Mitsubishi DST Concept didedahkan di Filipina – dibangun untuk ASEAN; XForce versi 7-tempat duduk?

Mitsubishi DST Concept didedahkan di Filipina – dibangun untuk ASEAN; XForce versi 7-tempat duduk?

Seperti yang diumum pada awal bulan ini, semalam Mitsubishi telahpun mendedahkan model konsep baharunya di Philippine International Motor Show, dikenali sebagai Mitsubishi DST Concept. Seperti model konsep XM yang dijelmakan sebagai Xpander dan XFC yang diproduksi sebagai XForce, DST Concept ini juga bakal muncul dalam bentuk produksi sebenar dan dibina khas untuk pasaran ASEAN.

Menurut Mitsubishi, DST Concept merupakan SUV tiga-baris tempat duduk untuk memuatkan tujuh orang penumpang yang dibina dengan kerangka monocoque, pacuan roda hadapan, dan versi produksinya bakal membuat kemunculan sulung global di ASEAN terlebih dahulu pada tahun fiskal 2025 iaitu bermula suku kedua 2025 hingga suku pertama 2026.

Jadi apa yang kami jangkakan sebelum ini adalah hampir pasti – DST Concept bukannya Pajero Sport generasi baharu, sebaliknya ia adalah XForce dalam versi tiga-baris tempat duduk. Ini kerana Pajero Sport merupakan kembar kepada trak pikap Triton yang menggunakan casis ladder frame, enjin, transmisi dan juga sistem pacuan empat roda yang sama.

Mitsubishi DST Concept didedahkan di Filipina – dibangun untuk ASEAN; XForce versi 7-tempat duduk?

Walaupun SUV ini hanya memacu roda hadapan, Mitsubishi menyatakan bahawa DST Concept datang dengan lima mod pemanduan bagi membolehkan ia meredah pelbagai bentuk jalan dan situasi yang sesuai untuk ASEAN. Mod berkenaan adalah Normal, Gravel untuk jalan batu kerikil, Mud untuk jalan berlecak, Wet untuk pemanduan jalan banjir yang disebabkan hujan lebat secara tiba-tiba dan Tarmac untuk pemanduan yang lincah pada permukaan jalan tar yang berliku.

Menurut Mitsubishi, DST Concept direka dengan konsep rekaan “Gravitas & Dynamism”. Ia menampilkan bentuk sebuah SUV sejati dengan stance yang lebar, dipadankan dengan set roda berdiameter besar bagi memberikan jarak kelegaan tanah yang tinggi, bagi “menawarkan tahap pemanduan dan juga kebolehan sebuah SUV yang tinggi”, dakwa Mitsubishi.

DST Concept menampilkan muka dengan rekaan signatur Dynamic Shield terbaharu Mitsubishi. Ia menerima lampu hadapan dan jalur lampu nyalaan siang berbentuk-T seperti XForce, tetapi dengan gril hadapan dengan elemen sarang lebah dan seolah-olah membentuk huruf-X pada muka. Manakala pada bahagian belakang, imej Xforce lebih jelas kelihatan menerusi lampu belakang LED yang juga direka seperti huruf-T.

Mitsubishi DST Concept didedahkan di Filipina – dibangun untuk ASEAN; XForce versi 7-tempat duduk?

Jenama itu turut menyatakan rekaan pada fender hadapan dan belakang model konsep ini adalah seperti ‘otot-otot’ atlit, membayangkan ia sebagai sebuah SUV yang lasak serta mempunyai tahap pengendalian yang baik. Manakala rekaan skid plate hadapan dan belakang yang menonjol dan juga pelindung-pelinding sisi badan memberikan sifat melindungi dan tahan lasak pada SUV ini.

SUV ini juga menampilkan rekaan ‘bumbung terapung’ dengan kesemua tiang diwarnakan hitam. Cermin sisi paling belakang pula direka lebih kecil berbanding cermin-cermin tingkap pintu lain bagi menyerlahkan lagi bahagian ‘otot’ pada fender belakang, serta diberikan empat baris bar pada tiang-C bagi sekali lagi menyerlahkan imej lasak.

Pada sebelah dalam pula Mitsubishi menyatakan bahawa DST Concept menerima kabin yang direka luas dan bergaya bagi memberikan semua penumpang termasuk pada tempat duduk baris ketiga mempunyai ruang yang cukup dan selesa. Ia menerima papan pemuka yang direka seolah-olah bersambung dengan panel pintu, serta skrin berkembar untuk sistem infotainmen dan juga paparan instrumen digital untuk pemandu.

Satu suis putar bersaiz besar diletakkan pada konsol terowong, mungkin untuk memlilih lima mod pemanduan yang dinyatakan tadi. Juga tiada tombol gear konvensional diberikan, dan ia diganti dengan tombol yang diletak pada bahagian belakang suis putar tersebut, menampilkan suis tekan untuk pilihan PRND. Model konsep ini juga turut diberikan bumbung panaromik.

“Mitsubishi DST Concept ini membayangkan SUV tiga-baris tempat duduk serba baharu yang akan dilancarkan pada pertengahan rancangan perniagaan Challenge 2025 kami, dan produksi utama model tersebut akan berjalan pada rantau ASEAN termasuk Filipina bermula pada tahun kewangan 2025,” kata presiden dan CEO Mitsubishi Motors, Takao Kato.

“SUV serba baharu ini akan mengikut jejak langkah MPV crossover Xpander yang lahir pada rantau ASEAN dan berkembang menjadi model yang disukai oleh pelanggan seluruh dunia, dan juga SUV kompak XForce yang telah diterima ramai sejak pengenalannya pada tahun kewangan 2023. Dengan sasaran menghasilkan ia sebagai kenderaan strategi global, kami akan terus membangunkan ia sebagai SUV Mitsubishi sebenar yang akan mengembangkan pilihan mobiliti pelanggan kami,” tambahnya.

Buat masa sekarang Mitsubishi sudahpun mempunyai Xpander Cross, iaitu Xpander yang diberikan perincian lebih lasak menyamai sebuah SUV. Namun disebabkan Xpander masih berstatus MPV, model produksi sebenar DST Concept ini kelak bakal menjadi wakil Mitsubishi dalam kelas SUV tujuh tempat duduk sebenar bagi berhadapan dengan saingan seperti Honda BR-V dan juga Toyota Rush/Daihatsu Terios/Perodua Aruz.

Jika ia benar-benar sebuah Xforce yang lebih panjang, model produksi DST Concept ini kelak mungkin turut akan berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama iaitu enjin 1.5 liter empat silinder DOHC MIVEC NA berkuasa 105 PS/141 Nm bersama kotak gear CVT – padanan yang sama turut digunakan oleh Xpander. Dengan ketiadaan Honda BR-V generasi kedua di Malaysia, adakah anda rasa SUV tujuh-tempat duduk baharu ini akan dibawa ke pasaran tempatan?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required