Proton Saga terjual sebanyak 2 juta unit sejak 1985

Proton Saga terjual sebanyak 2 juta unit sejak 1985

Menerusi hantaran yang dibuat di laman Facebook rasminya, Proton mengumumkan bahawa model ikonik jenama tersebut iaitu Proton Saga kini telah terjual lebih dari 2 juta unit sejak ia diperkenalkan pada 1985!

Selepas penubuhan Proton pada 1983, Saga merupakan produk pertama jenama automotif nasional berkenaan yang keluar dari kilangnya di Shah Alam pada 9 Julai 1985, kemudian dilancarkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed (ketika itu Perdana Menteri ke-4 dan juga pengasas Proton) pada 1 September 1985.

Nama Saga diberikan oleh Staf Sarjan Ismail Jaafar dari Pulau Pinang menerusi pertandingan yang dianjurkan Proton bagi menamakan kereta nasional pertama Malaysia ketika itu.

Kebanyakkan dari kita tahu Saga merupakan nama biji yang keras berwarna merah, manakala dalam bahasa inggeris pula saga bermaksud hikayat yang mengandungi kisah kesaktian dan kegagahan wira yang luar biasa. Tetapi, nama Saga yang diberikan oleh Staf Sarjan Ismail ini sebenarnya adalah akronim kepada Safety (Keselamatan) Achievement (pencapaian) Greatness (Keunggulan) dan Agility (Ketangkasan).

Proton Saga generasi pertama diasaskan dari Mitsubishi Lancer Fiore, tetapi telah diberikan penggayaan yang lebih unik. Ia diproduksi sehingga tahun 2008 dan menjadi model paling mampu milik dari Proton selama 23 tahun, serta muncul dalam pelbagai jenis facelift dan jenis enjin, juga pernah dijual dipelbagai pasaran eksport termasuk United Kingdom.

Model Saga generasi kedua muncul pada tahun 2008, diasaskan dari kerangka model hatchback Proton Savvy dan dikenali sebagai Saga BLM (Base Line Model). Ia hadir dengan enjin 1.3 liter Campro IAFM dipadankan dengan pilihan kotak gear manual lima-kelajuan dan automatik empat-kelajuan. Model 1.6 liter Campro manual dikeluarkan khas untuk dijadikan teksi.

Versi facelift untuk model ini hadir pada tahun 2010. Model berkenaan menampilkan rupa luaran yang disegarkan semula bermula dengan lampu hadapan lebih panjang, bampar hadapan dan belakang baharu serta lampu belakang lebih kecil. Ia turut menerima sistem brek yang dilengkapi ABS dan EBD. Enjin Campro 1.3 liter masih dikekalkan, dan model 1.6L Executive hadir selepas itu.

Proton Saga terjual sebanyak 2 juta unit sejak 1985

Manakala Saga generasi ketiga iaitu generasi sedia ada yang dijual dalam pasaran sekarang muncul pada 2016. Ia dibina berdasarkan platform Saga generasi kedua dengan sedikit perubahan pada dimensi manakala jarak rodanya kekal sama. Ia dijana enjin 1.3 liter VVT berkuasa 94 HP dan tork maksima 120 Nm. Hanya varian standard hadir dengan pilihan kotak gear manual lima-kelajuan dan CVT, manakala varian lebih tinggi hanya dilengkapi transmisi CVT.

Selepas kerjasama Proton bersama Geely, Saga ini diperkenalkan semula pada tahun 2019 dengan pelbagai tingkat taraf seperti menggunakan kotak gear 4AT, penyegaran rupa luaran, menampilkan skrin terapung pada papan pemuka dan pelbagai lagi.

Model ini terus disegarkan pada 2022 menerusi versi MC2 dengan menampilkan gril baharu yang mengenakan logo terkini Proton, serta beberapa perincian kecil termasuk rim aloi rekaan baharu dan lain-lain.

Tahun lalu Saga turut mencatatkan satu lagi sejarah apabila Hot Wheels bersetuju mengeluarkan kereta mainan diecast skala 1/64 dan ia mula dijual pada Oktober 2023. Manakala baru-baru ini, mainan berkenaan dikeluarkan dalam versi edisi terhad di mana pakej blister model tersebut direka oleh seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dari Pulau Pinang yang dipilih menerusi satu pertandingan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required