BYD Seal Dynamic RWD kini di Malaysia – 204 PS/310 Nm, jarak gerak 460 km, roda aloi 18″; dari RM164k

BYD Seal Dynamic RWD kini di Malaysia – 204 PS/310 Nm, jarak gerak 460 km, roda aloi 18″; dari RM164k

Berbanding dua beradiknya, varian Premium Range RWD dan Performance Range AWD yang sudah pun dilancarkan di Malaysia pada Februari lalu, kini barulah tiba giliran BYD Seal Dynamic RWD dijual di pasaran kita.

Varian Dynamic RWD ditawarkan dengan harga atas jalan RM163,800 tanpa insurans. Dibandingkan dengan Premium yang ditawarkan pada harga RM179,800, dan Performance pula berharga RM199,800. Pembelian Seal turut didatangkan dengan waranti enam-tahun/150,000 km, waranti bateri lapan-tahun/160,000 km, dan waranti unit pemacu lapan-tahun/150,000 km.

Seperti dua beradiknya, Dynamic RWD juga mempunyai ukuran dimensi 4,800 mm panjang, 1,875 mm lebar dan 1,460 mm tinggi, dengan jarak antara roda 2,920 mm, dengan jarak kelegaan tanah cecah 145 mm. Barisan Seal dibangun menggunakan e-platform 3.0 BYD, sama seperti Atto 3 dan Dolphin.

BYD Seal Dynamic RWD kini di Malaysia – 204 PS/310 Nm, jarak gerak 460 km, roda aloi 18″; dari RM164k

Untuk pengetahuan anda, Dynamic RWD merupakan varian permulaan dalam barisan Seal, maka ia diberikan kuasa yang paling sedikit dan jarak geraknya juga paling rendah bagi model kenderaan elektrik (EV) itu. Dioperasikan dari motor pacuan roda-belakang yang mampu menghasilkan kuasa 204 PS (150 kW) dan tork 310 Nm membolehkannya dipecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 7.5 saat.

Kuasanya dijanakan oleh bateri lithium iron phosphate (LFP) Blade berkapasiti 61.44 kWh yang mampu memberikan jarak gerak sehingga 460 km mengikut standard WLTP (510 km jika ikut NEDC), dan ini lebih rendah berbanding 570 km oleh varian Premium dan 520 km oleh Performance AWD. Sama seperti varian lain, Dynamic juga boleh dicas menggunakan unit AC Type 2 sehingga 7 kW dengan pengecasan penuh boleh dicapai dalam 8.6 jam untuk penuh. Ia juga boleh dicas dengan menggunakan pengecas pantas DC berkapasiti hingga 110 kW.

Imej luaran Dynamic RWD menyamai dua varian tertinggi Seal, namun ia hanya diberikan roda aloi pelbagai-jejari yang lebih kecil berukuran 18-inci yang dibaluti tayar 225/50 R18 (19-inci untuk dua varian tertinggi). Ciri-ciri kelengkapan luaran lain termasuklah lampu utama double-u Floating LED dengan gaya seksi, lampu nyalaan siang LED dan lampu belakang LED serta pemegang pintu boleh ditarik keluar dan bumbung suria panoramik.

BYD Seal Dynamic RWD kini di Malaysia – 204 PS/310 Nm, jarak gerak 460 km, roda aloi 18″; dari RM164k

Untuk kabinnya, ia juga mirip dengan varian Premium Range RWD dan Performance Range AWD. Ia diberikan panel instrumen bersaiz 10.25-inci di hadapan pemandu yang menampilkan meter digital dan maklumat kenderaan serta skrin sesentuh bersaiz 15.6-inci di bahagian tengah yang boleh dipusingkan dalam orientasi landskap/potret. Rak bahagian tengahnya ditampilkan dengan tombol Crystal Gearshift dengan rekaan futuristik.

Jika dua varian tertinggi menerima balutan kulit asli untuk tempat duduknya, model asas ini hanya diberikan balutan kulit tiruan. Ciri lain masih kekal sama termasuk tempat duduk pemandu menerima lapan-cara larasan kuasa dan bahagian penumpang hadapan dengan enam-cara larasan kuasa, sistem bunyi premium HIFI Dynaudio 12-pembesar suara, pendingin hawa dwi-zon, kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, kad kunci NFC, paparan utama W-HUD, dua pengecas telefon pintas tanpa wayar, ketersambungan Bluetooth, Apple CarPlay/Android Auto tanpa wayar dan sistem penapis PM2.5.

Seal yang diberikan penarafan lima-bintang dari ANCAP turut diberikan ciri keselamatan pasif termasuk sembilan beg udara, sistem ADAS, dua penderia parkir hadapan, empat penderia parkir belakang dan sistem kamera resolusi tinggi 360. Selain itu, ia dilengkapi dengan sistem brek pintar, EBD, Hill Hold Control (HHC), Adaptive Cruise Control (ACC), Brek Kecemasan Sendiri (AEB), Amaran Ketibaan Lorong, Bantuan Kekal Lorong Kecemasan, Pengesan Isyarat Trafik, Bantuan Lampu Tinggi, dan Pengesan Titik Buta.

Untuk Dynamic RWD ini, ia ditawarkan dengan dua pilihan warna iaitu Cosmos Black dan Aurora White, berbanding tambahan dua warna Atlantis Grey dan Arctic Blue untuk dua abangnya. Sime Darby Beyond Auto selaku pengedar rasmi BYD di Malaysia turut menawarkan untuk 100 unit tempahan pertama varian Dynamic RWD ini bakal menerima pengecas Wall Box Home secara percuma.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required