VIDEO: Mazda RX-7 rai ulangtahun ke-40

Mazda sememangnya terkenal dengan kereta sport dengan enjin Wankel Rotary bermula dengan Mazda Cosmo Sport pada tahun 1967, kemudian R100, seterusnya kereta-kereta dari siri RX seperti RX-2, RX-3 dan sebagainya. Namun, ikon antara kesemua kereta sport ini tentunya Mazda RX-7 yang telah dihasilkan dalam tiga generasi bermula era 70’an sehingga 90’an. Populariti ketiga-tiga model tersebut juga dilihat masih lagi gah sehingga sekarang walaupun Mazda telah melancarkan model gantiannya iaitu RX-8 pada tahun 2003.

Mazda mula memperkenalkan RX-7 pada tahun 1987 menerusi model generasi pertama SA22C (dikenali sebagai FB di Amerika Syarikat) Savanna RX-7, bermaksud siri jentera ini sudahpun berusia 40 tahun pada 2018, dan Mazda menghasilkan video khas bagi memperingati ulangtahun ini. Ketika mula diperkenalkan, RX-7 yang terkenal dengan penampilannya dalam siri Ultraman 80 ini dijana enjin Wankel Rotary 12A.

Model tersebut tidak hadir dengan pengecas turbo pada awal kemuculannya, namun enjin dua-rotor dengan kapasiti hanya 1,146 cc berkenaan mampu menghasilkan 103 hp dengan putaran enjin mencecah 7,000 rpm tanpa masalah. Model turbo hanya dihasilkan dalam jumlah yang sedikit pada tahun 1983, sebelum model generasi kedua membuat penampilannya. Secara keseluruhan, RX-7 generasi pertama ini berjaya dijual lebih dari 470,000 unit di seluruh dunia, menjadikan ia sebagai salah satu model sports terpenting dalam barisan model Mazda.

Mazda RX-7 generasi kedua muncul pada tahun 1985 dengan rekaan seakan diinspirasikan dari Porsche 944. Model dengan kod casis FC3S ini dijana enjin 13B 1,308 cc dua-rotor sama ada dalam versi NA atau turbo. Versi pasaran Amerika Syarikat menerima kuasa sekitar 146 hp hingga 182 hp, bergantung pada model. Manakala untuk pasaran lain, versi JDM khususnya, FC3S yang terkenal dengan watak ‘White Comet of Akagi‘ dalam siri animasi Initial D ini dibekalkan dengan kuasa 215 hp, standard dari kilang.

Model generasi ketiga RX-7 FD3S muncul pada tahun 1992. Ya, walaupun sudah berusia 28 tahun, rekaan FD3S masih lagi nampak relevan dan seperti baharu sahaja dilancarkan. Model ini masih dijana enjin 13B, namun diberikan dua pengecas turbo. Pelbagai versi dikeluarkan untuk model generasi ini, bermula dengan versi awal dengan bekalan kuasa 252 hp secara standard, sehinggalah model-model terakhir serta versi-versi edisi terhad seperti Spirit R dan Bathurst R dengan bekalan kuasa asal mencecah 280 hp.

Model terakhir RX-7 dihasilkan pada tahun 2002, kemudian ia digantikan dengan model RX-8 tahun berikutnya, dijana enjin Rotary tanpa turbo semula, digelar Renesis. RX-8 hanya bertahan sehingga tahun 2012, selepas terpaksa dihentikan kerana enjin Rotary tidak mampu lagi untuk memenuhi piawaian pencemaran alam sekitar yang semakin ketat.

Walau bagaimanapun, Mazda pernah hadir dengan kereta sport konsep dengan enjin Wankel Rotary pada tahun 2015 digelar RX-Vision, namun setahun selepas itu CEO mereka, Masamichi Kogai menyatakan syarikatnya belum bercadang untuk membina model produksi sebenar. Kogai menegaskan bahawa Mazda kini sedang membangunkan enjin Rotary yang akan berfungsi sebagai enjin penambah jarak untuk sistem hibrid yang akan diperkenalkan pada tahun 2019.

Namun, Mazda turut ditemui telah mempatenkan enjin Wankel Rotary turbo generasi baharu digelar SkyActiv-R yang menampilkan kedudukan port kemasukan dan port ekzos yang diterbalikkan berbanding enjin 13B, 12A mahupun 10A sebelum ini. Jenama tersebut juga pernah diintip menguji sebuah RX-8 di litar Nürburgring, Jerman, dipercayai dijana enjin Wankel Rotary generasi baharu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required