Di pasaran negara lain, Toyota Hilux telah diberikan pelbagai peningkatan, termasuk varian GR Sport Wide Tread dan facelift yang memperkenalkan sistem hibrid ringkas 48 volt. Waalubagaimanapun, itu masih belum tiba di Malaysia, dan sebaliknya kita cuma mendapat sedikit peningkatan, yang juga menaikkan harganya sehingga RM4,200.
Jika dibandingkan dengan tahun lepas, harga varian asas 2.4 MT single cab (masih dalam generasi kelapan) kini naik RM1,000 menjadi RM104,800, manakala 2.4V AT double cab sekarang lebih tinggi RM3,700, dijual pada RM145,880.
Varian paling tinggi menyaksikan peningkatan paling banyak, iaitu 2.8 Rogue AT dan 2.8 GR Sport AT yang masing-masing berharga RM163,080 dan RM173,280 – RM4,200 lebih tinggi berbanding sebelumnya. Varian pertengahan, iaitu 2.4E double cab bagaimanapun masih dijual pada harga sama iaitu RM117,880 untuk versi manual dan RM119,880 untuk versi automatik.
Ada antara peningkatan harga itu ditimbal balik dengan pemasangan kamera 360 darjah pada 2.5V, 2.8 Rogue dan 2.8 GR Sport, serta pengecas Qi tanpa wayar untuk Rogue dan GR Sport. Barangan ini disediakan sebagai pilihan tambahan untuk varian double cab lain – RM6,590 untuk kamera 360 darjah (dimasukkan sekali dengan skrin sesentuh sembilan inci) dan RM490 untuk pengecas tanpa wayar.
Tiada perubahan lain dibuat pada Hilux ini, yang mana ia masih digerakkan oleh sama ada enjin empat silinder diesel turbo 2.4 liter 2GD-FTV 150 PS/400 Nm atau 1GD-FTV 204 PS/500 Nm – kuasa varian GR Sport ditingkatkan kepada 224 PS dan 550 Nm pada tahun lepas. Anda juga mendapat pilihan transmisi manual atau automatik enam kelajuan serta sistem pacuan empat roda.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.