Merujuk kepada data pendaftaran kenderaan JPJ yang terbaru, BYD Seal terus menjadi kenderaan elektrik (EV) paling laris di Malaysia dari bulan Januari ke Ogos 2024. Dalam tempoh lapan bulan pertama 2024 ini, 2,267 buah Seal didaftar, mengatasi 2,217 Atto 3 dan 1,978 unit Tesla Model 3.
Mengikuti rapat selepas itu adalah Tesla Model Y, dengan jumlah 1,851 unit (sebelum ini berada di hadapan Model 3), manakala BYD Dolphin masih di tempat kelima dengan catatan 1,119 unit. Boleh dilihat di sini, lima tempat teratas adalah milik BYD dan Tesla, dengan keseluruhannya 5,603 unit untuk BYD dan 3,829 unit untuk Tesla.
Namun, melihat kepada bulan Ogos sahaja, Tesla Model 3 adalah EV paling laris dengan catatan 379 unit, mengatasi BYD Atto 3 (227 unit), Seal (205 unit) dan Dolphin (101 unit). Tesla Model Y hanya terjual sebanyak 57 unit pada bulan Ogos, dan ini mungkin kerana ramai yang menunggu untuk versi facelift Juniper. MINI Countryman SE yang baru dilancarkan Mei lalu mula mendapat sambutan dan berjaya dijual sebanyak 87 unit.
Kembali kepada jumlah untuk bulan Januari ke Ogos, Omoda E5 yang merupakan satu-satunya EV Chery kekal berada di tempat keenam dengan jualan 471 unit, dan 42 daripadanya terjual dalam bulan Ogos. Untuk tempat ketujuh dan kelapan, ia melibatkan gabungan dua model, iaitu masing-masing Ora Good Cat dan 07, dan smart #1 dan #3. Ini kerana data yang dikeluarkan hanya menamakan mereka sebagai ‘Ora’ dan ‘Brabus’.
Seterusnya, MG4 EV yang dilancarkan Mac lalu kini mencatat jualan 353 unit bagi lapan bulan pertama tahun ini, sementara pengeluar yang mempunyai model paling banyak dalam senarai 20 teratas adalah BMW – i5 (293 unit), iX2 (253 unit), i4 (186 unit), i7 (177 unit) dan iX (169 unit).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.