Nenek 79-tahun di Jepun masih pandu Mazda RX-7 dengan kotak gear manual kerana pengaruh Initial D

Nenek 79-tahun di Jepun masih pandu Mazda RX-7 dengan kotak gear manual kerana pengaruh Initial D

Walaupun menampilkan rupa yang sangat evergreen dan juga prestasi pemanduan yang begitu baik, agak jarang untuk kita lihat sebuah Mazda RX-7 FD3S dipandu setiap hari sebagai pengangkutan utama kerana enjin wankel rotary yang digunakan seringkali dikaitkan dengan penggunaan bahan api dan juga kos penyelenggaraan yang tinggi.

Namun perkara ini tidak menghalang seorang nenek bernama Naoko Nishimoto yang berumur 79-tahun dari Wilayah Nagasaki di Jepun untuk memandu kereta sport tersebut sebagai pengangkutan hariannya. Malah RX-7 milik Nishimoto ini juga adalah dari versi yang menggunakan kotak gear manual lima-kelajuan!

Cerita tentang Nishimoto bersama RX-7 kesayangannya ini telah disiarkan oleh berita stesen TV tempatan KTN TV Nagasaki. Nishimoto yang suka dengan kucing, bercucuk tanam dan juga bermain piano memberitahu dia mula suka dengan Mazda RX-7 ini setelah mengikuti siri anime Initial D.

Selain dari watak utama Takumi Fujiwara yang menyebabkan Toyota AE86 diburu di seluruh dunia, Initial D juga telah menaikkan populariti Mazda RX-7 dari generasi FC3S dan FD3S yang digunakan oleh watak adik-beradik Takahashi.

“Saya menonton anime Initial D, dan saya rasa ia ada babak perlumbaan yang begitu bergaya,” kata Nishimoto dan memberitahu bahawa dia tertarik dengan salah satu jentera yang digunakan dalam siri animasi itu. “Jadi saya bagitahu anak lelaki saya, ‘yang ini cantik’. Dia cakap ini adalah Mazda dan saya terus pergi beli,” tambahnya.

Nishimoto memulakan pencariannya di pengedar-pengedar kereta seluruh Nagasaki, dan akhirnya membeli sebuah RX-7 FD3S berwarna Perak, ketika itu umurnya sudahpun mencapai 55-tahun. Dan sehingga kini RX-7 tersebut sudah dimiliki selama 24-tahun dan ia dipandu setiap hari.

Nenek 79-tahun di Jepun masih pandu Mazda RX-7 dengan kotak gear manual kerana pengaruh Initial D

“Saya rasa kereta ini seperti melekat ke permukaan jalan dan ia bergerak sangat lancar. Ini merupakan rasa seronok yang tidak boleh digambarkan. Sangat bagus jika anda dapat pandu dan rasanya sendiri,” kata Nishimoto lagi.

Walau bagaimanapun Nishimoto mengambil keputusan untuk menjual Mazda RX-7 kesayangannya ini selepas hari jadinya yang ke-80 Disember nanti. Ini kerana dia mahu membatalkan lesen memandunya serta khuatir kereta ini akan terbiar sekiranya dia sudah tidak boleh memandu kelak.

“Ya, ia merupakan kereta yang masih boleh saya pandu, jadi saya harap dapat bertemu dengan orang yang baik apabila menjualnya nanti,” katanya. Namun sebelum kereta ini menemui pemilik baharu, Nishimoto akan terus memandunya setiap hari.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required