Walaupun trend pemilikan kenderaan kini memperlihatkan segmen SUV sedang semakin popular, untuk Proton tidak dinafikan bahawa sedan masih lagi merupakan pilihan yang penting buat rakyat Malaysia. Jenama automotif nasional itu mengumumkan bahawa sejak kewujudannya pada 1985, sehingga kini ia sudahpun memproduksi sebanyak 3.85 juta unit model-model sedan.
Ia sudah tentu bermula dengan produk pertamanya yang dilancarkan pada 1 September 1985 iaitu Proton Saga. Legasi berkenaan kemudian diikuti dengan pengenalan Proton Wira, Waja, Persona, Inspira, Preve dan juga model dalam kelas lebih tinggi iaitu Perdana.
Model-model Proton juga pernah diterima dengan baik pada pasaran eksport satu ketika dahulu, di mana model seperti Saga, Wira dan Waja pernah dijadikan sebagai kereta peronda polis di Humberside County, United Kingdom.
Buat masa sekarang Saga masih lagi utuh berada dalam bilik pameran Proton menjangkau sebanyak tiga generasi. Sejak unit pertamanya siap di kilang Proton Shah Alam pada Julai 1985 sehingga Mei 2024, produksi model berkenaan sudahpun mencapai 2 juta unit.
Sedan segmen-B Proton Persona turut masih ditawarkan, dan terbaharu Proton turut telah melancarkan pengganti Preve dalam saingan sedan segmen-C iaitu Proton S70 pada akhir tahun lalu. Menurut Proton untuk sembilan bulan pertama tahun ini sebanyak 14,877 unit S70 telah terjual dan masih kekal sebagai sedan segmen-C terlaris di Malaysia.
“Di Proton, kami sangat berbangga dengan hubungan erat kami dengan keluarga Malaysia, yang bermula sejak tahun 1980-an. Sedan kami, dari Saga yang ikonik hingga S70 yang inovatif, bukan sahaja berfungsi sebagai kereta pertama yang boleh diharap tetapi juga telah menjadi warisan keluarga yang dihargai, mencipta kenangan yang abadi merentasi generasi. Dengan lebih 3.85 juta unit terjual, kami terus komited untuk memberikan kualiti, keselamatan, dan inovasi, memastikan setiap kenderaan mencerminkan dedikasi kami terhadap keperluan pelanggan yang semakin berkembang,” kata CEO Proton Edar, Roslan Abdullah.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.