Hot Wheels Malaysia mengumumkan bahawa kereta die-cast skala 1/64 Proton Saga 1985 kini sudahpun mula dijual di gedung-gedung beli-belah utama, kedai-kedai mainan dan juga kedai serbaneka seluruh negara.
Pengumuman ini dibuat menerusi hantaran di laman Facebook jenama itu, dan mengesahkan bahawa Proton Saga berkenaan bukanlah versi edisi terhad, tetapi ia dijual dalam versi Hot Wheels Basic Car atau mainline dan ia terkandung dalam kumpulan Dash/Case B untuk 2024.
Selain itu, Hot Wheels Malaysia turut akan membuat sesi unboxing secara langsung kotak Dash B berkenaan dalam acara yang akan berlangsung di Pavilion Bukit Jalil pada pukul 10 pagi 8 dan 15 Oktober serta 5 petang 14 Oktober 2023.
Hot Wheels dan Proton mengumumkan kerjasama untuk menghasilkan Proton Saga generasi pertama dalam versi mainan skala kecil berkenaan pada Disember tahun lalu, bagi meraikan ulangtahun ke-40 Mattel Malaysia (anak syarikat Mattel Inc).
“Perkongsian ini bertujuan mempertahankan warisan kebanggaan Mattel dan Proton untuk terus menyediakan kenderaan berkualiti tinggi kepada peminat semua peringkat umur di seluruh dunia,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Komersial Mattel Inc Steve Totzke ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-40 Mattel di kilang Mattel Malaysia yang terletak di Pulau Pinang tahun lalu.
Buat masa sekarang, kilang Mattel Malaysia tersebut sememangnya kilang Hot Wheels terbesar di dunia dan memproduksi model-model mainline Hotwheels untuk pasaran global. Ia mampu menghasilkan sekitar 900,000 unit kereta mainan Hot Wheels seminggu, dengan tenaga kerja seramai 3,900 orang.
Selain dari versi mainline ini, Hot Wheels turut akan menjual edisi khas Proton Saga dengan kad blister istimewa rekaan adik Saw Jane Harn yang baru berumur 9 tahun dari Pulau Pinang. Rekaan kad blister Jane Harn dipilih untuk digunakan pada versi edisi terhad tersebut selepas dia memenangi pertandingan Hot Wheels x Proton Kids Design Competition, dan ia didedahkan ketika berlangsungnya Art of Speed 2023 pada Julai lalu.
Berbeza dengan versi mainline yang sudah dijual sekarang yang turut akan ke pasaran eksport seluruh dunia, versi edisi terhad tersebut kelak hanya akan dipasarkan di Malaysia dan ia akan mula dijual pada tahun hadapan.
Sebagai model mainline, Saga ini hanya dijual pada harga RM9.90 dalam pasaran sebenar. Walau bagaimanapun hasil carian kami di platform jualan atas talian, penjual-penjual kereta mainan ini sudahpun menjual Hot Wheels Proton Saga mainline ini pada harga tidak masuk akal dengan harga yang mencecah sehingga RM250!
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.