D, produksi ASEAN

Kilang Chery Shah Alam ini mula beroperasi dengan memasang model sub-jenamanya iaitu SUV Jaecoo J7 yang baru sahaja dilancarkan 19 Julai lalu. Sementara model-model dengan logo Chery iaitu Omoda 5, Tiggo 8 Pro dan Tiggo 7 Pro masih dipasang di kilang milik Inokom di Kulim, Kedah. Kesemua model-model CKD ini masih hanya dihasilkan untuk pasaran tempatan.

Namun Chery telah pun mengumumkan rancangan masa hadapannya di mana fasiliti di Shah Alam tersebut akan dijadikan sebagai hab kenderaan pemanduan sebelah kanan serta bakal dilengkapi kemudahan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D). Perkara ini disahkan sendiri oleh presiden Chery International, Zhang Guibing yang melancarkan kilang Shah Alam berkenaan.

Hab Chery di Malaysia ini akan ditugaskan untuk membangunkan versi-versi pemanduan sebelah kanan (RHD) bukan hanya untuk pasaran tempatan dan ASEAN, malah Zhang mengesahkan ia juga untuk pasaran global lain seperti UK dan Australia. Beliau turut menambah bahawa Malaysia juga dipilih kerana cuaca tropika di sini yang sesuai untuk ujian cuaca panas.

“Sementara China menggunakan kenderaan pemanduan sebelah kiri, Malaysia menawarkan peluang unik untuk menyediakan keperluan pasaran pemanduan sebelah kanan. Kami sangat berminat untuk mengembangkan perniagaan di sini dan Malaysia boleh menjadi hab pemanduan sebelah kanan,” kata Zhang sambil menambah syarikat mempunyai perancangan untuk meneroka eksport ke negara RHD dan menggunakan kedudukan strategik Malaysia.

Zhang juga memberitahu bahawa Chery mempunyai visi masa panjang yang termasuk “memastikan rakan kongsi tempatan berpuas hati, mencipta peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia serta memperkenalkan teknologi baru kepada pasaran tempatan.”

Dengan semua usaha ini, Zhang menegaskan bahawa ia akan menguatkan lagi asas operasi Chery di Malaysia, dan “memastikan kualiti serta kecekapan berstandard tinggi yang seterusnya membina keyakinan pelanggan berpanjangan.”

Hujung tahun lalu Chery menjanjikan pelaburan RM1 bilion untuk memberi sokongan kepada Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030. Syarikat itu menyatakan ia adalah sebagai satu komitmen jangka masa panjang yang menunjukkan keyakinan mereka terhadap potensi Malaysia.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required